GUNUNG KINABALU : MENAWAN IMPIAN Chapter II

Monday, November 8, 2010

Jam 1 pagi aku terjaga. Aku ke tandas untuk membuang air besar yang bagi aku merupakan rutin berak yang paling tertinggi di Asia Tenggara yang pernah dilakukan oleh aku setakat ini. Seorang demi seorang mula terjaga untuk bersiap-siap bagi meneruskan misi yang baru dijayakan separuh. Laban Rata pada jam 1 pagi sudah mula sibuk walaupun suhu turun menjunam ke 7 darjah Celcius.

Kami mula memasang badan. Jaket tebal, glove dan snow cap yang kebanyakannya masih berbau kedai sudah dikenakan pada tubuh kami. Di hadapan cermin, Bee dan Yani membetulkan headlamp yang sudah dipasang di kepala mereka. Zaharil menyapu minyak panas pada kaki manakala Shukri dan Azhar mengikat tali kasut.

Puncak Tunku Abdul Rahman

Kami kemudian menjamah sedikit makanan dan berkumpul dihadapan bangunan Laban Rata bagi mendengar taklimat dari Abang Joe. Pemandu arah yang lain turut sama memberi taklimat kepada anak-anak buahnya.

Jam 2.30 pagi kami memulakan pendakian. Baru 10 minit mendaki aku mula terasa mengah. Nafas berbunyi lebih kuat daripada derap kaki yang sering terhenti. Permulaan pendakian kami banyak menggunakan tangga. Tangga, tangga dan tangga. Lampu kepala memang banyak membantu kami mendaki dalam kegelapan itu.

Sebelum matahari terbit sepenuhnya

Kalau dari Timpohon Gate ke Laban Rata aku tiada masalah yang ketara, tetapi permulaan pendakian pada pagi itu cukup menyeksakan. Namun aku sentiasa positif. Aku perlu sampai ke Pondok Sayat-Sayat pada KM7 sebelum jam 5 pagi. Jika tidak, tak kiralah aku ataupun siapa-siapa saja, tidak dibenarkan mendaki sehingga ke puncak kerana sudah terlalu lewat.

Puncak Ugly Sister

Selepas setengah jam, aku mula menemui rentak. Badan terasa panas seperti mahu humban saja jaket tebal yang aku pakai. Tetapi suhu sangat sejuk. Tangga-tangga ke puncak masih belum sampai penghujungnya. Ketika itu kami berempat. Aku, Yani, Shukri dan Kak Jas. Adakala kami berbual. Kami ke pinggir memberi peluang kepada pendaki-pendaki lain memotong kami. Udara yang kami hembus dari mulut kami terpeluap bagaikan asap rokok tebal dari mulut seorang perokok tegar.

Akhirnya kami sampai ke penghujung tangga kayu yang dibina khas bagi memudahkan pendaki-pendaki seperti kami. Aku rasa takjub dengan kerja-kerja orang tempatan yang membina motel di Laban Rata dan tangga-tangga di tempat yang begitu tinggi, cerun dan ekstrem. Dari situ kami dapat lihat dengan jelas kelompok-kelompok penempatan seperti Bandaraya Kota Kinabalu, Tuaran, Kundasang, Tamparuli dan sebagainya.

Sebelum tiba di puncak

Selepas tangga-tangga yang memenatkan, kami terpaksa melalui lereng-lereng gunung yang berbatu, basah dan sedikit licin. Kami menggunakan tali yang disediakan untuk berpaut dan memanjat dan berjalan mengiring lereng itu. Sekali-sekala aku merangkak untuk merendahkan pusat graviti bagi mencapai kestabilan pada tebing-tebing yang cerun.

Pada pagi itu cukup ramai yang mendaki. Boleh dikatakan mencapai ratusan orang. Langit cukup cerah sambil bulan sabit Zulkaedah melihat kami terkial-kial mendaki gunung selangkah demi selangkah. Beberapa butir bintang menambah keindahan dinihari isnin dengan latar Puncak Tunku Abdul Rahman di sebelah kanan kami.

Puncak South Peak

Jam 4 pagi kami tiba di Pondok Sayat-Sayat. Di pondok ini setiap pendaki perlu mendaftar nama. Sesiapa yang berjaya mendaftarkan nama di Pondok Sayat-Sayat dianggap sudah berjaya menawan puncak Kinabalu walaupun puncak tertinggi terletak sekitar 1.7 kilometer dari pondok itu. Ini bermakna kami sudah berjaya memperolehi sijil berwarna yang membuktikan kami sudah menjejakkan kami di Kinabalu. Tetapi kesahan daripada pemandu arah jugalah yang menentukan layak atau tidak layak kami menerima sijil. Kami juga tidak boleh mendabik dada. Sisa pendakian mesti diteruskan walau dengan apa cara sekali pun.

