TIGA BERSAUDARA KE GUNUNG BEREMBUN

Sunday, December 12, 2010

Angka 3 begitu sinonim dengan pendakian kali ini. Pertama, apabila ditaip pada enjin pencarian Google perkataan ‘Gunung Berembun’, akan keluar 3 Gunung Berembun yang masing-masing terletak di Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu. Kedua, ada 3 gunung yang mempunyai nama yang hampir serupa iaitu Gunung Berembun, Gunung Beremban dan Gunung Berumbun. Ketiga, pendakian ini hanya disertai oleh tiga orang iaitu aku, Azrul dan adiknya E.G.
Perancangan pendakian kami agak mudah. Kami hanya berSMS sahaja dan kelengkapan seperti khemah, lampu dan flying sheet sememang sudah ada pada kami. Dua orang kawan menarik diri pada saat akhir kerana masing-masing bengkak kaki selepas main futsal dan seorang lagi anaknya sakit. Lalu E.G mengesahkan penyertaan pada malam sebelum pendakian menjadikan perancangan kami hampir menjadi realiti meskipun pendakian ini dalam kelompok yang sangat kecil. Jika Hang Tuah lima bersaudara mendaki Gunung Ledang untuk berguru, kami bertiga mendaki Gunung Berembun untuk berguru dengan alam dalam musim hujan dipenghujung tahun.



“Kalau aku dengan ko je, baik kita balik ari. Tak berani aku kita dua je tido kat atas tu. Kawan aku pun tak dapat join. So aku harap E.G atau member ko tu dapat join ar. Ramai sikit...”
jelas aku sehari sebelum aku tiba di rumah Azrul.

Kami tiba di Tanah Rata pada jam 11 pagi, 8 Disember 2010. Kelengkapan seperti makanan dan lain-lain lagi kami perolehi di pekan itu. Kemudian kami ke Brinchang untuk membeli firestarter dan nasi sebagai bekalan ke puncak. Harga empat bungkus nasi kosong dan tiga ketul ayam goreng adalah RM15. “Lima belas ringgit!”. Mahal nak mampus! Kalau kat Kinabalu aku boleh terima la. Lima belas ringgit!” aku mengomel. Bila kami berkereta ke Tanah Rata semula, aku menjerit “Lima belas ringgit!” pada seorang pejalan kaki sebagai tanda protes. Yang lain-lain hanya ketawa. “ Mesti orang tu rasa ko gila. Jangan kereta aku kena calar nanti sudah!”, tambah Azrul. Sebelum itu pun kami sudah membayar RM5 untuk dua gelas Teh O ais dan segelas Teh O suam. “Memang cekik darah betul la peniaga kat Brinchang ni!”



Kami kemudian ke masjid untuk solat. “Sekali lepas sembahyang kena bayar lima belas ringgit”, aku mencelah. Kami ketawa lagi. Selepas solat jamak Zohor dan Asar, kami ke SK Tanah Rata. Kereta kami letak betul-betul berdekatan pondok pengawal sekolah itu. Kami juga berbual dengan pengawal keselamatan dan meminta kebenaran untuk meletakkan kereta dikawasan itu. Pak guard orang asli itu ringan mulut menceritakan macam-macam tentang Gunung Berembun pada kami. Penerangannya panjang lebar dengan sebutan huruf S nya yang semulajadi macam sebutan S lidah pendek si Pierre Andre. Sesekali kami melihat puncak gunung yang jelas kelihatan dari sekolah itu.

Kami berjalan beriringan melewati SK Tanah Rata dan kemudian masuk ke Mardi yang terletak bersebelahan sekolah. Dalam Mardi itu terdapat papan tanda menunjukkan arah ke Gunung Berembun. Kami berpakat mendaki menggunakan Route 7 yang merupakan trek terdekat ke puncak gunung. Terdapat dua lagi trek iaitu Route 3 dan Route 8.

