TAKWIM ANTARABANGSA

Tuesday, September 28, 2010


Seminggu ada tujuh hari semuanya. Ahad, isnin, selasa, rabu, khamis, jumaat dan sabtu. Dalam 365 hari setahun, terdapat hari-hari tertentu dimana kita meraikan perayaan. Contohnya Hari Raya Puasa, Deepavali, Hari Raya Haji, Tahun Baru Cina dan macam-macam lagi. Tarikh-tarikh perayaan ini tidak tetap seperti Hari Krismas dan Hari Gawai yang masing-masing disambut pada 25 Disember dan 1 Jun setiap tahun.

Tetapi terdapat juga hari-hari yang digazetkan khas untuk kelompok tertentu atau dikhususkan bagi memperingati sesuatu atau diraikan sebagai kesedaran kepada isu tertentu. Menariknya hari-hari ini diraikan secara global dan bersifat antarabangsa. Mari kita semak senarai hari dalam takwim antarabangsa ini mengikut tertib tarikh.

FEBRUARI
• Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa - 21 Februari

MAC
• Hari Wanita Antarabangsa - 8 Mac
• Hari Puisi Sedunia - 21 Mac
• Hari Hutan Sedunia - 21 Mac
• Hari Air Sedunia - 22 Mac
• Hari Batuk Kering Sedunia - 24 Mac

APRIL
• Hari Kesihatan Sedunia - 7 April
• Hari Bumi - 22 April
• Hari Dunia Buku dan Hak Cipta - 23 April
• Hari Harta Intelek Sedunia - 26 April
• Hari Peringatan Pekerja Antarabangsa - 28 April
• Hari Tarian Antarabangsa - 29 April

MEI
• Hari Pekerja – 1Mei
• Hari Kebebasan Akhbar Sedunia - 3 Mei
• Hari Astronomi - 6 Mei
• Hari Persatuan Palang Merah & Bulan Sabit Merah Antarabangsa - 8 Mei
• Hari Jururawat Antarabangsa – 12 Mei
• Hari Muzium Antarabangsa - 18 Mei
• Hari Biodiversiti Antarabangsa – 22 Mei
• Hari Dunia Tanpa Tembakau - 31 Mei



JUN
• Hari Kanak-kanak Antarabangsa - 1 Jun
• Hari Alam Sekitar Sedunia - 5 Jun
• Hari Laut Sedunia – 8 Jun
• Hari Pelarian Sedunia - 20 Jun

JULAI
• Hari Populasi Sedunia - 12 Julai

OGOS
• Hari Biodiesel Antarabangsa - 10 Ogos
• Hari Belia Antarabangsa - 12 Ogos
• Hari Antarabangsa Peringatan Perdagangan Abdi & Penghapusannya - 23 Ogos


SEPTEMBER
• Hari Pembersihan Sedunia - 15-17 September
• Hari Ozon Antarabangsa - 16 September
• Hari Keamanan Antarabangsa - 21 september
• Hari Pelancongan Sedunia - 27 september


OKTOBER
• Hari Tanpa Kekerasan Antarabangsa - 2 Oktober
• Hari Haiwan Sedunia - 4 Oktober
• Hari Guru Sedunia - 5 Oktober
• Hari Habitat Sedunia - 6 Oktober
• Hari Makanan Sedunia - 16 Oktober
• Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa - 17 Oktober
• Hari Kesedaran Kegagapan Antarabangsa - 22 Oktober


NOVEMBER
• Hari Vegetarian Sedunia - 1 November
• Hari Diabetes Sedunia - 14 November
• Hari Pelajar Antarabangsa - 17 November


DISEMBER
• Hari Aids Sedunia - 1 Disember
• Hari Orang Kurang Upaya Sedunia - 3 Disember
• Hari Sukarelawan Antarabangsa - 5 Disember
• Hari Hak Asasi Manusia - 10 Disember
• Hari Kepelbagaian Biologi Sedunia - 29 Disember



Nota : Tidak terlewat untuk sagahayat mengucapkan selamat menyambut hari pelancongan sedunia!

CERITA HANTU KERETAPI MALAM

Sunday, September 26, 2010


TARIKH : 28 DISEMBER 2008
TEMPAT : KOC F6, EKSPRES LANGKAWI
DARI BUTTERWORTH KE KUALA LUMPUR
MASA : 9.06 MALAM


Keretapi malam itu bergerak tepat pada masanya. Fad, Akmar, Am, Azwad, Akem, Tart dan Rehan mengambil tempat duduk masing-masing. Che Yop, Kunk, Bee dan Sya menuju ke Koc Cafe untuk membeli makanan. Perjalanan masih jauh dan malam masih muda. “Takde ape yang kita boleh buat ni. Sambil-sambil kita duduk ni ape kate kite cite hantu?”, Azwad bersuara. “Ok gak!”, sambut Fad. “Biar aku cerita dulu”, sambung Fad lagi.

