NILAI SEPOHON BONSAI

Thursday, September 23, 2010

Bila aku kembali ke rumah setelah beberapa hari mendaki gunung, soalan pertama yang bapaku ajukan adalah, “Macam mana rupa pokok-pokok kat atas gunung tu? Ada macam pokok bonsai ”? Jawapannya adalah, “Haah! Ada gak yang macam pokok bonsai”!

Itu adalah antara fragmen antara aku dan abah yang membuktikan kecenderungan abah kepada hobi menanam bonsai. Dan beberapa hari yang lalu, sepupuku datang bertandang ke rumah dan berbual panjang lebar dengan abah tentang bonsai. Dua hari yang lepas, sahabatku juga ada bertandang dan dia juga sempat bertanyakan soalan yang berkaitan bonsai, “Kenapa bonsai tu kena lilit dengan dawai?”.

Teringat pula aku pada penghujung tahun lepas, aku dibawa seorang kawanku bersiar-siar di sebuah gua iaitu Gua Kek Lok Tong yang terletak di Ipoh, Perak. “Kalau bapak aku ada kat sini, confirm dia suka”. Kata-kata itu keluar setelah aku perhatikan begitu banyak pokok-pokok bonsai yang menghiasi halaman muka gua. Yang lebih menarik adalah miniatur haiwan-haiwan, patung berupa orang, kuil dan tangga-tangga kecil melengkapkan keindahan lanskap dalam pasu itu. Batu-batu berstruktur unik turut menjadikan lanskap itu tambah dramatik seperti set filem period movie china zaman kegemilangan dinasti. Pasti abah teruja jika melihat hiasan kecil dalam pot itu.

Bercakap mengenai China, dikatakan di tanah besar itulah bermulanya sejarah seni hiasan bonsai. Lalu ia menebar ke Jepun dan akhirnya tersebar luas seantero dunia. Tidak hanya di bumi Asia, horizon seni bonsai terus berkembang ke Australia, Eropah, Afrika bahkan ke Amerika sekali gus menjadikannya seni tanaman yang universal.

Sememangnya ia universal. Beberapa pohon bonsai milik abah hidup subur di bumi Malaysia. Bonsai-bonsai ini dijaga rapi dan dibelai mengikut panduan dalam buku seperti buku Galeri Bonsai dan Seni Bonsai Lanjutan yang juga milik abah.
Menurut penulis buku-buku itu, bonsai terdiri daripada dua suku kata jepun iaitu bon yang bermaksud pot manakala sai yang bermaksud tanaman. Jadi bonsai bererti tanaman dalam pot. Tetapi bukan semua tanaman dalam pot boleh dipanggil bonsai. Kriteria tertentu seperti saiz, bentuk dan usia pohon itu perlu diambil kira. Pertama, ukuran pohon itu relatifnya kecil atau kerdil. Kedua, bentuknya seperti pohon asli yg besar di alam sebenar. Ketiga, umur pohon itu tua atau pohon itu tampak tua. Jika tiga syarat ini dipenuhi, maka ianya boleh dipanggil sebagai pohon bonsai. Menariknya, setiap pohon bonsai juga harus mempunyai keseimbangan dalam pertumbuhan akar, batang cabang dan ranting agar ianya dipandang indah.

Aku meneruskan ‘sesi fotografi’ bonsai berlatarbelakangkan dinding rumah aku. Sesi itu turut dibantu abah. Bak kata abah, latar warna kuning memang sesuai untuk menonjolkan setiap daun, ranting dan urat-urat akar. Abah juga mencadangkan sudut-sudut tertentu untuk menangkap gambar pohon-pohon bonsai miliknya agar ianya nampak lebih hidup. Sambil itu abah turut menerangkan spesis-spesis yang sesuai untuk dibonsaikan. Antara spesis yang sesuai untuk pohon bonsai termasuklah pokok asam, pokok cemara, pokok kemuning, pokok beringin dan macam-macam lagi. Abah juga menunjukkan eksperimentasinya terhadap sepohon bonsai yang ditanam diatas seketul batu. Abah bagaikan menurunkan ilmu seni bonsainya padaku satu persatu sebagai legasi minatnya agar tidak habis begitu saja.

Bonsai milik abah dibentuk dengan pelbagai gaya. Gaya bonsai pula ditentukan berdasarkan beberapa hal termasuklah bentuk batang, jumlah batang, karakter ranting dan karakter akar. Antara ragam gaya bonsai termasuklah tegak lurus, tegak tidak lurus, miring, melingkar, akar terjalin dan berbelas-belas gaya yang lain. Ini menjawab persoalan sahabat aku tadi yang bertanyakan mengapa bonsai perlu dililit dengan dawai.

Setelah ‘sesi fotografi’ itu tamat, aku memindahkan gambar-gambar tadi ke dalam komputer riba. Gambar pohon bonsai abah nampak begitu menyerlah dan terus membawa fikiran aku melayang ke bawah pohon rendang di halaman rumah atau di desa atau di hutan yang indah. Terkadang sepohon bonsai boleh membawa imaginasi kita ke alam pergunungan dengan pohon tua yang berlekuk liku atau ke negara antah-berantah dimana makhluk-makhluk halus bersembunyi dibawah pohon raksasa itu.

Apapun bonsai merupakan seni yang hidup. Semakin tua semakin bernilai. Ianya seni seumur hidup. Lebih 20 tahun jiwa abah pada pohon-pohon bonsainya tidak pernah lekang. Sabar, rajin, teliti dan berjiwa seni merupakan sifat yang harus disemai dalam diri pemilik bonsai seperti abah. Jika pada helaian kedua buku Seni Bonsai Lanjutan itu tertera tulisan abangku “untuk ayahku yang aku kagumi diam-diam”, secara jujur aku katakan bahawa aku juga kagum dengan abah. Dan seperti juga kata-kata perangsang yang tertera di almari abangku yang tertulis “jika tidak mampu menanam sebatang balak, tanamlah sepohon bonsai yang terbaik”, dengan bangga aku nyatakan bahawa bonsai abah adalah yang terbaik diantara yang terbaik dan sangat bernilai.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...