GUNUNG KINABALU : BUMI DI ATAS BAYU Chapter I

Monday, November 8, 2010

Sembilan dari sepuluh peserta
“Kau tak pergi ke? Murah je 5 ratus termasuk flight and pakej daki gunung. Jom ar. Kalau tak pergi sekarang bila lagi?” Bertalu-talu soalan dari rakan sebilikku yang mengajakku untuk sama-sama mendaki gunung kinabalu.

RM500 terlalu besar bagi aku ketika zaman belajar di universiti. Begitu juga dengan Bee. Keghairahan kami untuk mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu sukar dibendung. Tetapi masalah kewangan menyebabkan kami terpaksa melepaskan peluang didepan mata.

Itu cerita sekitar 6 tahun yang lalu. Pada 31 Oktober 2010, Gunung Kinabalu berdiri megah di hadapan kami. Segalanya bermula apabila seorang junior aku yang pernah sama-sama mendaki Gunung Stong pada tahun 2003 tiba-tiba mengajak aku mendaki Kinabalu. Pucuk dicita ulam mendatang, aku menadah nyiru menyambut pelawaan Yani yang sudah lama ingin menawan puncak setinggi 4095.2 meter itu.

Gunung Kinabalu

Kami sentiasa berbincang sama ada melalui facebook ataupun menerusi talian telefon. Akhirnya seramai 10 orang berjaya dikumpulkan membentuk kumpulan mendaki yang mendaftar pendakian pada pagi ahad, 31 Oktober 2010.

Pada pagi itu semua sudah berkumpul. Aku hanya mengenali Bee, Yani & Azrul. Selebihnya 6 orang adalah muka-muka baru yang baru aku jumpa. Aku lihat mereka cukup yakin. Kasut Camel, beg galas Deuter & Kamera DSLR Nikon adalah antara pelengkap badan mereka mendaki gunung. Kami bersalaman dan tak banyak pun yang kami bualkan diawal perkenalan.

Sambil itu aku memerhatikan keindahan Gunung Kinabalu. Sayup nun di atas puncak Kinabalu. Memang kinabalu merupakan kompleks batu pejal yang besar, teguh dan tinggi dan menjadi habitat bagi pelbagai jenis flora & fauna . Keindahannya tidak boleh dijelaskan dengan setiap perkataan dalam Kamus Dewan. Terlalu indah.

Permulaan pendakian di Timpohon Gate
Kami dibawa menaiki van dari resort ke Timpohon Gate. Timpohon Gate merupakan pintu gerbang ke trek Timpohon. Satu lagi trek adalah trek Mesilau yang lebih landai tetapi lebih jauh. Kedua-dua trek ini akan bertemu di satu pertemuan menjadi satu trek ke Laban Rata.

Jam 9.30 pagi kami memulakan pendakian. Bersama kami adalah dua orang pemandu arah iaitu Abang Joe dan Abang Somihin. Mereka adalah anak jati Sabah yang sudah terlalu arif dengan selok-belok Kinabalu. Sebelum itu Abang Joe memberi sedikit taklimat. Banyak tip-tip yang diberikan sambil kami mendengar dan memahami setiap butir kata Abang Joe yang pekat loghat Sabahnya.
Abang Joe, salah seorang pemandu arah kami memberi taklimat ringkas.
“Sebagai pendaki pertama kali, saya mau ingatkan kamu semua. Pendakian kita ada 2 peringkat. Pada pagi ni kita akan mendaki sampai ke Laban Rata iaitu sejauh 6km. Walaupun cuma 6km sajak (sahaja), tapi kamu jangan ingat pendakian ni senang sajak. Kalau jalan rata, mimang tidak sampai 1 jam. Tapi ini lain. Jadik, saya mau ingatkan. Sesiapa yang ada energy, tidak payah tunggu yang lambat. Kamu teruskan sajak pendakian. Kita tidak mahu nanti sebab mau tunggu kawan yang lambat, badan kita jadik penat sebab menunggu. Lagi satu, saya mau ingatkan. Tongkat tu sangat penting. Mungkin kamu pikir kamu tidak perlukan. Kamu jangan lukik (lokek) dengan berbelanja sedikit duit. Di atas sana semuanya mahal”. Itulah antara kata-kata peringatan dari Joe.

Air terjun Carson menyambut pendakian kami. Untuk hari pertama kami akan mendaki dari Timpohon Gate ke Laban Rata. Pendakian dijangka mengambil masa 4 ke 6 jam. Bergantung kepada kemampuan pendaki. Permulaan pendakian agak landai kemudian semakin mencanak apabila semakin jauh pendakian. Trek ini dilengkapi dengan pemegang sama ada di kiri dan kanan trek. Tangga-tangga dibina menggunakan kayu dan tanah bagi memudahkan pengunjung. Setiap setengah kilometer akan disediakan papan tanda bagi memberitahu pendaki sejauh mana pendakian mereka. Pada KM1.0 tertera angka 2039m. Aras ini hampir menyamai ketinggian Gunung Irau yang pernah aku daki sebelum ini iaitu 2110m. Ternyata Gunung Kinabalu bumi di atas bayu.

KM 1 setinggi 2039 meter dari aras laut.

