THE GREEN MILE - Kisah banduan-banduan dihujung hayat dan warden penjara merupakan intipati The Green Mile. The Green Mile merupakan novel karya Stephen King yang diadaptasi ke filem dengan judul yang sama. John Coffey merupakan banduan kulit hitam yang berbadan besar dan kuat berpeluh, namun dia takutkan gelap dan mudah menangis. Dia memiliki keupayaan menyembuhkan penyakit termasuklah menyembuhkan penyakit yang dialami oleh Paul Edgecomb, seorang warden. Dia juga cuba mengembalikan nyawa dua kanak-kanak yang dirogol dengan kejam namun usahanya itu disalah anggap menyebabkan dia menanti hukuman mati kerusi elektrik di The Green Mile. Di tangan Tom Hanks (Paul Edgecomb) dan Michael Clarke Duncan (John Coffey), filem ini harus dipuji.
A PERFECT WORLD – Yang baik dipuji, yang jahat dikeji. Namun selepas menonton filem ini, pasti anda akan memilih yang jahat. Seorang banduan, Butch berjaya melepaskan diri dari penjara. Dia kemudiannya terpaksa menculik seorang budak iaitu Philips sebagai tebusan. Sepanjang bersama Philips, dia menjadi penyayang dan lagak seorang bapa memandangkan Philips tidak pernah merasai nikmat sebagai kanak-kanak yang lain. Philips pula mengalami Sindrom Stockholm apabila sangat menyayangi Butch. Clint Eastwood, sang pengarah berjaya mengupas isu kasih sayang terhadap kanak-kanak serta memaparkan sisi putih penjenayah yang adakalanya mempunyai kisah hitam yang menjebakkan dirinya ke dalam kancah hitam.
FORREST GUMP – Kemahirannya dalam banyak perkara menutupi kelemahannya selaku si lurus bendul dan memiliki IQ yang rendah. Zaman kepompong kanak-kanaknya bersama pendakap kaki berubah menjadi rama-rama yang melalui garis masa John F.Kennedy, Nixon, Ronald Reagan, John Lennon dan Elvis Preisly. Pengalamannya menelusuri seribu macam cerita bersama kekasihnya Jenny dan Leftenan Dan. Tom Hanks dan Robert Zemeckis berjaya menzahirkan watak yang dicipta daripada novel dan membuktikan disebalik kekurangan pada diri Gump, wujud beberapa keajaibannya seperti menjuarai acara ping-pong di China, bertempur di Vietnam dan berlari merentas benua Amerika.
APOCALYPTO – Jaguar Paw bersama-sama penduduk kampungnya ditawan dan dibawa ke kuil kuno puak mayan untuk dipersembahkan pada tuhan. Ritual memenggal kepala diatas puncak piramid merupakan korban yang harus mereka lalui. Tetapi dia berjaya melarikan diri sambil dia terus diburu didalam hutan belantara. Paw terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan seperti dikejar harimau kumbang, tenggelam didalam pasir jerlus serta terjun dari puncak air terjun yang tinggi. Demi untuk menyelamatkan anak dan isterinya yang ditinggalkan di dalam sebuah perigi buta, Paw menggunakan kemahiran selaku anak jati hutan dengan mengaplikasi elemen semulajadi seperti bisa katak beracun dan tebuan dalam usaha menghapuskan musuh-musuhnya. Mel Gibson di kerusi sutradara sekali lagi berjaya menghasilkan karya yang bermutu selepas Braveheart.
EMPIRE OF THE SUN – Menonton filem ini tanpa melihat senarai nama aktor, pasti anda pada mulanya tidak percaya bahawa yang memeran watak utama adalah Christian Bale, adihero bersut ketat, Batman. Memegang watak sebagai seorang kanak-kanak kepada sepasang suami isteri aristokrat British yang kaya, hidup Jim lantas berubah apabila dia terpaksa menempuh pelbagai dugaan tatkala terpisah dengan ibubapanya dan hidup ditengah-tengah kekalutan Shanghai ketika kota itu diserang dan ditawan tentera matahari terbit. Perang Dunia Kedua menjadi fragmen menakutkan dalam hidupnya sehinggalah dia mula belajar hidup berdikari dalam kem tahanan bersama tahanan perang yang lain.