“Korang pernah dengar cite hantu karaoke? Mesti dengar macam kelako kan, tapi benda ni terjadi kat kawan aku. Kawan aku ni pompuan. So satu malam dia pegi karaoke kat satu mall yang famous la kat kl. Aku malas nak sebutlah nama mall ni. Kawan aku ni pegi dengan dua orang kawan dia. Semua pompuan. Pastu dorang pun nyanyi-nyanyi la sampai lewat malam. Bila dah abis dorang pun pegi kaunter nak bayar bil. Tapi orang kaunter tu letak bil macam charge empat orang. Kawan aku tu pun tanya la. Apesal charge empat orang padehal dorang bertiga. Orang kaunter tu cakap memang dorang berempat. Tak puas hati punye pasal kawan aku tadi mintak bukti. Orang kaunter tu pun tunjuk kat dorang rakaman cctv kat bilik karaoke yang dorang pakai tadi. Semua terkejut beruk sebab memang ada orang keempat kat dalam bilik tu. Pompuan tu rambut panjang. Pakai baju putih. Muka tak nampak sebab dia tunduk je. Dia berdiri je kat penjuru bilik tu. Masing-masing meremang bulu roma. Lepas abis je tengok rakaman tu dorang macam nak tumbang. Orang kaunter tu pun baru perasan yang pompuan tu bukan geng dorang sebab dorang sume pakai tudung. Sejak ari tu dorang tak berani lagi karaoke kat mall tu. Orang cakap tapak mall tu pun ada something la. Tapi aku tak sure la ape kan”.

“Huish. Seram gak cite ko ni. Confirm aku tak berani karaoke kat situ. Aku rasa mesti tokeh karaoke tu suruh member ko zip mulut. Kalo tak sape nak datang karaoke kat situ lagi”, sampuk akmar.

“Ok.ok. Biar aku cerita pulak. Ni cerita hantu polis. Ye la aku kan polis. Hehehe”, kata Akem.

“Cerita ni terjadi kat pulapol atau kalo korang tak tau pulapol tu apa pulapol tu ialah pusat latihan polis. Pulapol cawangan mana tu korang jangan tanyalah. Rahsia. Hehehe. Ok. Biasa la polis selalu mesti ada latihan. So setiap malam bila abang-abang polis ni tido akan ada sorang yang kene sentry kat setiap floor dorm tempat dorang tinggal. Ada sorang ni kene jaga sorang-sorang kat tingkat paling bawah. Masa tu memang horror sebab memang tengah malam and yang lain-lain memang dah tido. Tiba-tiba dia dengar bunyi orang turun tangga. So dia pun berdiri elok-elok sebab dia tau kadang-kadang ada polis senior buat inspection mengejut. Pastu polis senior tu berdiri betul-betul depan dia. Dia pun bagi tabik hormat kat polis senior tu. Polis senior tu pun sambut tabik hormat gak. Tapi lepas tu dia tanggalkan kepala dia dan letak kat atas meja sentry polis. Polis tu ape lagi. Lari menjerit-jerit macam tak cukup tanah”.

“Polis pun ade antu ek. Entah-entah antu tu ko. Hahahaha”, ketawa Rehan. Yang lain turut ketawa bersama.

Keretapi bergerak semakin laju. Cerita terhenti seketika. Beberapa penumpang lalu lalang di laluan diantara tempat duduk mereka. Kemudian mereka menyambung lagi.

“Ok la. Giliran aku pulak", kata Am.

Cerita ni abang aku yang cerita. Kawan dia yang alami sendiri benda ni. Korang tau kan jalan ke rumah aku yang berlengkok-lengkok tu. Dah la gelap. Pastu kiri kanan hutan and kelapa sawit. Kat situlah benda tu berlaku. Masa tu kawan abang aku ni berdua dengan sorang kawan die. Dorang balik lewat malam naik keta pakai jalan tu. Bila sampai kat satu tempat dorang nampak ada motor bergerak menghala makin dekat dengan dorang. Bila motor tu dah dekat baru dorang perasan motor tu takde orang. Dia bergerak sendiri. Dorang punyalah terkejut. Salah sorang tu tegur la. “Eh! Motor tu takde orang!”. Dorang mula rasa tak sedap. Tiba-tiba kereta dorang makin perlahan. Bila tekan-tekan minyak masih perlahan gak. Paling laju pun 20km/j. Bila dorang tengok kat belakang rupa-rupanya ada sorang pompuan, muka buruk, rambut panjang bertenggek tengah tekan bonet kereta tu. Dorang takut gile masa tu .Tapi keta tu tak boleh bawa laju gak. Sampai rumah baru hantu tu hilang. Memang horror ar”.

“Giler ar. Seram siot. Tapi jalan pegi rumah ko tu memang horror Am. Walaupun kadang-kadang nampak highway plus tapi tetap ngeri gak. Kalo aku dah terkencing-kencing masa tu gak”, kata Azwad.

“Korang cite ape ni?”, tanya Che Yop yang baru kembali dari Cafe. “Cerita hantu la”, jawab Tart. “Oooo..aku pun ade cerita hantu gak. Nak dengar?”’ tambah Che Yop. “Nak! Nak!”, jawab Fad dan Akmar hampir serentak.

“Ok. Dengar sini elok-elok”, Che Yop memulakan ceritanya.