1 kilometer pertama, cuaca cukup baik. Kemudian hujan rintik turun menyebabkan kami segera mengenakan baju hujan. Hujan rintik berganti hujan lebat bersama kedinginan kaki gunung. Kami terus mendaki bersama ritma bunyi jantung berdegup bak irama muzik tekno, bunyi turun naik nafas yang berterusan dan bunyi hujan menimpa baju hujan dan daun-daun pokok.

Setiap pondok yang kami jejaki, kami singgah berehat sebentar sama ada untuk minum dan membuang air kecil. Setiap pondok disediakan tempat duduk, bekalan air yang tidak dirawat dan juga tandas.

Papan tanda jarak dan ketinggian

Selepas melepasi Pondok Kandis (KM0.9), Pondok Ubah (KM1.7), Pondok Lowii (KM2.3) dan Pondok Mempening (KM3.1), kami akhirnya tiba di Pondok Layang-Layang (KM4.0). Kami berhenti agak lama di pondok ini untuk menikmati bekalan makanan dan menunggu rakan-rakan yang lain. 2km lagi menanti kami untuk tiba ke Laban Rata.

Berehat makan di Pondok Layang-Layang

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan. Hujan masih menjadi peneman kami sejak KM1 lagi. Untuk pendakian seterusnya, trek semakin mencanak. Kami semakin terpisah-pisah. Azrul dan Azhar sudah jauh di hadapan. Aku mengikut rentak aku sendiri sementara kelibat Yani, Shukri, Shuhairi, Wan, Zaharil, Jas dan Bee tidak lagi kelihatan.

Untuk mengelakkan rasa penat, aku mendaki perlahan-lahan sambil menikmati pemandangan yang sangat cantik. Peringkat vegetasi sudah berbeza. Kalau sebelum ini kami menyaksikan pokok-pokok dipterokarp atas, kini kami melepasi hutan bonsai yang melengkuk liuk dan kelihatan seperti berusia beratus-ratus tahun.

Aku juga ringan mulut menyapa setiap pendaki yang turun dan ‘memotong’ aku dari belakang. Kebanyakan pendaki adalah dari luar negara. Sebelum tiba di Pondok Layang-Layang, aku mendaki bersama kumpulan pendaki dari Filipina. Kemudian aku berjumpa dengan kumpulan-kumpulan kecil dari England, Australia, Jerman, Sweden dan bermacam-macam negara yang lain. Selepas melepasi Pondok Villosa (KM4.9), aku meneruskan pendakian. Kelibat kawan-kawan yang lain masih tidak kelihatan.

Pohon renek seperti pohon bonsai diperingkat yang lebih tinggi

Di Pondok Paka (KM5.3), aku berhenti agak lama. Tulang selangka aku terasa sengal kesan kepatahan tulang itu setahun yang lalu. Cuaca sejuk meyebabkan ia terasa sengal.

Aku meneruskan pendakian. Trek dipenuhi batu-batu. 300 meter lagi aku akan tiba di Laban Rata. Tiba-tiba Azrul menelefon. “Wei, ko kat mane? Aku dah sampai. Ko dah nampak bumbung ke belum”?.

Selepas menjawab panggilan, aku meneruskan pendakian. Walaupun hanya 200 meter, pendakian mengambil masa yang agak lama. Aku akhirnya tiba di Laban Rata pada jam 3.00 petang. Azrul dan Azhar sudah tiba 15 minit sebelum aku.

Yani & Shukri tiba di Laban Rata pada jam 4 petang

Selepas check in di Dorm 11, mandi air sesejuk ais dan menukar pakaian yang kering, kami bertiga minum di restoran Laban Rata. Harga secawan milo adalah RM11.50! Mahal nak mampus! Tapi apa boleh buat. Sejuk punya pasal ditambah dengan perut yang berkeroncong menyebabkan kami tidak berkira. Nasib baik aku masih ada bekalan sandwich dan telur rebus untuk mengalas perut kami. Makan malam hanya disediakan jam 5 petang. 2 jam lagi.

Secawan milo panas berharga RM11.50 secawan

Kami kemudian menunggu rakan-rakan yang lain di muka pintu Laban Rata. Kak Jas tiba keseorangan kemudian Yani dan Shukri tiba serentak pada jam 4 petang. Bee dan Shuhairi sama-sama tiba dengan basah lencun 25 minit kemudian diikuti Wan sekitar beberapa minit selepas itu. Zaharil tiba bersama Abang Somihin pada jam 5.15 petang ketika kami sedang makan malam.

Selepas makan, kami berehat di katil masing-masing. Kebanyakannya sudah mula melelapkan mata. Aku cuba untuk tidur. Tetapi tidak berjaya. Mungkin malam masih remaja. Aku tiba-tiba terasa agak pening. Mungkin kesan kekurangan oksigen ataupun simptom mabuk gunung seperti yang diperkatakan oleh kawan-kawan lain sebelum ini. Bukan aku seorang. Beberapa rakan yang lain turut merasai kesan mountain sickness seperti sesak nafas, sakit kepala dan perut masuk angin.

Laban Rata berlatarbelakangkan gunung yang diseliputi kabus

Jam 10 malam aku berjaya melelapkan mata. Suara rakan-rakan berbual berganti dengkuran rakan-rakan yang kepenatan. Esok jam 2 pagi aku perlu bangun untuk mendaki ke puncak Kinabalu yang menjadi impian aku sejak bertahun-tahun yang lalu.


.....bersambung

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...