TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI

Friday, December 31, 2010

Demi menyara keluarganya, Cheng Guorong tekad meninggalkan kampungnya pada tahun 1996 berhijrah ke bandar Ningbo untuk mencari pekerjaan. Dia berjaya memperolehi pekerjaan dan sering mengirimkan wang untuk kegunaan isteri dan dua anaknya di kampung.

Malang tidak berbau, suatu hari Guorong dirompak. Semua duit simpanannya hilang serta merta. Sudah jatuh ditimpa tangga, dia dibuang kerja. Guorong tiada pilihan. Dia terpaksa hidup bergelandangan dan mengemis setiap hari demi meneruskan hidup. Guorong malu dan tidak berani berhubung dengan keluarganya lantaran dirinya sendiri kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan dia gagal menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa untuk memberi nafkah kepada keluarganya.

Guorong mengalami tekanan jiwa. Ditambah lagi dengan hidup sebatang kara, Guorong bergelumang dengan rutin menyelongkar tong sampah demi mengalas perut saban hari.

Sehinggalah 14 tahun kemudian, seorang fotografer amatur merakam gambar seorang pengemis yang sedang berjalan di Ningbo, China. Walaupun selekeh, berpakaian kotor, berambut panjang dan seperti tidak terurus, lelaki tersebut memiliki seraut wajah yang kacak. Foto itu kemudiannya dimuatnaik oleh fotografer itu ke internet dan tanpa diduga foto itu menjadi begitu popular di internet dan ramai mencari pengemis tersebut di jalanan. Pengemis itu adalah Guorong.

Gambarnya juga dijadikan muka hadapan sebuah majalah di China. Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen. Guorong pantas digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet. Gambarnya yang satu itu diedit oleh peminat-peminatnya yang hanya menggunakan wajahnya dan dikongsi di internet. Dia persis model profesional mahupun selebriti tersohor.

Guorong terpijak rezeki. Dia menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan. Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan.

Kisah tragis Guorong yang hidup bergelandangan juga mendapat simpati para peminatnya. Mereka berjaya mengumpul sumbangan 100 ribu yuan supaya dia dapat kembali ke pangkuan keluarganya dan hidup normal.

Sebelum dia tiba dikampungnya, saudara-maranya menyangka dia sudah mati tetapi liputan mengenainya di dada-dada akhbar dan foto-fotonya di internet menyangkal sangkaan itu. Namun sayang seribu kali sayang, ketika kembali ke kampung halamannya, isteri dan ayahnya yang ditinggalkan selama 14 tahun sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapat berita kehilangan orang yang tersayang.

Guorong : sebelum & sesudah

Tuah ayam nampak di kaki tetapi tuah Guorong bermula dengan sekeping gambar yang mengubah hidupnya seratus peratus. Fesyennya menjadi ikutan dan menjadi inspirasi kepada pereka fesyen. Namun hingga ke saat ini Guorong masih menghadapi kesukaran beradaptasi dengan kehidupan barunya selaku selebriti kerana dia masih trauma dengan kehidupan bergelandangan selama bertahun-tahun di Ningbo. Walaupun begitu dia masih Guorong yang dahulu yang merendah diri, pendiam dan pemalu.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...