“Cerita ni kat sekolah asrama. Biasa la kat sekolah asrama mesti ade cerita hantu. Satu hari ada sorang budak tu cadang nak tido kat atas lantai. Kira bawak tilam ke bawah la. So dia pun ajak dua orang kawan dia yang lain join sama. Jadi malam tu dorang pun susun tilam dorang cun-cun bawah kipas siling. Sebelum tu pun ade la senior bagitau jangan tido dengan bilangan ganjil macam tiga orang ke, lima orang ke kat lantai dorm. Tapi agaknya mungkin dorang lupe. Bila sume dah baring and tido tiba-tiba sorang ni terjaga and nampak ada something kat hujung bilah kipas yang tengah berpusing tu. Dia pun terus tengok betul-betul. Tiba-tiba kipas tu makin perlahan. Lepas tu dia nampak ada kepala orang betul-betul tercacak kat hujung bilah kipas tu. Rambut dia terurai ke bawah. Muka dia menghadap budak tu tadi. Mata dia pandang tepat kat budak tu. Budak tu terkejut. Dia nak menjerit tapi suara macam tak keluar. Pastu kepala tu jatuh betul-betul kat dada budak tu. Menjerit-jerit budak tu. Satu asrama terbangun”.

“Huh. Nasib baik aku dah abis zaman asrama. Tapi kat umah sewa kitorang memang kitorang tido bentang tilam kat bawah. Tapi kami berempat je la sebab si Akmar tido kat dalam bilik”, terang si Bee.

“Nama pun cerita. Entah betul Entah tidak”, kata Sya. “Jom ar makan. Karang sambung balik”, pelawa Kunk sambil membuka bungkusan nasinya.

Mereka pun menjamu selera. Sebentar lagi mereka mahu sambung bercerita lagi. Kereta masih laju meluru ke selatan. Malam itu pasti mereka isi lagi dengan cerita hantu dalam keretapi malam.


Nota: Cerita-cerita ini diceritakan semasa aku dan kawan-kawan dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur selepas berkhemah di Taman Negara Pulau Pinang untuk mengisi masa kosong. Dialog dan cerita diolah semula mengikut imaginasi sagahayat.

WAYANG GAMBAR YANG TAK MENJADI

Saturday, September 25, 2010

Kita selalunya tahu tentang filem-filem yang dianugerahkan Hollywood sebagai Best Picture (Filem Terbaik) menerusi Academy Award seperti The Hurt Locker, Slumdog Millionaire dan The Departed tetapi pernahkah kita dengar tentang anugerah yang memberi gelaran Worst Picture (Filem Terburuk). Golden Raspberry Award ataupun Razzie Award adalah anugerahnya. Majlis penganugerahan ini diadakan sehari sebelum majlis Academy Award. Trofinya berbentuk buah raspberry sebesar bola golf yang hanya beharga US$4.79. Ayuh kita semak senarai 10 filem untuk tahun 2000 hingga 2009 yang bergelar Filem Terburuk.

BATTLEFIELD EARTH - Filem Terburuk 2000 ini dilakonkan oleh pelakon terkenal John Travolta bersama isterinya Kelly Preston dan juga Barry Pepper. Filem aksi peperangan fiksyen berbajet besar ini diarahkan Roger Christian yang juga memenangi anugerah Pengarah Terburuk. Travolta, Preston & Pepper masing-masing meraih gelaran Aktor Terburuk, Aktres Terburuk dan Aktor Pembantu Terburuk.

FREDDY GOT FINGERED - Filem aksi komedi ini dilakonkan oleh Tom Green dan diarahkan oleh orang yang sama iaitu Tom Green. Freddy Got Fingered berjaya meraih anugerah Filem Terburuk 2001. Filem ini juga memenangi hati juri untuk kategori Aktor Terburuk & Pengarah Terburuk yang dimenangi oleh Tom Green dan Tom Green.

SWEPT AWAY - Swept Away adalah remake kepada filem Swept Away by an Unusual Destiny in the Blue Sea of August tetapi kalah di Oscar, menang di Razzie. Si pengarah, laki kepada Madonna, Guy Richie turut merangkul gelaran Pengarah Terburuk. Madonna sudah tentu mendapat anugerah Aktres Terburuk berkongsi gelaran dengan Britney Spears menerusi filem Crossroads.

GIGLI - Gigli menang besar apabila meraih tiga anugerah utama iaitu Pengarah Terburuk, Aktor Terburuk dan Aktres Terburuk. Pemenangnya adalah Martin Brest (Pengarah), Ben Affleck (Aktor) dan Jennifer Lopez (Aktres). Walaupun Gigli menampilkan pelakon ternama, ia tetap tidak menjadi. Pilihan juri selayaknya menobatkan Gigli sebagai Filem Terburuk.

CATWOMAN - Pemegang watak Catwoman untuk filem ini iaitu Halle Berry hadir untuk menerima anugerah Aktres Terburuk. Begitu juga dengan penulis lakon layarnya iaitu Michael Ferris untuk Penulis Lakon Layar Terburuk. Pemenang lain ialah Pitof untuk Pengarah Terburuk dan sudah tentu filemnya Catwoman selaku Filem Terburuk.

