PEMINAT TEGAR SITI NURHALIZA

Wednesday, January 12, 2011

Bila aku pasang radio petang semalam, cukup ramai pendengar yang menyampaikan ucapan hari lahir kepada penyanyi nombor satu Malaysia iaitu Dato’ Siti Nurhaliza. Aku terus teringat kepada seorang kawan aku yang merupakan seorang peminat tegar diva tempatan ini. Mungkin sangat mudah untuk kita berjumpa dengan sesiapa saja yang meminati penyanyi ini tetapi bagaimana kesungguhannya atau caranya meminati Siti?

Alan (nama sebenar) merupakan kawan aku sejak zaman universiti. Kancil merahnya merupakan pengangkutan utama untuk dia dan kawan-kawannya berjalan-jalan jika tiada kuliah ataupun ketika ada kuliah. Kalau tidak memasang radio, lagu-lagu Siti adalah lagu yang dipasang dalam kereta. Ianya bermusim. Kalau bulan Syawal sudah tentu lagu Sesuci Lebaran dan sebagainya diputar mewakili album raya penuh Siti.

Begitulah Alan. Siti adalah penyanyi pujaannya. Setiap album Siti, wajib Alan miliki. Ada beberapa album Siti yang dibeli Alan pada tarikh pelancaran album itu. Setiap cerita mengenai Siti juga sudah pasti dalam genggamannya. Tarikh lahir Siti, aktiviti terkininya, senarai judul album dan barisan komposer yang menerbitkan album itu pasti dia dapat menjawab dengan mudah. Petik jari bak kata orang.

Garis masa minatnya Alan pada Siti seiring dengan kemenangan penyanyi itu dalam Bintang RTM. Kemenangan Siti dalam Juara Lagu meningkatkan graf obsesi Alan pada Siti. Zaman kegemilangan Siti menerusi Juara Lagu terus disokong seratus peratus oleh Alan yang ada tahun-tahun tertentu dia berkesempatan menyaksikan anugerah itu di stadium.

Begitu juga dengan Anugerah Bintang Popular. Alan membeli naskhah akhbar Berita Harian hampir setiap hari, dikeratnya bahagian undian artis dan sudah tentu dia memangkah nama Siti dan memilih Siti sebagai Bintang Paling Popular keseluruhannya dan kemudian dipos. Kesungguhannya berbaloi. Hasil undiannya menjadi sebahagian intipati kisah Siti memenangi anugerah itu saban tahun. Dan bila Siti meraih trofi dan kereta, dia juga mendapat habuan. Alan memenangi seutas rantai mutiara Rafflesia menerusi pengundian itu!

Namakan saja konsert Siti. Kebanyakannya telah dihadiri oleh Alan. Jika tidak berkesempatan, VCD konsert itu menjadi pelengkap kepada senarai dokongan yang tidak terhingganya pada Siti. Siti merupakan penghibur sejati bagi dirinya. Jika Siti menjadi cover sesebuah majalah hiburan, sudah pasti majalah itu dibeli dan dijadikan simpanan peribadi.

Teringat aku suatu masa dulu di universiti, Alan menumpang untuk berehat dan tidur seketika di bilik Kunk, seorang kawan aku. Kunk kemudian memasang lagu-lagu Siti pada komputer biliknya sambil berkata “Biar Alan ingat dia tidur kat rumah dia. Sebab tu aku pasang lagu Siti”. Peristiwa itu sudah cukup membuktikan bahawa semua orang tahu yang Alan gilakan Siti. Sewaktu aku, Alan dan dua rakan lagi ke Kelantan suatu ketika dulu, aku menebalkan muka bertanya pada orang di stesen minyak di Kuala Lipis dimanakah rumah Siti supaya Alan dapat bergambar di hadapan rumah penyanyi pujaannya itu.

Masa berlalu, namun kecintaan Alan pada Siti tidak pernah berubah. Caller ringtone bagi kedua-dua nombor telefon bimbitnya masih lagi lagu-lagu dendangan Siti. Sama saja seperti dulu. Cuma lagu-lagu saja yang berubah. “Pandang, pandang, alam ini...”, begitulah lebih kurang lagu yang menghiburkan pemanggil sebelum Alan mengangkat panggilan.

Baru-baru ini Alan pergi ke Stadium Putra Bukit Jalil. Alasannya adalah kerana mahu menyaksikan persembahan Siti secara live di Anugerah Juara Lagu ke 25. Kalau bukan kerana Siti, tak mungkin Alan beratur dan bersesak-sesak selama dua jam untuk masuk ke dalam stadium. Baginya diva itu tiada tandingannya. Biarpun Siti tidak bertanding dan telah menarik diri daripada diundi dalam sebuah anugerah yang bersifat populariti, Siti tetap nombor satu dihati Alan.

Status facebooknya yang tertulis 'Baru saja menghabiskan masa selama 18 jam 46 minit dgn mendengar keseluruhan 248 lagu Dato' Siti Nurhaliza yang berada dalam playlist saya' menambah seribu macam cerita Siti dan Alan. Lihat saja gambar-gambarnya bersama Siti di booth Hotlink dan majlis hari raya bersama Siti. Alan meminati Siti secara tegar, memang tidak boleh dinafi oleh sesiapapun. Yang pasti, sewaktu aku membuka ruang laci dalam kereta Myvinya, masih berlambak CD koleksi lagu, yang tak lain dan tak bukan, koleksi album Dato’ Siti Nurhaliza.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...