Pendakian kami bermula di belakang kuarters Mardi dan kemudian melalui denai di ladang pokok teh yang kecil. Pada ketika itu jam menunjukkan pukul 2.15 petang. Matahari memancar cerah dan Cameron Highlands pada masa itu bersuhu 23 darjah selsius. Selepas melepasi ladang teh, kami berjalan di sebelah kebun strawberi milik Mardi. Kami kemudiannya memasuki laluan yang bersemak yang hanya dipenuhi dengan pohon-pohon renek menyebabkan muka kami berkilat dek peluh dan sinaran matahari.

10 minit kami mendaki baru kami teringat kami belum membaca doa lagi. Lantas aku memimpin bacaan doa. “Ya Allah Ya Tuhan kami. Kami memohon padaMu. Lindungilah kami daripada bencana dan malapetaka. Kami ingin menikmati keindahan ciptaanMu Ya Allah. Kami mensyukuri segala kurniaanMu Ya Allah. Kami ingin menikmati segala keindahan ciptaanMu Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin”. Doa aku mengulang ayat yang sama. Tetapi aku, Azrul dan E.G faham, tujuan kami sememangnya untuk menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan selain menjadikan rekreasi hobi yang bermanfaat kepada kami.

Kami kemudiannya mula memasuki hutan sebenar dimana pohon-pohon tinggi memayungi kami. Kedinginan lereng gunung mula terasa. Pendakian kami agak santai. Kami tidak terkejar-kejar dan banyak menghabiskan masa berbual dan bergurau. Azrul tidak sudah-sudah menunjukkan pelbagai software yang dipasang dalam telefon Nokia X6nya. Dia mengutuk telefon aku yang hanya digunakan untuk SMS, telefon dan Wifi. Selebihnya kosong tanpa aplikasi. “Lepas ni ko install indeks pencemaran, skala richter, indeks kepedasan cili kat henset ko”, sindir aku. Beberapa minit kemudian, telefon bimbit Azrul terlepas dari tangannya dan tergolek hampir 1 meter ke bawah menyaksikan aku tergelak terbahak-bahak mengenangkan nasib orang berlagak macam si Azrul. Tapi aku tahu dia hanya bergurau mengutuk telefon aku. E.G hanya ketawa sambil tak habis-habis keluar perkataan ‘bengong’ dari mulutnya.


Pendakian mengikut laluan Route 7 agak landai. Keliling kami adalah pokok-pokok tinggi yang menjadikan laluan pendakian kami redup dan dingin. Ada juga beberapa pokok yang dilekat dengan papan tanda nama pokok dan nama saintifiknya sekali. Anak panah menunjukkan arah trek juga boleh kami temui sepanjang trek bagi memudahkan pendaki. Sesekali imej Gunung Irau terdapat di laluan ke Gunung Berembun itu. Lumut, sedikit lecak dan akar pokok yang berselirat.



Jam 4 petang, cuaca mula mendung. Kabus semakin mendekati kami. Kami memutuskan untuk segera ke puncak yang tinggal kira-kira 300 meter lagi. Ketika ini trek agak mencanak. Kami perlu memasang khemah sebelum hujan turun. Namun hujan lebih pantas berbanding kami. Hujan renyai berganti lebat. Kira-kira 100 meter dari puncak gunung, kami tiba di persimpangan antara Route 7 dan Route 8. Kami semakin laju mendaki dan akhirnya tiba di puncak setinggi 1840 meter dari aras laut itu pada jam 4.15 petang.


Kami memasang khemah ketika hujan turun bersama kedinginan yang menggigit sampai ke tulang hitam. Seketika kemudian hujan semakin reda memberi peluang kepada kami menikmati keindahan puncak gunung dan bergambar. Hati panas melihat kesan contengan pada papan tanda Gunung Berembun yang diconteng oleh sebahagian pendaki-pendaki terdahulu yang tidak bertanggungjawab.




HUJAN MALAM





Dua jam. Itulah tempoh yang diperlukan untuk menyalakan unggun api. Faktor kayu basah menyukarkan usaha itu walaupun kami menggunakan thermogel yang dibeli di pekan Brinchang. Buluh-buluh kecil banyak membantu menghidupkan api. Nasib baik aku ada membawa solid fuel untuk memanaskan lauk dalam tin dan air untuk dibancuh dengan serbuk milo.