DIRTY LOVE - Dirty Love tidak ditayangkan di negara ini menyebabkan filem ini kurang dikenali. Jenny McCarthy memenangi dua anugerah iaitu Aktres Terburuk dan Penulis Lakon Layar Terburuk. Pengarah Terburuk pemenangnya ialah John Mallory Asher menerusi Dirty Love manakala Filem Terburuk sekali lagi Dirty Love.

BASIC INSTINCT 2 - Filem Basic Instinct membawa kepada sekuelnya iaitu Basic Instinct 2 tetapi gagal di mata pengkritik menyebabkan filem sekuel ini diundi sebagai Filem Terburuk 2006. Tetapi pengarahnya terlepas gelaran Pengarah Terburuk apabila dimenangi oleh M.Night Shymalan menerusi filem Lady In The Water.

I KNOW WHO KILLED ME - Kemenangan terbesar buat Lindsay Lohan untuk anugerah terburuk. Dia meraih gelaran anugerah Aktres Terburuk berkongsi tempat dengan dirinya juga untuk watak yang satu lagi menerusi filem yang sama. Malah dia turut memenangi gelaran Pasangan Layar Terburuk bersama dirinya juga untuk filem itu. Menambah koleksi, filem ini turut diberi anugerah Pengarah Terburuk untuk Chris Sivertson dan dilabel Filem Terburuk 2007.

THE LOVE GURU - Menampilkan nama-nama besar seperti Mike Myers, Jessica Alba dan Justin Timberlake tidak menjamin kemenjadian filem ini tetapi dianugerahi Filem Terburuk. Malah Myers mendapat anugerah Aktor Terburuk dan Penulis Lakon Layar Terburuk menerusi filem yang sama. Pengarah The Love Guru, Marco Schnabel bernasib baik apabila tidak memenangi Pengarah Terburuk sebaliknya dimenangi oleh Uwe Boll menerusi pencalonan 4 filem.

TRANSFORMERS: REVENGE OF THE FALLEN - Filem blockbuster ini berjaya meraih kutipan jutaan dolar dari pawagan serata dunia tetapi gagal di mata pengkritik. Filem ini dikritik habis-habisan sehinggalah mendapat gelaran Filem Terburuk 2009. Si pengarah, Michael Bay turut mendapat gelaran Pengarah Terburuk menerusi filem sekuel Transformers ini. Boleh dikatakan Transformers: Revenge of The Fallen adalah filem terburuk yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini.


Nota : Sekiranya sagahayat diberi peluang menjadi juri, filem terburuk 2010 adalah milik The Last Airbender.

NILAI SEPOHON BONSAI

Thursday, September 23, 2010

Bila aku kembali ke rumah setelah beberapa hari mendaki gunung, soalan pertama yang bapaku ajukan adalah, “Macam mana rupa pokok-pokok kat atas gunung tu? Ada macam pokok bonsai ”? Jawapannya adalah, “Haah! Ada gak yang macam pokok bonsai”!

Itu adalah antara fragmen antara aku dan abah yang membuktikan kecenderungan abah kepada hobi menanam bonsai. Dan beberapa hari yang lalu, sepupuku datang bertandang ke rumah dan berbual panjang lebar dengan abah tentang bonsai. Dua hari yang lepas, sahabatku juga ada bertandang dan dia juga sempat bertanyakan soalan yang berkaitan bonsai, “Kenapa bonsai tu kena lilit dengan dawai?”.

Teringat pula aku pada penghujung tahun lepas, aku dibawa seorang kawanku bersiar-siar di sebuah gua iaitu Gua Kek Lok Tong yang terletak di Ipoh, Perak. “Kalau bapak aku ada kat sini, confirm dia suka”. Kata-kata itu keluar setelah aku perhatikan begitu banyak pokok-pokok bonsai yang menghiasi halaman muka gua. Yang lebih menarik adalah miniatur haiwan-haiwan, patung berupa orang, kuil dan tangga-tangga kecil melengkapkan keindahan lanskap dalam pasu itu. Batu-batu berstruktur unik turut menjadikan lanskap itu tambah dramatik seperti set filem period movie china zaman kegemilangan dinasti. Pasti abah teruja jika melihat hiasan kecil dalam pot itu.

Bercakap mengenai China, dikatakan di tanah besar itulah bermulanya sejarah seni hiasan bonsai. Lalu ia menebar ke Jepun dan akhirnya tersebar luas seantero dunia. Tidak hanya di bumi Asia, horizon seni bonsai terus berkembang ke Australia, Eropah, Afrika bahkan ke Amerika sekali gus menjadikannya seni tanaman yang universal.

Sememangnya ia universal. Beberapa pohon bonsai milik abah hidup subur di bumi Malaysia. Bonsai-bonsai ini dijaga rapi dan dibelai mengikut panduan dalam buku seperti buku Galeri Bonsai dan Seni Bonsai Lanjutan yang juga milik abah.
Menurut penulis buku-buku itu, bonsai terdiri daripada dua suku kata jepun iaitu bon yang bermaksud pot manakala sai yang bermaksud tanaman. Jadi bonsai bererti tanaman dalam pot. Tetapi bukan semua tanaman dalam pot boleh dipanggil bonsai. Kriteria tertentu seperti saiz, bentuk dan usia pohon itu perlu diambil kira. Pertama, ukuran pohon itu relatifnya kecil atau kerdil. Kedua, bentuknya seperti pohon asli yg besar di alam sebenar. Ketiga, umur pohon itu tua atau pohon itu tampak tua. Jika tiga syarat ini dipenuhi, maka ianya boleh dipanggil sebagai pohon bonsai. Menariknya, setiap pohon bonsai juga harus mempunyai keseimbangan dalam pertumbuhan akar, batang cabang dan ranting agar ianya dipandang indah.