CHILDREN OF HEAVEN – Satu-satunya filem Asia yang terpilih dalam kelompok sepuluh. Children of Heaven mempamerkan bakat lakonan menyentuh perasaan dan berkesan hasil arahan Majid Majidi. Filem ini pernah tercalon untuk Top 5 Filem Asing Terbaik untuk Oscar Award. Ia mengisahkan seorang budak iaitu Ali yang berkongsi kasut dengan adiknya, Zahra ke sekolah. Tanpa pengetahuan bapanya yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Ali berusaha memenangi pertandingan marathon untuk merebut hadiah sepasang kasut untuk adiknya. Hati pasti meruntun melihat adegan dua beradik ini bertukar kasut di pertengahan jalan (Ali bersekolah sesi petang), melepaskan kasut kepunyaan Zahra pada anak si buta dan kaki Ali yang melepuh selepas tamat perlumbaan marathon.
STAND BY ME – Sekali lagi karya novelis Stephen King, The Body diterjemahkan ke layar perak menjadi Stand By Me. Empat sekawan berkelana merentasi paya yang penuh lintah, berjalan di atas rel keretapi yang panjang serta berkhemah di pinggir hutan dalam misi mencari mayat abang si Archie yang telah dibunuh oleh kawan-kawan abangnya. Mereka melalui pelbagai dugaan termasuklah dikejar anjing, dikejar keretapi dan dikejar musuh-musuh abang Archie. Persahabatan mereka turut diuji, apabila berlaku pergaduhan dan perselisihan faham yang hampir menyebabkan pengembaraan mereka terhenti. Filem ini pasti mengembalikan nostalgia kanak-kanak kita dimana basikal, rumah pokok dan lastik menjadi rencah pengalaman diusia muda.
THE CURIOUS CASE OF BENJAMIN BUTTON – Hingga hujung nyawa! David Fincher yang terkenal menghasilkan filem-filem thriller seperti Panic Room dan The Game tiba-tiba mengarahkan filem yang sebegini indah. Benjamin Button dilahirkan tidak seperti bayi-bayi yang lain. Dia adalah bayi, tetapi fizikalnya adalah seperti orang tua. Dia melalui zaman kanak-kanak dan remajanya secara songsang di mana dia terpaksa berkerusi roda, bertongkat dan rambutnya jelas uban seribu. Cintanya hanya pada Daisy. Tetapi dia terpaksa meninggalkan kekasihnya itu mengenangkan fizikalnya semakin muda, tidak seiring dengan penampilan Daisy. Meniti usianya, dia berubah menjadi remaja, kemudian kanak-kanak dan akhirnya mati sebagai seorang bayi di pangkuan kekasihnya. Kredit harus diberikan pada solekan yang menakjubkan apabila dapat menukar wajah Brad Pitt dan Cate Blancet ke usia apa pun.
BABEL – Senapang patah menghubungkan 4 negara dan menjadi tangkai kepada pelbagai cerita. Sepasang adik-beradik menggunakan senapang patah yang diberikan oleh seorang pelancong jepun kepada bapanya untuk menggembala kambing. Namun, mereka tertembak seorang wanita Amerika yang bercuti bersama suaminya di Maghribi. Suaminya pantas berusaha menyelamatkan nyawa isterinya dalam segala kesulitan manakala anak-anaknya sesat di gurun panas Mexico apabila dibawa pengasuhnya ke negara itu. Pihak polis di Jepun pula kemudiannya menyiasat seorang gadis bisu berkenaan senapang patah milik bapanya. Semuanya terjawab dihujung cerita dimana kekecewaan, kesedihan, keperitan dan kegembiraan menjadi penamat filem ini.
LOVE ACTUALLY – Cinta merupakan hadiah Hari Natal buat mereka. Cinta melalui proses yang pelbagai divisualkan satu persatu menerusi filem British ini. Menggunakan konsep layered movie, filem ini membariskan pelakon ternama british walaupun hanya sekadar cameo. Setiap watak mempunyai hubungan dengan watak yang lain. Berlatarbelakangkan beberapa bulan sebelum Krismas, mereka berdepan dengan aneka cinta sama ada antara bapa - anak, Perdana Menteri - pembantu, penyanyi - pengurus, bos - pekerja dan banyak lagi. Lagu-lagu ‘mesra telinga’ mewarnai filem ini yang dibintangi oleh Hugh Grant, Keira Knightley, Emma Thompson, Rowan Atkinson dan ramai lagi.
Meskipun tiada dalam senarai, filem-filem berikut juga adalah yang terbaik dan disukai antara berpuluh yang lain. Perhatian harus diberi pada Lord of The Rings : Fellowship of the rings, Lord of The Rings : The Two Tower, Lord of The Rings : The Return of the King, The Untouchable, The Pianist, The Shawshank Redemption, Ocean's Eleven, Saving Private Ryan dan Platoon.
Nota : Secara kebetulan kebanyakan filem pilihan adalah adaptasi novel (termasuk trilogi LOTR dan The Shawshank Redemption)
0 ulasan:
Post a Comment