Puncak St. John

Tali-temali berwarna putih menjadi panduan trek kami. Kami menyusuri trek yang agak landai sebelum bertemu dengan trek yang lebih cerun. Sarung tangan banyak membantu kami memegang tali dan permukaan batu dengan lebih baik. Tetapi sarung tangan milikku yang bukan kalis air menyebabkan tangan aku basah sekali gus mengakibatkan kedua-dua belah tangan terasa sedikit kebas.

Sisa pendakian ke Low's Peak

Kesan kekurangan oksigen juga sedikit terasa. Walaupun begitu kami sudah dapat beradaptasi secara perlahan-lahan dengan keadaan udara tipis di altitud yang tinggi. Sekali-sekala terdengar bunyi orang batuk-batuk kecil dan bunyi nafas yang deras sudah semestinya tidak pernah lengkang sejak pendakian dari Laban Rata tadi. Adakalanya hidung terasa berair dan kepala terasa beku seperti sedang memakan aiskrim yang sangat sejuk.
Cerun antara South Peak & St.John Peak

Kami berempat masih setia bersama. Cuma kedudukan yang berbeza-beza setiap masa. Ada masa aku mendahului dan ada ketika aku paling belakang di antara Yani, Kak Jas dan Shukri. Shukri ada juga bertanya. “Kamera aku dalam beg ok tak? Cuba hang tengok takut jatuh”. Kamera DSLR Nikonnya hanya dibawa menggunakan goodie bag yang digunakan untuk mengisi bekalan makanan. Mungkin dia malas untuk membawa beg galas agaknya.

Azrul yang 'tidak sabar' menuruni gunung

Kami meneruskan pendakian. Tiba-tiba Shuhairi menyertai kami. Dia tiba lebih awal berbanding kami di Pondok Sayat-Sayat tetapi berehat agak lama disitu. Kegelapan malam yang hanya diterangi lampu kepala dan sedikit cahaya bulan tidak dapat mengecam siapa-siapa yang berehat di pondok itu.

Yani & Bee berlatarbelakangkan South Peak

Pendakian seterusnya agak mendatar cuma kecerunannya berterusan. Aku dan Yani menggunakan teknik yang kami cipta iaitu 10-1. Sepuluh langkah dan sekali berhenti. Sekali-sekala kami menetapkan satu tempat dihadapan untuk kami berhenti. “Ok Yani. Kita jalan sampai orang cina tu. Lepas tu kita lepak”.

Kamera DSLR diuji di gunung tertinggi

Kami seterusnya tiba di KM8. Ada beberapa orang yang bergambar di papan tanda KM8 itu. Sejak dari tadi tiada satu gambar pun yang kami ambil. Suasana gelap dan masing-masing keletihan menyebabkan kami kurang teruja untuk mengambil gambar. Lebih kurang 200 meter selepas KM8, kami berhenti. Kami menunaikan solat subuh. Ketiadaan air menyebabkan kami menggunakan rukhsah tayamum. Inilah pertama kali aku mempraktikkan tayamum untuk menunaikan solat.

Seronok bila tiba ke puncak

Selepas habis berdoa, kami meneruskan misi. Trek semakin jelas kelihatan. Cahaya-cahaya mewakili pendaki bersusun dari tempat kami sehinggalah sayup kelihatan ke bawah. Apabila kami mendongak ke atas, terdapat cahaya-cahaya di atas puncak yang membuktikan sudah ada beberapa pendaki yang telah berjaya menawan puncak Kinabalu. Ada juga cahaya kamera yang berdenyar yang mengingatkan kami supaya mengambil gambar apabila matahari terbit nanti.

Di Low's Peak berlatarbelakangkan St.John's Peak

Matahari mula menjelma. Aku mengeluarkan kamera dan masing-masing sudah sedia untuk beraksi. Shukri sudah bersedia menguji lensa kameranya untuk merakam pemandangan indah Kinabalu. Bila hari semakin terang, barulah jelas kelihatan South Peak dibelakang kami. Walaupun puncak ini bukanlah yang tertinggi, tetapi puncak ini lebih popular dan ilustrasinya terdapat di duit kertas RM1 ataupun dicetak pada cenderamata-cenderamata seperti t-shirt dan keychain. Di sebelah kanan pula kelihatan puncak Donkey Ears yang kelihatan seperti telinga keldai atau isyarat ‘peace’. Atas lagi kami nampak dengan jelas puncak Ugly Sister yang berlatarkan cahaya mentari yang semakin menyinar. Sebelah kiri pula adalah Puncak St. John yang ketinggiannya hanya kurang 5 meter daripada puncak tertinggi Gunung Kinabalu. Dan semestinya dihadapan kami nun jauh ke belakang adalah Puncak Low yang menjadi idaman setiap pendaki gunung itu.

Pemandangan dari puncak tertinggi Asia Tenggara

Disinilah kami bertemu dengan Azrul dan Azhar yang sudah berjaya melengkapkan misi menawan puncak Kinabalu. Kami bergambar sakan berlatarkan puncak-puncak terkenal Kinabalu sambil melepaskan lelah setelah mendaki hampir 3 jam lebih dan sejauh 2.5 kilometer. Aku juga mengajak Azrul untuk mendaki semula tetapi dia enggan dan ingin menuruni gunung itu.