Malam itu kami menikmati dua bungkus nasi kosong yang dibahagi tiga bersama lauk ‘masakan Chef Wan’ jenama Yeos. Air milo panas menjadi pelengkap juadah. Pukul 5 petang sebelum itu pun kami sudah menghabiskan nasi kosong dan ayam goreng ‘lima belas ringgit’ dengan lahapnya.

Jam 9 malam hujan turun kembali. Tetapi tidaklah selebat mana. Kami banyak menghabiskan masa didalam khemah berborak sambil mendengar lagu-lagu dari telefon bimbit. Unggun api semakin marak dan adakalanya padam apabila tidak dijaga. Hujan santak ke 1 pagi.




ROUTE 8



Suhu yang cukup sejuk menyebabkan tidur kami kurang lena. Jam 6 pagi kami sudah mula bangun, berborak dan kemudian mengambil wuduk untuk menunai solat subuh. Aku menyediakan sarapan pagi. Air mineral dipanaskan untuk dibancuh dengan serbuk milo 3 in 1. Sebungkus maggi direbus untuk dikongsi 3 orang. Roti gardenia 0.60 sen aku keluarkan dari dalam khemah.

Sambil bersarapan kami bergambar. Puncak Gunung Irau dan Gunung Brinchang jelas kelihatan dari puncak Berembun. Menurut laman web wikipedia, Gunung Berembun adalah gunung ke-45 tertinggi di Malaysia. Gunung Irau di tempat ke-15 manakala Gunung Brinchang ditempat ke-28. Kami juga mengemas tapak khemah dengan menanam sisa-sisa makanan yang kami hasilkan. Cuaca semakin mendung. Kabus semakin mendekati kami. Kami berpakat untuk segera berkemas dan menuruni puncak sebelum hujan turun.

Sekali lagi hujan lebih pantas berbanding kami. Mujur beg dapat dikemaskan sebelum hujan turun. Selepas berdoa kami memulakan perjalanan iaitu pada jam 8.50 pagi. Route 8 menjadi pilihan kami. Trek ini akan membawa kami ke Robinson Waterfall. Kami bergerak agak laju. Hujan seakan mahu menemani kami sehingga ke hujung trek. Route 8 sebenarnya lebih jauh. Trek ini akan bersambung ke Route 9 yang akan membawa kami ke hadapan kuarters jururawat.

Kami tidak berhenti sepanjang perjalanan. Cuma apabila tiba di satu papan tanda kami berhenti seketika. Kami perlu mendaki menggunakan tali untuk melepasi trek itu. Aku yang sebelum itu berada paling hadapan berubah tempat ke paling belakang. Azrul mendahului. Tiba-tiba lubang hidung aku mencium bau yang cukup busuk. Rupa-rupanya Azrul mengeluarkan angin yang terpendam dalam perutnya dengan bau yang pekat dan meloyakan. Aku dan E.G marah-marah sambil Azrul ketawa melihat kami memicit hidung.

Tiga kali dia terkentut, tiga kali dia buat muka selamba. “Wei pegi berak la. Kentut ko bau taik. Mesti dah kat ujung-ujung tu”, arah aku yang tiga kali disimbah bau pekat dan memeningkan. Sekali lagi angka 3 menjadi pilihan.

Selepas hampir sejam, kami semakin menghampiri Robinson Waterfall. Bunyi air menderu-deru membawa kami berjalan lebih laju. Air sungai seperti teh tarik adalah imej Robinson Waterfall. Gambaran aku tentang sungai itu cantik dan bersih sebelum tiba di air terjun itu terpesong sama sekali. Airnya keruh dan sangat deras.