Aku meneruskan ‘sesi fotografi’ bonsai berlatarbelakangkan dinding rumah aku. Sesi itu turut dibantu abah. Bak kata abah, latar warna kuning memang sesuai untuk menonjolkan setiap daun, ranting dan urat-urat akar. Abah juga mencadangkan sudut-sudut tertentu untuk menangkap gambar pohon-pohon bonsai miliknya agar ianya nampak lebih hidup. Sambil itu abah turut menerangkan spesis-spesis yang sesuai untuk dibonsaikan. Antara spesis yang sesuai untuk pohon bonsai termasuklah pokok asam, pokok cemara, pokok kemuning, pokok beringin dan macam-macam lagi. Abah juga menunjukkan eksperimentasinya terhadap sepohon bonsai yang ditanam diatas seketul batu. Abah bagaikan menurunkan ilmu seni bonsainya padaku satu persatu sebagai legasi minatnya agar tidak habis begitu saja.

Bonsai milik abah dibentuk dengan pelbagai gaya. Gaya bonsai pula ditentukan berdasarkan beberapa hal termasuklah bentuk batang, jumlah batang, karakter ranting dan karakter akar. Antara ragam gaya bonsai termasuklah tegak lurus, tegak tidak lurus, miring, melingkar, akar terjalin dan berbelas-belas gaya yang lain. Ini menjawab persoalan sahabat aku tadi yang bertanyakan mengapa bonsai perlu dililit dengan dawai.

Setelah ‘sesi fotografi’ itu tamat, aku memindahkan gambar-gambar tadi ke dalam komputer riba. Gambar pohon bonsai abah nampak begitu menyerlah dan terus membawa fikiran aku melayang ke bawah pohon rendang di halaman rumah atau di desa atau di hutan yang indah. Terkadang sepohon bonsai boleh membawa imaginasi kita ke alam pergunungan dengan pohon tua yang berlekuk liku atau ke negara antah-berantah dimana makhluk-makhluk halus bersembunyi dibawah pohon raksasa itu.

Apapun bonsai merupakan seni yang hidup. Semakin tua semakin bernilai. Ianya seni seumur hidup. Lebih 20 tahun jiwa abah pada pohon-pohon bonsainya tidak pernah lekang. Sabar, rajin, teliti dan berjiwa seni merupakan sifat yang harus disemai dalam diri pemilik bonsai seperti abah. Jika pada helaian kedua buku Seni Bonsai Lanjutan itu tertera tulisan abangku “untuk ayahku yang aku kagumi diam-diam”, secara jujur aku katakan bahawa aku juga kagum dengan abah. Dan seperti juga kata-kata perangsang yang tertera di almari abangku yang tertulis “jika tidak mampu menanam sebatang balak, tanamlah sepohon bonsai yang terbaik”, dengan bangga aku nyatakan bahawa bonsai abah adalah yang terbaik diantara yang terbaik dan sangat bernilai.

1001 PERIHAL FACEBOOK

Wednesday, September 22, 2010

• Seorang artis mengugut untuk membunuh sebilangan wartawan hiburan melalui laman web sosial facebook.
• Selebriti terkenal, Harith Iskandar bertemu jodoh di laman facebook.
• Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menjemput 300 rakan facebooknya beramah mesra di Putrajaya pada satu jamuan minum petang.
• Pembaca berita Astro Awani mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan yang boleh diajukan di laman sesawang facebook.
• Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing, Datuk Dr. Che Rozmey mendedahkan rahsia bahawa facebook boleh menjadi perigi duit yang menjana transaksi jutaan ringgit sebulan.
• Satu akaun khas facebook diwujudkan bagi mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.


Kisah tadi merupakan beberapa contoh yang menunjukkan perkembangan laman sosial facebook sebagai satu fenomena yang 'menyerang' pelbagai kelompok dalam masyarakat kita. Masyarakat jelas melihat facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg sejak tahun 2004 ini merupakan trend semasa yang melanda anak muda apabila rata-rata remaja yang berusia 13 tahun ke atas sudah memiliki akaun facebook.

Secara umumnya, facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook.Inc dan ianya sebenarnya lebih menyasarkan kepada golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemaskini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Namun, tidak kira penggunanya baik remaja, belia mahupun dewasa, facebook pada hari ini dilihat mendatangkan keburukan apabila ada dikalangan pengguna yang mula ketagih dengan laman sosial ini. Produktiviti sesebuah organisasi mula goyah apabila rata-rata pekerja leka bermain facebook. Tetapi benarkah perkara ini berlaku?

