DUA HARI DI PASIR LANUN

Friday, December 24, 2010

Setelah setahun berlalu, aktiviti perkhemahan tahunan kembali lagi. Kali ini Pantai Pasir Lanun yang terletak di Mersing, Johor menjadi pilihan dengan disertai seramai 11 orang iaitu Sya, Akmar, Tart, Halim, Rehan, Fad, Ain, Azwad, Am, Che Yeop dan Akem.

Kami bertolak dari stesen bas di Bukit Jalil pada jam 10.30 malam. Kami sepatutnya menaiki keretapi tetapi tiket keretapi sudah habis. Bak kata Sya menerusi mesejnya, “Sori kawan-kawan. Tiket keretapi dah abis. Singapore ada public holiday hujung minggu ni. Petang ni aku pegi beli tiket dengan Fad”.

Jam 4 pagi kami tiba di Felda Nitar iaitu kampung halaman Sya. Kami disambut Pak Jas iaitu ayah Sya yang menunggu disimpang masuk ke felda itu. Kopi, rempeyek dan pelbagai cerita yang menghamburkan hilai tawa memenuhi dinihari rumah Pak Jas dan Mak As. Selepas subuh kami sambung dengan petikan gitar dan paluan gendang kecil sementara menanti sarapan disediakan. Rumah itu bagaikan milik kami sendiri apabila kami menyanyi-nyanyi dan segala kenangan yang melucukan di zaman universiti dihidang satu persatu oleh aku, Tart dan Azwad sehinggalah kami dihidangkan dengan nasi ambeng yang bagi aku merupakan pengalaman kali pertama menikmati makanan tradisi jawa ini.

Jam 8 pagi, Pakcik Janos, si pemandu van yang kami beri gelaran The Jonas Brothers sudah tiba dihalaman rumah. Kami meninggalkan Felda Nitar bagi meneruskan perjalanan ke Pantai Pasir Lanun. Kami tiba di Pantai Pasir Lanun pada jam 9.30 pagi. Pantai itu sudah meriah dengan ramai askar yang mengadakan hari keluarga. Lagu ‘Kenanganku’ dendangan Jefrydin seolah-olah menyambut ketibaan kami yang agak terkejut melihat begitu ramai orang di pantai itu. Jalan sekeliling hutan kecil dan tidak bertar tidak menjanjikan pantai itu masih liar sebaliknya terdapat chalet-chalet dan restoran.

Selepas hampir 15 minit, kami sudah mendapat tapak khemah. Empat khemah didirikan dan banner dipasang diantara khemah untuk menunjukkan kehadiran kami adalah dalam bentuk kumpulan yang telah terbentuk sejak empat tahun yang lalu. Ombak yang memukul pantai memanggil-manggil kami untuk turut serta bersama pengunjung yang lain bermandi-manda dalam suasana yang agak mendung di pagi sabtu itu. Walaupun air agak keruh dan ombak agak tinggi, kami tidak melepaskan peluang bermain dengan ombak yang datang menderu dengan ketinggian yang adakalanya mencapai hampir 2 meter.

HUJAN DAN ANGIN

Walaupun hujan turun di tengahari, ia tidak menghalang untuk kami bersuka ria di situ. Hujan mula melunturkan tulisan ‘Getaway Pasir Lanun’ pada banner kami yang ditulis menggunakan buncho berwarna kuning. Akibatnya, 'kuah masak lemak' tiba-tiba muncul diatas kanvas yang kami hampar. Azwad, Tart dan Che Yeop menahan khemah dalam kedinginan hujan bagi mengelakkan khemah terbang.

Hari itu kami tidak perlu memasak kerana sudah dibekalkan oleh Mak As nasi putih bersama ayam masak kicap dan sayur campur. Cuaca sejuk menyebabkan kami cukup berselera menjamu makanan. Apabila hujan reda, kami membentang tikar dan mula mendendangkan lagu-lagu sumbang sambil aku dan Che yeop bergilir-gilir memetik gitar. Angin menderu-deru bersama ombak laut yang tidak pernah berhenti mencipta suasana dingin dan nyaman.