Di Route 9 kami menamatkan misi. Dapat kami rumuskan bahawa Trek 8 lebih sukar dan lebih jauh berbanding Route 7. Nasib baik kami mendaki mengikut Route 7 yang ternyata lebih dekat dan landai. Apapun pendakian ke gunung ini tidak sesukar mana. Sekadar menambah koleksi pendakian gunung dan dalam masa yang sama Gunung Berembun turut menyajikan pemandangan yang indah. Gunung ini selalunya didaki bukan untuk berkhemah tetapi lebih sesuai untuk ‘balik hari’. Namun suhu yang sejuk dan hujan yang berpanjangan tetap membuatkan kami berembun di Gunung Berembun.


VIDEO PUNCAK GUNUNG BEREMBUN

video



PANDUAN & TIPS KE GUNUNG BEREMBUN, CAMERON HIGHLANDS



• Anda boleh meletakkan kereta dihadapan SK Tanah Rata ataupun meminta kebenaran pihak Mardi untuk meletakkan kenderaan berhampiran kuarters Mardi. Ada dua pilihan trek yang termudah untuk pendakian iaitu Route 7 yang lebih landai dan dekat serta Route 8 yang lebih sukar dan lebih jauh. Satu lagi trek adalah Route 3 tetapi sangat jauh.

• Tiada bekalan air bersih sepanjang trek. Anda dinasihatkan membawa air mineral untuk tujuan masak, minum dan sebagainya

• Terdapat anak-anak panah yang menunjuk jejak ke puncak di Route 7. Terdapat juga papan tanda jarak ke puncak gunung.

• Sekurang-kurangnya 3 buah khemah jenis ‘4 men tent’ boleh dipasang di puncak Gunung Berembun.


Nota : Terdapat perdebatan mengenai nama gunung ini. Pertama, terdapat juga sebuah gunung di Terengganu yang bernama Gunung Berembun. Kedua, kebanyakan laman web menulis gunung ini sebagai Gunung Beremban tetapi masyarakat tempatan memanggilnya dengan nama Gunung Berembun. Begitu juga dengan papan tanda diatas puncak yang tertulis Gunung Berembun.

9 ulasan:

Sham @ Kumai @ KG @ Jack said...

setiao hari aku berada dibawah kakiknya.. tak pe bulan 6 atau 7 aku nak ke sini..

sagahayat said...

keje or tinggal kat cameron?gunung ni selalunya org buat daytrip...ape2pun slmt mendaki nnti..tq baca sagahayat....

Sham @ Kumai @ KG @ Jack said...

keje.. dan tinggal di sini ... kalau nak naik sini dan mendaki gunung di sekitar ini kalau tak kisah, saya suka untuk mengikut sebab di sini kebanyakkan rakan2 di sini tiada yang berminat sangat kerana sudah berada di atas gunung .. hujung minggu macam2 alasan nak turun ke bawah ... susah nak cukup korum..
tapi blog yng sangat menarik ... teruskan .. saya belum membaca sepenuhnya..

sagahayat said...

tq byk2....teruskan membaca..sy slalu dtg ke cameron semata2 utk daki gunung..kali terakhir dtg 31 disember 2011..sy daki gunung jasar n perdah serentak..ada gak sy tulis dlm blog ni....mmg susah sebenarnya nak carik member daki gunung...masing2 busy wpun hujung mggu...

Alep Muadz said...

salam bro...kalau nak pergi perlu guide x?ke sekadar ikut signage yg mmg ada sepanjang trek?tq

sagahayat said...

wslm....x perlu guide..kbykan pendaki wat daytrip..trek tersedia untuk jungle trekking n phujungnya gunung berembun sendiri....ada anak panah (utk direction) sepanjang trek....sy cdgkan gunakan trail 7 (rujuk map) utk naik n turun sbb lebih mudah....harap mbantu...

Anonymous said...

Maaf adamin tumpang iklan ye
TEBING TINGGI BACKPACK
MOUNT GUIDE SERVICE
ALL OVER CAMERON MOUNT
ANDY 017-9997790

Unknown said...

Assalamualaikum... tumpang tanya, untuk daki gunung berembun, perlu mohon permit?

sagahayat said...

Wslm.sbnrnya smua gng kna ada permit.tp rata2 pdaki tak pakai.mgkn sbb trek terang dan dkat dgn penempatan.so bg sy kalo xde pn xpe

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...