Mark Zuckerberg, pengasas dan pencipta facebook.
Suatu ketika dahulu, penyampai radio Hot.fm mengutarakan topik tentang laman sosial ini dan membincangkan isu status-status di facebook ataupun ringkasnya dipanggil fb. Ada pemanggil yang kurang puas hati apabila ada dikalangan rakan facebooknya yang mengemaskini status fb hampir setiap jam. Bangun pagi, pergi mandi, tengah sarapan, tengah drive dan banyak lagi, semuanya diceritakan di dalam fb. Adakah perlu? Bak kata pemanggil yang lain, “Suka hatilah!”. Apabila seorang pengguna wanita menaip “I hate you!” pada status fbnya, sudah pasti ramai yang menjangkakan dia bergaduh dengan si suaminya sedangkan wanita itu tadi mungkin marahkan komputer ribanya yang bermasalah! Inilah kelemahan tulisan tanpa emosi sebenar. Dan jika benar wanita tadi bertengkar dengan suaminya, perlukah masalah rumahtangganya dicanang dan dikongsi di facebook?

Menurut kajian yang dijalankan oleh Oxygen Media, ketagihan facebook lebih mudah berlaku pada wanita dan dalam masa yang sama ia tidak menafikan keterlibatan lelaki dalam hal ini. Kajian terhadap 1605 pengguna Facebook yang berumur diantara 18 ke 54 tahun di barat mendapati 39% daripada mereka mengaku ketagihan facebook. Dalam lingkungan usia 18 hingga 34 tahun pula, 34% responden membuka facebook sebelum memberus gigi manakala 26% sanggup bangun pada tengah malam untuk membaca mesej di dalam akaun facebooknya. 57% daripada responden pula berasa lebih selesa bersosial menerusi laman sosial ini berbanding bertentang mata.

Kita tinggalkan sebentar isu ketagihan facebook. Apa kata kita lihat beberapa cebisan kisah menarik berkenaan facebook dari seluruh dunia.

• Danielle Smith yang berasal dari Missouri, Amerika Syarikat memuatnaik foto keluarganya untuk berkongsi bersama keluarga dan rakan. Smith terkejut apabila mendapat tahu bahawa foto keluarganya itu dijadikan iklan terpampang di sebuah kedai makanan di Republik Czech.
• Sebuah syarikat insurans menarik balik bayaran pada Nathalie Blanchard yang berasal dari Quebec, Kanada apabila mendapati wanita itu berpura-pura sakit apabila dia bercuti dan berlibur di sebuah pantai. Blanchard telah memuatnaik fotonya bercuti di pantai sedangkan dia sepatutnya dalam tempoh cuti sakit.
• Dana Hanna dari Abindon mengambil telefon bimbitnya dan mengemaskini status hubungannya di laman facebook sejurus selepas dia dan isterinya selamat bergelar suami isteri. Malah dihadapan paderi, isteri Hanna turut melakukan perkara yang sama.
• Rodney Bradford dari Harlem telah ditangkap atas tuduhan merompak. Namun status facebooknya pada masa kejadian menyebabkan dia mempunyai alibi untuk menyisihkan dan menyelamatkannya daripada tuduhan jenayah itu.

Apapun facebook tetap menjadi perantara yang dapat menghubungkan semula rakan-rakan yang pernah terpisah dan juga berperanan sebagai laman sembang terbuka yang boleh dilawati oleh sesiapa saja. Perniagaan dapat diperkembangkan dan pelbagai lapangan ilmu dari diraih daripada laman web sosial yang digilai di seluruh dunia ini. Yang penting, tepuk dada tanya selera. Jika nilai silaturrahim sesama insan bertambah erat kerana facebook, maka tujuan asalnya sudah tercapai. Jika berlaku sebaliknya dan kita terus dibuai ketagihan budaya ini, maka kita sesat dalam kepesatan teknologi di hujung jari.

KHASIAT MAKANAN MELALUI RUPA

Tuesday, September 21, 2010

Dikatakan segala penyakit berpunca daripada makanan. Namun makanan jugalah menjadi penawar bagi sesetengah penyakit. Satu kajian merumuskan beberapa makanan yang sering kita makan sebenarnya mempunyai khasiat dan dapat mencegah beberapa penyakit. Menariknya makanan ini mempunyai iras rupa atau bentuk organ manusia atau penyakit tertentu.

CENDAWAN - TELINGA
Seulas cendawan yang dipotong dua menyerupai bentuk telinga manusia. Cendawan sebenarnya dapat memperbaiki deria pendengaran kita. Ini kerana cendawan adalah salah satu makanan yang mengandungi vitamin D. Vitamin ini penting untuk kesihatan tulang, termasuk tulang yang kecil di dalam telinga yang dapat membantu memindahkan bunyi ke otak untuk proses seterusnya.

PISANG - SENYUMAN
Ceriakan hidup anda dan ukirkan senyuman diwajah dengan memakan buah pisang. Pisang mengandungi sejenis protein yang dipanggil tryptophan. Sebaik sahaja pisang dihadam, tryptophan kemudian bertukar menjadi sejenis kimia neurontransmitter yang dipanggil serotonin. Serotonin membantu merangsang mood yang baik di dalam otak bagi seseorang individu dan juga berfungsi sebagai anti tekanan.

