DARI BUKIT BROGA KE GUNUNG TOK WAN

Saturday, January 8, 2011

“Hari tu si Daniel dengan si Ifan daki Gunung Tok Wan. Tapi lepas separuh jalan terus patah balik. Dorang takut nak jalan terus”, cerita Kak Long pada suatu petang. Suatu pagi aku terjumpa Daniel sedang membeli nasi lemak di pekan. Aku terus bertanya, “Nak daki Gunung Tok Wan tak hari selasa depan? Ajak Ifan sekali. Tapi tanya mak dulu”.

Dipendekkan cerita aku menerima satu SMS pada petang hujung minggu. “Mamak, ari selasa ni jadi tak? Nak bawak ape?”. Aku terus membalas mesej. “Jadi. Bawak air 100 Plus n roti. Pakai kasut. Mamak sampai rumah pukul 6 pagi.”.



Pada hari selasa itu, iaitu 28 Disember 2010 aku bergegas ke rumah Kak Long selepas menunaikan solat subuh. Jam 6 lebih aku tiba di rumah itu dimana Daniel dan Ifan sedang menunggu di depan rumah. Kami bermotosikal dalam kegelapan dinihari dan mengharungi kesejukan angin yang menerpa muka dan badan.

Jam 6.30 pagi kami sudah tiba di ladang kelapa sawit. Suasana masih gelap. Tambah-tambah bila enjin motosikal ditutup. Pandangan gelap kiri dan kanan. 10 minit kemudian kami memulakan pendakian. Aku mengepalai pendakian memandangkan aku yang paling tua dan aku adalah mamak ataupun bapa saudara kepada Daniel dan Ifan.


Kami mendaki pada kelajuan sederhana. Dibelakang kami adalah empat orang remaja yang berpakaian seperti ahli indie band yang tak habis-habis menyanyikan lagu ‘Fikirkan Boleh’ untuk membakar semangat kepada seorang kawan mereka yang kelihatan semput dan tidak berdaya.

Setengah jam kemudian kami tiba di puncak pertama Bukit Broga. Ini merupakan pengalaman kali kedua aku mendaki bukit ini. Di puncak itu sudah ada ramai pendaki yang memenuhi setiap inci dataran puncak. Kami tidak berlengah. Kami meneruskan pendakian ke puncak kedua, ke puncak ketiga sehinggalah kami tiba di puncak Bukit Broga pada jam 7.30 pagi. Kami berehat agak lama di atas seketul batu yang besar dipuncak itu. Sambil itu aku berbual-bual dengan beberapa pendaki yang lain.

Setelah mengalas perut dengan roti, biskut dan air 100 Plus, kami meneruskan perjalanan. Papan tanda disitu menunjukkan jumlah jarak ke puncak Gunung Tok Wan dari puncak Bukit Broga adalah 3.1 Km. Sebelum itu kami sudah mendaki sejauh 1.7 Km untuk tiba ke puncak Bukit Broga. Ini bermakna kami perlu mendaki dan merentas hutan sejauh 4.8 km sebelum tiba ke puncak gunung yang dimaksudkan.

Belukar kecil merupakan laluan kami selepas berlalu dari Bukit Broga. Kemudian kami mula memasuki hutan-hutan dimana pokok-pokok tinggi meneduhkan laluan pendakian kami. Permulaan pendakian agak santai. Kami berjalan agak laju memandangkan denai itu agak landai. Cuma sekali-sekala kami terpaksa mendaki.

Laluan pendakian ditanda dengan pita keselamatan dan kain kecil berwarna merah yang diikat pada dahan-dahan pokok sepanjang laluan. Setiap 500 meter akan ada papan tanda jarak ke puncak gunung yang diperbuat daripada kertas yang dicetak dan dilaminatekan. Denai ke gunung tidak sukar. Laluannya sangat jelas dan hutan dipterokarp tanah pamah dikawasan itu tidak terlalu tebal dan mudah direntas.

Kami juga terpaksa menuruni bukit sebanyak dua kali dan kemudian mendaki pula untuk tiba ke puncak gunung. Tiada sumber air yang boleh kami temui sepanjang pendakian namun terdapat kawasan berbatu-batu besar yang mungkin terdapat air mengalir dibawahnya kerana kami mendengar bunyi air mengalir tetapi tidak dapat melihatnya.

Akhirnya pada jam 9.10 minit pagi kami tiba di puncak Gunung Tok Wan berketinggian 675 meter dari aras laut. Tiada pemandangan yang dapat kami lihat memandangkan keliling puncak adalah pokok-pokok yang tinggi menjulang. Terdapat pangkin yang dibina untuk tujuan berehat. Terdapat juga tong sampah dan kawasan untuk menyalakan unggun api. Walaupun gunung ini tidak melebihi 1000 meter dari aras laut namun kami dapat melihat awan-awan yang ‘melanggar’ puncak-puncak pokok di gunung itu. Angin juga sekali-sekala bertiup perlahan ditambah lagi dengan suasana yang agak redup dan cahaya matahari yang kurang menyinar. Bunyi ungka sahut-menyahut menambah suasana hutan yang asli.

Kami menghabiskan hampir sejam di puncak itu. Aku mengambil kesempatan bercerita mengenai gunung-gunung yang pernah aku daki sebelum ini sambil menunjukkan gambar-gambar menerusi telefon bimbit.

Selepas puas berehat dan mengambil gambar, kami mula meninggalkan Gunung Tok Wan. Kami berlari menuruni gunung itu dan berlimpas dengan dua kumpulan pendaki yang dalam perjalanan ke puncak Tok Wan. Kami mengambil masa sejam untuk tiba di Bukit Broga dan berehat agak lama disitu memandangkan cuaca amat redup dan tidak ramai pengunjung lain melainkan kami dan beberapa kelompok pendaki lain yang menikmati pemandangan di puncak Bukit Broga.

Apapun pendakian dari Bukit Broga ke Gunung Tok Wan membuka lembaran baru buat Daniel dan Ifan. Apabila ditanya, “Lepas ni nak ikut mamak daki gunung lain tak?”, jawapan mereka adalah “Nak!”. Aku berharap Daniel dan Ifan semakin berminat dengan hobi ini dan menjadikan pendakian kali ini sebagai titik permulaan kepada hobi mereka. Aku dulu pun pernah mendaki sebuah bukit di sebuah ladang kelapa sawit ketika berusia 6 tahun bersama abang-abangku dan mungkin menjadi pencetus kepada minat mendaki, merentas, menawan dan menakluk gunung-gunung di Malaysia.

TIPS KE GUNUNG TOK WAN
  • Gunung Tok Wan adalah lanjutan kepada pendakian Bukit Broga yang terletak tidak jauh dari pekan Semenyih. Ladang kelapa sawit bertentangan Farm Rabbit adalah tempat permulaan pendakian.
  • Tiada sumber air yang boleh ditemui sepanjang pendakian.
  • Sekurang-kurangnya 5 buah khemah '4 men tent' boleh didirikan di atas puncak gunung.
  • Gunung Tok Wan tidaklah setinggi mana iaitu 675 meter dari aras laut, tetapi trek pendakiannya agak jauh iaitu sejauh 4.8 km. Kelajuan sederhana pendakian mengambil masa kira-kira 2 jam hingga 2 jam setengah.


2 ulasan:

Unknown said...

jom, minggu depan, ke DATOK PUNYA GUNUNG PULAK

sagahayat said...

Gunung Datok ke maksud ko..hehehe...kat n.sembilan.....

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...