Puncak Donkey Ears

Ko pakailah kamera aku ni. Aku boleh pakai kamera telefon. Lagipun dorang sume ade kamera”, jelas aku bila Azrul memberitahu telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri. Azrul mengambil kamera itu sambil merungut bulu-bulu itik sudah mula keluar dari jaket bundlenya.

Papan tanda di puncak

Agak lama kami berehat disitu. Tempat itu umpama titik tengah diantara puncak-puncak utama Kinabalu. Seterusnya kaki kami dihayun lagi bagi menawan sisa pendakian yang semakin sedikit. Akhirnya pada sekitar 6 pagi kami berjaya menawan Puncak Gunung Kinabalu. Pelaburan tiket kapal terbang dan pakej pendakian Kinabalu dirasakan terlalu berbaloi apabila aku disajikan pemandangan yang cukup indah. Aku di puncak Malaysia. Aku di puncak Asia Tenggara. Impian aku sudah tertawan!

Menuju puncak : bersama Bee

Syukur aku panjatkan. Gunung Kinabalu cukup indah. Awan gemawan di bawah kami. Puncak-puncak menjulang bukti kekuasaan Allah. Struktur batu yang unik dan cerun-cerun terbentuk hasil perubahan bentuk muka bumi semenjak berjuta-juta tahun yang lalu. Di antara puncak-puncak adalah dataran sendeng yang sangat luas yang boleh memuatkan berpuluh-puluh buah rumah. Dataran itu semakin cerun antara South Peak dan Puncak St. John.

Semestinya kami bergambar sebagai lampiran kepada kenangan dalam hidup. Kami terpaksa berehat seketika apabila diminta oleh krew penggambaran ‘Passage To Malaysia’ untuk menjalankan penggambaran di puncak itu. Tiba-tiba aku nampak kelibat yang aku kenali. Seorang gadis berhud berbulu semakin mendekati kami. Dialah Bee yang merupakan kawan aku sejak zaman universiti yang berjiwa besar dan sentiasa positif. Aku berasa bangga Bee dapat menamatkan misinya yang pastinya menjadi memori terindah dalam fragmen hidupnya.


Menawan impian Gunung Kinabalu
Selepas 5 jam pendakian ke Laban Rata dan 4 jam ke Puncak Low, kami menghabiskan masa agak lama di puncak itu. Bibir setiap seorang terukir senyuman tatkala berjaya menggapai awan Puncak Low. Segala keletihan dan pelaburan sudah dibayar dengan pengalaman yang menakjubkan yang hanya boleh dialami oleh setiap pendaki yang mendaki gunung itu. Sebelum menuruni puncak itu aku sempat melaung “I’m the king of the world” sebagai melampias kepuasan yang tidak terhingga menawan puncak impian, puncak Gunung Kinabalu.


.....bersambung lagi

11 ulasan:

IkaAR said...

aku teringin nak menawan puncak gunung kinabalu tp apakan daya xde kesempatan dan peluang.. cuma aku sempat daki gunung tebu di terengganu je, itupun ms zaman sekolah sbb join kelab kembara

sagahayat said...

kalo ada pluang daki ar..mmg best..view mmg tiptop...yg penting kuat mental..sbb agak letih gak daki gng ni...

deqla manjew said...

cantik gambar...

sagahayat said...

tq deqla....

akhtar said...

Nak daki kinabalu lgi? Emel saya sbb sorang kawan tarik diri. Annurfiddarayn@yahoo.com, november 2012 ni.

makhluk rahsia said...

nak sangat daki Kinabalu ni.. tapi apakan daya mahal sangat.. xde modal la.. nanti kalau ada pakej promosi bagitahu eh... cuma mampu naik gunong kinabalu 5 kali je.. nak sgt naik kinabalu ni.. mahal siot...

sagahayat said...

naik gunung kinabalu 5 kali...?salah eja kot..hehe..aritu sy dpt pakej yg murah..pakej tu skali-skala je ade..tu pun sbb ade kwn kat sabah yg rajin tanya.....pakej kami aritu rm327...2 hari 1 malam....

makhluk rahsia said...

sory2.. salah taip... naik gunong santubong 5 kali.. hehehhee... nanti kalau ada lagi pakej murah info2 keyh..

sagahayat said...

hehe...masa daki dulu tahun 2010..skrg ni dah kira 2013...mgkn harga dah naik byk kot...hehe

makhluk rahsia said...

hehehe.. next ekspedisi ko nak p mane eh??

sagahayat said...

mmg tiap tahun ade je wat xpdc..tp yg simple2 balik ari..dulu bujang lain cerita..skrg dah kawen n ade anak sorg..so paling lama pun lepak puncak gng satu mlm....tahun 2013 ni belum bncg lg nak pegi mane....

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...