BROKOLI - KANSER
Perhatikan secara dekat, rupa brokoli seakan-akan beratus-ratus sel kanser. Mutakhir ini saintis mengetahui bahawa sayur ini memainkan peranan yang penting untuk mencegah penyakit kanser. Pada tahun lepas, sepasukan penyelidik US National Cancer Institute menemui bahawa sekali seminggu memakan brokoli sudah cukup untuk mengurangkan risiko kanser prostat sehingga 45 peratus.

HALIA - PERUT
Halia yang selalunya mudah diperolehi di pasar atau kedai-kedai runcit seringkali kelihatan seperti organ perut. Yang menariknya halia memberi faedah yang besar dalam sistem penghadaman manusia. Orang-orang cina telah menggunakan halia lebih 2000 tahun sebagai ubat untuk mengubati sakit perut.

KEJU - TULANG

Keju asli yang berlubang-lubang mirip kepada struktur dalaman tulang manusia. Keju sudah semestinya kaya dengan kalsium yang merupakan zat penting dalam perkembangan tulang. Selain itu keju juga boleh mengurangkan risiko osteoporosis ataupun penyakit tulang rapuh.

TAUGE - SPERMA
Tauge selalunya bukanlah makanan kegemaran ramai orang tetapi ianya penting untuk tubuh terutamanya bagi lelaki. Rupa tauge sebenarnya seakan-akan sperma yang berenang untuk bersenyawa dengan telur. Kajian yang dijalankan mendapati tauge memainkan peranan yang penting dalam sistem pembiakan lelaki. Vitamin C yang terkandung dalam tauge dapat menjadikan sperma lebih sihat dan menghalang sel itu musnah diancam radikal bebas.

ANGGUR - PARU-PARU
Paru-paru kita terdiri daripada cabang-cabang kecil yang dipanggil alveoli yang berbentuk seperti gugusan anggur. Struktur ini membenarkan oksigen dialirkan dari paru-paru ke dalam saluran darah. Mengamalkan diet dengan memakan buah-buah segar seperti buah anggur dapat mengurangkan risiko kanser paru-paru dan juga penyakit emphysema.

TOMATO - JANTUNG

Sebiji tomato yang bewarna merah dan selalunya mempunyai 4 ruang saling tak tumpah seperti organ jantung kita. Tomato terkandung lycopene, sejenis kimia tumbuhan yang dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan beberapa jenis kanser. Satu kajian juga mendapati lycopene juga dapat mengelak penyakit jantung koronari.

KACANG WALNUT - OTAK
Kacang ini kelihatan seakan-akan otak manusia seolah-olah memberi petunjuk khasiatnya pada salah satu organ badan manusia iaitu otak. Kacang walnut adalah satu-satunya kacang yang terkandung asid lemak omega-3 yang membantu menghindar penyakit dementia. Selain itu kacang walnut juga boleh mencegah penyakit Alzheimer yang juga merupakan penyakit berpunca dari otak.

Nota : Mencegah lebih baik daripada merawat.

DEMI SESUAP NASI

Thursday, September 16, 2010

Gambar-gambar ini adalah gambar buruh-buruh binaan yang sedang bekerja menyiapkan sebuah bangunan di sebuah kota di Republik Indonesia. Mereka bekerja tanpa menghiraukan keselamatan diri demi sesuap nasi. Merekalah adiwira harapan keluarga.

Pekerja ini tidak menggunakan tali atau wayar keselamatan.

Tanpa rasa gayat dan rasa takut, dia terus melaksanakan kerja.

Pekerja ini mungkin sudah biasa bekerja di aras ratusan kaki dari aras tanah.

Bagaikan Spiderman, pekerja ini memanjat cerucuk besi yang berceranggah.

Di hujung cerucuk besi itu dia bekerja.


Meniti dari satu tempat ke satu tempat di ketinggian sebegini mungkin menjadi rutin bagi pekerja ini.

Di topi pekerja ini tertera kata-kata keramat, "Biar Miskin Asal Kaya Hati".

Kata-kata yang indah dan bermakna dari hati sang buruh binaan, "Tiada Janji Yang Tepat Selain Matahari Terbit".

Waktu rehat mereka. Dan selepas ini mereka kembali menyabung nyawa lagi demi sesuap nasi.

Nota : Gambar-gambar ini diperoleh dari seorang kawan melalui emel.

JIWA SENI SEORANG TUA

Tuesday, September 14, 2010


Beraya ke rumah usang tidak jauh dari masjid merupakan agenda utama selepas solat sunat Aidilfitri setiap tahun di pagi Syawal. Rumah papan beratap zink itu adalah milik satu-satunya pakcik aku yang hidup sebatang kara bertemankan beberapa ekor kucing peliharaannya.

Tiada air sirap ataupun kuih raya yang terhidang, tetapi cerita-cerita yang keluar dari mulut Mamak Saie cukup menghiburkan kami. Orang tua separuh abad itu tidak berbaju melayu seperti kebiasaan masyarakat melayu pada hari pertama lebaran, sebaliknya dia lebih selesa berbaju kemeja corak petak-petak, berseluar panjang potongan zaman mudanya dan berkaca mata bingkai tebal.

