Aktiviti ini dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Zon Utara yang diwakili oleh JAS negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Bertempat di Nur Lembah Lenggong, Perak seramai kira-kira 100 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi mendaftar diri untuk program selama 3 hari 2 malam itu.
Aktiviti yang dinanti-nantikan sudah semestinya aktiviti berakit. Kami dibawa menaiki bas ke sebuah kampung yang terletak agak jauh dari kem. Kelengkapan berakit diangkut menggunakan lori. Taklimat diberikan pada pagi itu oleh ketua program. Kami diberi penerangan mengenai langkah keselamatan dan cara-cara memasang rakit dengan betul. Setiap rakit hanya dibenarkan dinaiki seramai 10 orang sahaja. Jaket keselamatan diagih-agihkan.
Rakit yang dibekalkan terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama diperbuat daripada buluh asli manakala jenis yang kedua adalah batang PVC yang telah dicantumkan. Kumpulan kami berjaya mendapatkan rakit jenis PVC memandangkan ianya lebih teguh pada pendapat kami. Kami hanya perlu menyambungkan pelampung dengan batang PVC dengan tali rafia.
Sebelum kami turun ke sungai, setiap seorang diarahkan untuk ‘terjun’ ke dalam sebuah kolam yang berlumpur sebagai sesi ‘water confident’. Tidak mengapa. Basah dan busuk bau lumpur akan dibasuh dengan kesegaran air hulu Sungai Perak. Itu cadangan kami nanti.
Akhirnya rakit kami pun dilancarkan. Setiap rakit hanya dibekalkan dengan dua pendayung iaitu di depan dan di belakang. Aku mengemudi rakit di hadapan. Sungai Perak mengalir tenang. Airnya jernih tidak seperti air teh tarik di hilirnya. Rakit kami dibawa arus ke hilir dalam suasana santai.
Apabila ada rakit lain yang cuba mendahului kami, barulah kami terhegeh-hegeh mendayung beradu kelajuan dengan rakit tadi. Sesekali kami menyimbah ‘musuh’ dengan air. ‘Musuh’ menyerang balik! Maka terdengarlah letupan “Woi! Kamera aku basah nanti”. Dan perang pun tamat. Masing-masing menunjukkan isyarat tangan tanda bagus dan kami pun berdamai.
Ketua program sebelum itu ada memberitahu, kumpulan terakhir yang tiba akan dikenakan denda. Kami ketika itu ditempat ketiga dikalangan sepuluh rakit yang menduga arus sungai itu. Aktiviti ini bukanlah untuk berlumba. Tetapi apabila dicabar, tangan seperti hendak tanggal apabila disuruh mendayung sekuat mungkin oleh kawan-kawan yang lain.
Selepas beberapa ketika, kami mula berhadapan dengan arus yang agak deras. Dua pengayuh tidak mampu mengalihkan rakit ke air yang tenang. Lalu rakit kami merempuh batu dan jeritan perempuan membuatkan kami panik seketika. Dua rakan terhumban ke dalam sungai. Pekikan dan jeritan bergaung dalam lohong telinga.
“Wei rileks ar. Dorang dah naik atas batu dah pun”. Masing-masing melepaskan nafas lega. Seorang wakil JAS yang berkayak tersenyum melihat gelagat kami terkial-kial membetulkan rakit. Sebahagian batang PVC pecah merempuh batu. Ikatan tali yang terurai kami ikat balik dengan tali yang kami bawa.
Kami lihat rakit buluh tiada masalah yang ketara. Rakit itu melepasi kami yang berhenti di ‘pit stop’ untuk membaiki kerosakan. Mereka melambaikan tangan sambil kesemuanya mengucapkan “Bye!”
Beberapa kali juga kami berdepan dengan jeram yang agak deras. Adakalanya rakit kami berpusing 360 darjah dek pusaran air. Adakalanya terjongket dihentam batu. Apapun itulah antara momen yang menyeronokkan apabila berakit.
Hari semakin panas tetapi kedinginan air Sungai Perak mengubati kami. Kami melalui pinggir kampung dan pinggir dusun milik orang kampung. Ada sekali kami melepasi jambatan dimana beberapa anak kecil melambai-lambai ke arah kami. Deruan air adalah santapan telinga kami dan juntaian pohon buluh ke dalam air adalah antara lanskap semulajadi sepanjang kami berakit di Sungai Perak.
Selepas hampir 3 jam, kami semakin menghampiri Kem Nur Lembah Lenggong. Sebuah bot menunda rakit kami ke sebuah pulau di tengah-tengah sungai itu. Kami diarahkan supaya mengangkat rakit ke atas dan membuka ikatan-ikatan pada rakit. Seterusnya kami membawa rakit itu melalui jambatan gantung untuk disimpan.
Orang kata berakit-rakit dahulu, berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Tetapi badan kami tidak ‘senang-senang’ apabila terpaksa ‘bersakit-sakit’ membawa batang PVC yang berat selepas tiga jam berakit di Sungai Perak. Apapun, pengalaman berakit ini tidaklah sehebat menyusuri sungai-sungai yang terkenal untuk aktiviti ‘water rafting’ seperti Sungai Sedim, Sungai Kiulu dan Sungai Padas. Namun untuk permulaan bagi sesiapa yang mahu mula berjinak-jinak, ianya pengalaman yang menyeronokkan.
1 ulasan:
Salam.
Boleh saya dapatkn maklumat detail pasal rafting di sg perak?
-Hafizudin Ishak
encikmalaysia@gmail.com
Post a Comment