Berhampiran tapak khemah kami terdapat buaian yang diperbuat daripada tali. Pelbagai aksi kami gayakan seolah-olah kami ini masih anak-anak kecil yang kemaruk bermain di taman permainan. Kami juga mengambil kesempatan untuk bergambar dan sudah pasti gambar-gambar itu nanti akan dimuatnaik ke facebook.

Selepas maghrib, kami menyediakan makanan. Nasi putih, sardin, tumis sayur dan kari ayam menjadi hidangan kami untuk makan malam. Selepas makan, semuanya sudah bersedia. Malam itu kami penuhi dengan permainan game spontan dan teka filem serta lagu. Hilai tawa bergema lagi sehingga jam 12 malam apabila hujan mula turun. Namun kami masih setia dibawah kanvas untuk mendengar jawapan lagu ‘Cinta Melankolik’ (sepatutnya Cinta Melankolia) yang tidak dapat diteka oleh kumpulan perempuan.

Malam itu kami sepakat untuk bermalam di wakaf memandang hujan turun dengan lebatnya. Nyamuk, hujan lebat dan angin laut menjadikan tidur kami kurang lena walaupun masing-masing kurang tidur sejak semalam.

EMPAT TAHUN

Keesokan harinya kami mula berkemas. Aku, Azwad dan Akem mengambil kesempatan untuk ‘melawan’ ombak buat kali terakhir sebelum meninggalkan Pasir Lanun. Jam 11 pagi Pak cik Janos sudah bersedia membawa kami ke Mersing. Kami seterusnya meninggalkan Mersing dan akhirnya tiba di Kuala Lumpur pada jam 7 malam.

Walaupun keadaan Pantai Pasir Lanun kurang menarik lantaran musim tengkujuh, tetapi kami percaya imej sebenar pantai itu sangat cantik. Gugusan pulau menghadap pantai serta tanjung berbatu yang mengapit teluk di pantai itu sememang merupakan lanskap semulajadi yang menarik. Tambahan pula gambar yang kami lihat sebelum ini adalah 'pantai yang berair biru dengan ombak yang sederhana'.

Musim hujan mengubah lanskap Pasir Lanun yang dikatakan menjadi tempat pelabuhan lanun-lanun perairan Mersing suatu masa dulu. Namun begitu masih ramai yang berdedai datang berkelah dan bermain ombak termasuklah kami.

Apapun nilai persahabatan antara kami tetap utuh walaupun ada diantara kami yang hanya dapat bertemu setahun sekali dalam acara sebegini. Pedulikan cuaca atau tempat yang kurang memuaskan, kerana kami percaya perjumpaan sebegini bukan mudah dilaksanakan lantaran komitmen keluarga dan kerjaya.

Tiba-tiba aku teringat aku ada mengeluarkan kenyataan pada yang lain. “Aku bangga. Orang lain pun berkawan. Tapi diorang tak boleh buat macam kita. Bukan semua orang boleh pegi camping setiap tahun. Dah 4 tahun kita buat”. Apabila dilihat kembali pada gambar banner, memang benar. Sudah 4 tahun. Ya, 4 tahun!


Nota : Terima kasih tak terhingga kepada Pak Jas & Mak As!

2 ulasan:

hazrulkhamsani said...

best!!!semoga korg terhibur dgn lawak2 kubur diva kelakar ya..harap2 masyitah ibrahim juga membaca rentetan blog ini utk menambah perisa kekelakaran jabatan perdana menteri..hahaha

sagahayat said...

hahaha....juga 'soal asyraf' dan kisah 'berapa lama amik ms nak kapel' mnjadi kenangan kat pasir lanun..thanx tart sbb join dan memeriahkan persada jabatan perdana menteri...hahaha

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...