ERTI SYAWAL CORONG RADIO

Wednesday, September 8, 2010

Hari raya memang tak lengkap tanpa lagu raya. Dan selalunya sekitar 15 Ramadhan kita ternanti-nanti lagu-lagu raya di corong radio. Walaupun lagu-lagu raya ini boleh dibeli menerusi cakera padat dan boleh dipasang berkali-kali, lagu yang diputarkan diradio jugalah yang dinantikan. Mungkin lagu-lagunya lebih pelbagai dan disusuli ucapan-ucapan hari raya yang membangkitkan semangat Syawal dalam diri masing-masing. Syawal diberi pengertian menerusi lirik 12 lagu raya terpilih, dan gambaran suasananya dapat diimaginasikan walaupun hanya didengar menerusi corong radio.

1. SUASANA HARI RAYA (ANUAR & ELLINA) - Antara lagu raya yang dinyanyikan secara duet dan yang paling istimewanya lagu ini dinyanyikan oleh dua kanak-kanak (sekarang dah besar dah pun). Lirik lagu lebih menjurus kepada suasana kemeriahan aidilfitri menerusi pandangan kanak-kanak. “Asyik bersembang pakcik dan makcik, hai duit raya lupa nak diberi....”

2. CAHAYA AIDILFITRI (BLACK DOG BONE) - Satu-satunya lagu raya yang disampaikan oleh band rock. Walaupun Black Dog Bone bermaksud tulang anjing hitam, namun lirik lagu Cahaya Aidilfitri adalah tulus murni iaitu menceritakan mengenai rintihan seorang insan yang ingin menikmati hari raya. “Siapakah yang sudi, menghulurkan simpati, kepada nasibku ini.....”

3. MENJELANG HARI RAYA (D.J.DAVE) - Istimewanya lagu ini adalah ianya dinyanyikan oleh artis bukan melayu siapa lagi kalau bukan D.J.Dave. Lirik lagu mudah. Pasal menjelangnya hari. Muzik memang rancak sesuai dengan gambaran persiapan menyambut hari raya. “Menjelang hari raya, berakhirnya puasa...”

4. SELOKA HARI RAYA (HAIL AMIR & UJI RASHID) - Lagu ini dinyanyikan oleh pasangan duet paling serasi zaman 80an iaitu Hail Amir & Uji Rashid. Dalam lagu mereka berseloka dengan melodi yang berulang-ulang. Tapi apa nak kisah? Lagu ini memang wajib didengar menjelang hari raya terutama di premis Kamdar. “Saling bermaaf kita bersama, lupakan saja sengketa lama...”

5. SATU HARI DIHARI RAYA (M.NASIR) - Bunyi seruling pada permulaan lagu menggamit hati untuk segera balik ke kampung. Lirik lagu menceritakan pengalaman si penulis lirik (agaknya) pada salah satu hari dalam 30 hari bulan Syawal. “Kuterdengar irama yang sungguh, ku cuba mendekati padanya....”

6. KU POHON RESTU AYAH BONDA (MAMAT) - Lagu ini pada asalnya dinyanyikan oleh kumpulan Al-Jawaher tetapi masyarakat lebih mengenali Mamat yang membawakan lagu ini. Macam biasalah. Lirik lagu ini tentang memohon kemaafan, keampunan dan restu kedua ibu bapa dari kejauhan di hari raya. “Duhai bonda, duhai ayahanda, dengarlah rayuan anakanda...”

7. SUARA TAKBIR (P.RAMLEE) – Inilah lagu raya klasik yang paling memikat jiwa. Lagu ini sangat tenang dan melodinya indah. Lirik lagu berkisar mengenai seruan takbir bergema menandakan tibanya bulan Syawal. “Terdengar suara takbir, memuji nama Ilahi.....”

8. SELAMAT HARI RAYA (SALOMA) - Kalau kita suruh sapa-sapa tak kiralah yang kecil atau dewasa untuk menyanyikan lagu raya, sah-sah mereka akan menyanyikan lagu ini. Inilah lagu yang paling melekat dihati masyarakat Malaysia dari dulu sampai sekarang. Lirik lagu menggambarkan keseluruhan suasana hari raya bersama famili dan sanak saudara. “Selamat Hari Raya, kepada saudara serta saudari...”

9. SUASANA HARI RAYA (SHARIFAH AINI) - Istimewa lagu ini adalah disebabkan ianya dinyanyi oleh penyanyi malar hijau Malaysia iaitu Datuk Sharifah Aini. Lirik lagu ini seolah-olah Kak Pah sedang mempelawa tetamu-tetamu yang datang bertandang dirumahnya untuk menjamu selera. “Rasalah ketupat ini, dengan rendangnya sekali...”

10. SALAM DUNIA (M.NASIR) – Jarang terdapat lagu raya yang mengingatkan kita pada nasib umat Islam di seluruh dunia di hari lebaran. Inilah lagunya. Salam Dunia mengajak kita supaya bersyukur dan sentiasa mengingati nasib umat Islam yang menyambut lebaran dengan serba kekurangan. “Mereka yang dilanda derita, redhalah hari bukan kita.....”

11. BALIK KAMPUNG (SUDIRMAN) – Kalau kita dengar rangkap demi rangkap lagu ini tiada sepatah pun perkataan seperti Syawal, raya, lebaran dan sebagainya. Tetapi lagu ini terus diangkat sebagai lagu raya. Istimewanya lagu ini, ia boleh dipasang bila-bila masa saja sepanjang tahun sekiranya anda berkira-kira nak balik kampung. “Perjalanan jauh tak kurasa, kerna hatiku melonjak sama...”

12. AIDILFITRI (SANISAH HURI) – Selain Fazedah Joned, Sanisah Huri diingati sebagai penyanyi lagu raya. Walaupun generasi kini tidak tahupun judul-judul lagu lain milik Sanisah Huri, Aidilfitri terus kekal sebagai lagu raya yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tambah-tambah hujung lagu ini menyahut kita sama-sama bertakbir. “Sesudah bersembahyang di pagi hari, menziarahi pusara kaum keluarga....”

Semua lagu tadi adalah lagu raya pilihan Sagahayat. Cuba dengar dan hayati 10 lagi lagu raya terpilih; Kepulangan yang dinanti (Aman Shah), Dari jauh ku pohon maaf (Sudirman), Selamat Hari Raya (Ahmad Jais), Aidilfitri (Fazedah Joned), Pulang dihari raya (Noorkumalasari), Bila takbir bergema (Rafeah Buang), Selamat berhari raya (Rahimah Rahim), Sesuci lebaran (Siti Nurhaliza), Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah) & Suasana riang dihari raya (Junainah).

2 ulasan:

Unknown said...

selamat hari rayo!!!

segalanyadisini said...

selamat hari raya maaf zahir batin

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...