MEREKA YANG BERBEZA

Sunday, April 25, 2010

Mereka adalah kelompok yang jarang ditemui. Tetapi mereka wujud dikalangan kita. Pernahkah anda bertemu dengan orang…….

BERJAGA DALAM TIDUR – Semasa aku bekerja di sebuah IPTA, aku ditugaskan untuk mempromosi universiti itu selama dua hari di sebuah kolej matrikulasi di Perlis. Aku bersama bos dan seorang rakan setugas memilih sebuah hotel di Jitra untuk bermalam memandangkan kebanyakan hotel di Perlis sudah ditempah awal-awal lagi oleh wakil-wakil dari universiti lain. Kami membayar untuk dua bilik di mana aku dan abang Jamli (bukan nama sebenar) sebilik manakala bos kami di bilik yang berbeza. Pada malam pertama abang Jamli mengingatkan aku supaya mengabaikan apa yang terjadi jika ada perkara pelik yang berlaku semasa waktu tidur. Sudah tentu aku tertanya-tanya apakah maksud abang Jamli dan dia terus menarik selimut tanpa menutup televisyen yang ditontonnya. “Tak payah padam tv tu. Biar ada cahaya sikit”. Walapun aku dalam keadaan terpinga-pinga, aku cepat tertidur disebabkan keletihan setelah bermusafir lebih 6 jam dari ibukota ke negeri paling utara itu. Beberapa ketika aku tertidur, aku tiba-tiba terjaga. Abang Jamli duduk di hadapan televisyen yang masih terbuka. Dia kemudian menekan-nekan menu pada remote control dan terus menekan menu bright, contrast dan sebagainya ke tahap maksimum. Tiba-tiba matanya memandang tepat padaku. Aku terkejut! Terus dia mengeluarkan baju-bajunya dari beg dan menggulung-gulungkannya di atas katil. Aku hanya menyaksikan kelakuan anehnya tanpa sepatah perkatan pun keluar dari mulutku. Keesokannya harinya abang Jamli bertanyakan aku apa yang berlaku pada malam itu. Aku menceritakan kejadian itu tanpa menambah atau mengurang. Abang Jamli hanya tersenyum dan menyatakan bahawa dia selalu berjaga dalam tidur tetapi dia tidak sedar apa yang berlaku. Beberapa minggu selepas kejadian itu, saluran Discovery ada menayangkan rencana mengenai penyakit berjaga ketika tidur. Slot itu menceritakan mengenai seorang lelaki di barat yang telah membunuh isterinya ketika dia sedang tidur tanpa disedarinya!

PENGIDAP SKIZOPHRENIA - Zaman universiti menemukan aku dengan pelbagai jenis manusia. Antaranya adalah Razif (bukan nama sebenar). Dia adalah rakan sebilik kawanku. Penyakit mental yang dialaminya sering menjadikannya sebagai subjek perbualan komuniti kampus. Razif tidak berkawan dengan siapa-siapa. Dia seperti dengan dunianya sendiri. Menurut kawanku, dia suka meludah didepan pintu bilik. Kadang-kadang dia berbual dengan rakan ciptaannya bernama Razi pada waktu dinihari. Almarinya bersepah dengan pakaian, kulit tembikai dan sisa buah epal. Pernah dia duduk ditengah-tengah koridor menghadap ke pintu keluar ketika penghuni hostel yang lain lena dibuai mimpi. Dia juga pernah dilihat mengambil wuduk dengan menggunakan shower pertama untuk membasuh muka, shower kedua untuk membasuh tangan dan seterusnya sehinggalah lengkap rukun wuduk. Yang paling mengejutkan apabila Razif pernah menanggalkan pakaiannya satu-persatu di hadapan perpustakaan sehingga tinggal boxer sahaja ketika ramai mahasiswa sedang menunggu bas. Aku juga pernah berhadapan pengalaman pelik ketika aku menonton filem di bilik kawanku itu. Razif pada ketika itu sedang baring di atas katilnya. Aku mencadangkan supaya lampu bilik dipadam. Dengan tidak semena-mena, Razif memadam lampu bilik. Beberapa saat kemudian dia membuka lampu kembali. Seterusnya dia membuka dan menutup suis itu berkali-kali sehinggalah aku terpaksa meninggalkan bilik itu dengan harapan dia akan berhenti melakukan perkara pelik itu.

Kurniaan Sang Pencipta pada hambanya tidak terhingga. Namun sesempurna manapun insan itu pada mata kasar, ia tetap tidak sempurna. Kekurangan tetap ada pada setiap individu. Kekurangan dan kelemahan itu sebenarnya mengajar kita erti bersyukur kerana disebalik kekurangan kita itu ada insan yang lebih malang lagi. Dan setiap manusia dilahirkan berbeza. Adat, budaya, pegangan atau habit yang berbeza menjadikan manusia makhluk yang istimewa. Maka, bersyukurlah dan hargai perbezaan.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...