Kami adik-beradik merupakan anak-anak buah yang setia pada mamak, menjenguk, bertanya khabar dan membawa juadah hari raya padanya saban tahun. Mamak Saie cukup gemar bercerita. Ceritanya panjang berjela-jela dan boleh bersambung ke cerita-cerita lain. Sambil mendengar mamak bercerita, aku selalu memerhatikan rumah unik peninggalan arwah nenek itu. Dan lazimnya seperti raya-raya yang sudah, kami pasti bergambar di dalam rumah itu.

Keunikan rumah mamak tidak dapat dilihat pada luarannya seperti juga sifat luaran mamak yang bersuara lantang dan agak garang ketika zaman kami masih kecil. Dari luar rumah itu tiada apa yang istimewa. Sebahagian rumah itu sudah reput dan ada susunan papan dinding yang sedikit renngang. Tetapi ruang dalamnya dihiasi hasil kerja yang cukup tinggi nilai mutunya. Begitu juga dengan mamak yang pada zahirnya nampak tegas tetapi ruang dalam hati mamak berakar umbi dengan jiwa kesenian yang jelas dibuktikan menerusi rumah kecil itu.

Uniknya rumah mamak adalah kerana dindingnya. Dindingnya dihias dengan anyaman-anyaman lidi. Kalau difikirkan sudah pasti kerajinan itu memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Setiap daun kelapa perlu diraut. Kemudian perlu dijemur dan dikeringkan. Lidi secekak-secekak dianyam mengikut corak anyaman ringkas. Anyaman dilekatkan pada dinding serta muka pintu dan akhirnya disapu varnis agar kilatan lidi terserlah sekali gus menghalangnya daripada mudah mereput. Memang rumit. Tetapi itulah hobi sang tua yang tidak pernah mendirikan rumah tangga itu.

Mungkin di tempat-tempat lain terdapat juga rumah yang dihiasi anyaman lidi ataupun anyaman mengkuang. Tetapi rumah Mamak Saie tetap lain daripada yang lain. Tambah unik apabila siling rumahnya dihiasi dengan corak tampalan batang aiskrim yang memenuhi setiap inci ruang siling rumah itu. Batang-batang aiskrim disusun rapat-rapat membentuk corak-corak tertentu dan disapu dengan varnis untuk kemasan terakhir. Sudah pasti sesiapa saja yang pertama kali bertandang ke rumah ini terpukau melihat hasil kerja tangan yang begitu teliti.


Tidak terhenti disitu, tangan berurat mamak terus menghias meja kopi dan almari kecil dengan tampalan batang-batang aiskrim. Dia juga menyapu meja dan almari itu dengan sejenis tepung khas yang bertujuan untuk mengisi rongga-rongga antara batang aiskrim pada setiap hasil kerjanya. Meja bulat yang diperoleh dari rumah tinggalan British juga mamak perincikan permukaannya dengan batang aiskrim yang panjang dan bujur dihujungnya serta batang aiskrim yang pendek dan agak bulat dihujungnya.

Corak yang menghiasi meja bulat itu berpusat ditengah dan kelihatan bersimetri walau dilihat dari sudut mana pun. Meja itu hanya dihias dengan bahan buangan iaitu batang-batang aiskrim tetapi tampak eksklusif dibega insan sekreatif mamak. Tetapi meja itu tidak lagi menjadi milik Mamak Saie. Kawan rapatnya sudah tiga kali menyatakan hasrat untuk membelinya. Mungkin dek keunikan dan nilai estetikanya, sebuah lori akhirnya singgah untuk mengangkut meja itu membuatkan mamak mengalah dan melepaskan saja meja miliknya itu pada kawannya.

Kami masih ingat lagi ketika kami masih kecil, kami berebut mengutip batang-batang aiskrim di pekan, di tepi-tepi jalan dan di pondok perhentian bas. Setiap batang aiskrim dibayar dengan setiap sen dari poket Mamak Saie. Kerana itu kami rasa berbangga, jasa kami walaupun sedikit turut sama dijelmakan menerusi corak-corak tampalan batang aiskrim pada siling dan perabot yang pada kami sukar ditemui ditempat-tempat lain. Kami juga berasa kagum kerana mamak sudah dua kali muncul dalam akhbar Harian Metro menerusi pojok khas hujung minggu mengenai hasil kerjanya.

Aku leka mengingat kembali hasil kerja mamak yang sudah berusia lebih 20 tahun yang lalu. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Adik-beradik yang lain masih khusyuk mendengar kisah, cerita atau apa saja tambo anak minang itu. Seketika kemudian kami beransur pulang sambil aku sempat menangkap gambar dinding dan perabot di rumah itu. Tahun hadapan pasti kami datang berkunjung lagi. Suasananya pasti hampir sama dengan cerita yang berbeza tetapi kekaguman aku terhadap hasil kerja tangan pakcikku itu tidak pernah surut.

Selepas melewati lebih dua dekad, hasil kerja mamak masih kekal menjadi identiti rumah itu walaupun kerosakan tetap berlaku akibat ditelan masa. Mamak tidak berpelajaran tinggi dan hanya bekerja sendiri tetapi hakikat itu tidak sedikit pun menyekat minat dan kemahirannya mendekorasi rumah dengan hasil kerja tangan yang sempurna, unik, dan mempersonakan.

Nota : Mamak adalah pakcik atau bapa saudara dalam dialek Minangkabau.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...