KEMBARA KE BUMI INDIA

Monday, April 5, 2010


"Anda bukanlah seorang pengembara sekiranya belum menjejakkan kaki di benua kecil India"

~Pengembara terkenal Eropah~

********

Ketika kami berpakat untuk memilih Kolkata, India sebagai destinasi makan angin kami, ramai yang menasihati supaya berhati–hati dengan pengemis, penyeluk saku dan kualiti kebersihan makanan disana. Hati ini pula selalu dimomokkan dengan gambaran telus menerusi filem Slumdog Millionaire. Tetapi kami bulatkan hati memilih 4 hingga 8 Disember untuk makan angin ke Kolkata atau lebih dikenali dengan nama Calcutta memandangkan Disember hingga Januari merupakan masa terbaik untuk melancong ke kota ini.

Pengembaraan kami bermula dengan menaiki pesawat Airasia AK323 jam 2.30 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose jam 3.50 waktu Kolkata. Setibanya di sana, hari sudah pun gelap dan kami menaiki teksi kuning menuju Hotel Park Inn yang terletak di kawasan Park Circus. Sepanjang perjalanan ke hotel, kami disambut dengan bunyi hon kenderaan yang tiada hentinya dan kecekapan pemandu teksi mencelah-celah di dalam kesibukan trafik Kolkata. Apa yang kami kagumi adalah jalan yang dikhaskan untuk 3 lorong boleh menjadi kepada 6 lorong! Selepas mendaftar di hotel, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel dan meluangkan masa menyaksikan suasana trafik yang penuh dengan kenderaan, bunyi bingit hon dan berbagai ragam manusia di sepanjang jalan.

Pada hari kedua kami memilih untuk menaiki autorickshaw beroda tiga yang boleh memuatkan kami berlima. Tambang kenderaan ini sangat murah dan perjalanannya terhad pada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Menaiki autorickshaw boleh disamakan dengan menaiki pemainan ekstrem di sesebuah taman tema…

Kami seterusnya berjalan kaki menuju ke Victoria Memorial yang terletak di Maidan. Sepanjang berjalan kaki ke tempat itu, kami banyak menyaksikan pelbagai telatah manusia.Gelandangan tidur berbungkuskan guni dan plastik sampah, mandi air kolam yang kotor, berkeluarga di ruang pejalan kaki dan macam-macam lagi. Dan setiap seminit kami berjalan, pasti ada saja yang kencing ditepi-tepi jalan.Permandangan yang cukup biasa di India.

Dari jauh kami sudah nampak Victorial Memorial yang merupakan tarikan pelancong yang paling penting di Kolkata. Bayaran yang dikenakan adalah Rp150 bersamaan dengan RM11.50. Victoria Memorial merupakan bangunan kolonial peninggalan British yang dibina pada tahun 1921. Bangunan putih ini tersergam indah. Umpama bangunan kerajaan di Putrajaya tetapi usia bangunan yang melebihi lebih seabad ini membuatkan bangunan ini lebih eksklusif. Victoria Memorial banyak mempamerkan lukisan cat minyak, potret, patung-patung dan barang-barang peribadi kerabat diraja England.

Kami meneruskan pengembaraan kami melawat Birla Planetarium, Gereja Saint Paul Dan Asia Art Centre. Seterusnya, kami memilih menggunakan perkhidmatan Metro iaitu transit aliran ringan bawah tanah yang menghubungkan tempat-tempat penting di Kolkata. Dari pandangan atas tanah, stesen ini lebih mirip kepada tandas awam, tetapi apabila kami turun ke bawah, baru kami tahu langit tinggi atau rendah. Betapa ramainya umat manusia dan banyak lorong-lorong bawah tanah untuk menyeberang jalan. Kami menuju ke Esplanade yang terletak di Chowringe dan bayaran yang dikenakan untuk melepasi 5 stesen hanyalah sekitar RM 0.40 sahaja. Benarlah gambaran visual dalam filem Bollywood, kesesakan dalam perkhidmatan awam bagaikan sudah sebati dalam hidup mereka. Ikan sardin dalam tin lebih selesa berbanding kami berhimpit-himpit diantara variasi rupa dan bau masyarakat Kolkata.


Setibanya di Esplanade, kami sekali lagi menyaksikan pemandangan bazaar yang seperti tiada penghujungnya. Dan sudah semestinya fabrik dan tekstil merupakan dagangan utama . Shawl dan pashmina yang merupakan aksesori wajib menjelang musim sejuk di India boleh didapati dimana-mana sekitar Chowringe. Kami menghabiskan masa sekitar 2 jam untuk membeli-belah. “Fixed price” dan “No bargain” merupakan frasa penting dalam urusniaga mereka. Sekiranya anda berkira-kira untuk mengunjungi tempat seperti ini, pastikan anda mempunyai kemahiran untuk mengelak ‘peraih jualan’ yang sentiasa mengikut anda untuk mempromosi kedai kepunyaan mereka dan jangan sesekali memberi sedekah kepada peminta sedekah yang bertaburan di Chowringe.

Lima minit berjalan kaki dari Chowringe, kami tiba di Masjid Tipu Sultan, yang merupakan antara masjid tertua di Kolkata. Sekitar masjid ini adalah bazaar milik komuniti muslim dan mengingatkan kami pada suasana sekitar Jalan Masjid India Kuala Lumpur yang sudah semestinya merupakan cebisan budaya komuniti muslim di India.Bau minyak atar, buku-buku agama dan kelengkapan-kelengkapan solat mewarnai atmosfera Masjid Tipu Sultan.

Hari ketiga kami mulakan dengan menaiki perkhidmatan trem yang merupakan satu-satunya perkhidmatan trem di India. Perjalanan henti-henti seputar 45minit dari Park Circus ke Howrah hanya mengenakan tambang 4Rupee. Bangunan rumah kedai yang kusam, gelagat beberapa orang yang mandi menggunakan air paip yang pecah dan bunyi hon kenderaan beserta lagu hindustan yang berpadu , menjadi santapan mata dan telinga kami pada pagi itu.

Jambatan Howrah yang merentasi Sungai Hoogly merupakan mercu terpenting Howrah sudah kelihatan dari jauh. Jambatan keluli ini dikatakan antara yang tersibuk di India dan kami mengambil kesempatan mengambil gambar berlatarbelakangkan Jambatan Howrah. Baru saja ‘sesi pemanasan badan’ untuk beraksi didepan kamera bermula, kami dimarahi pihak polis kerana tidak dibenarkan mengambil gambar di atas jambatan itu. Rasa kecewa menyelubungi diri kami kerana sudahlah jauh berjalan, tetapi kami dihalang untuk mengambil gambar. Namun, beberapa keping gambar yang sempat kami rakam membuktikan kami telah pun menjejakkan kaki di Howrah.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Nakhoda yang merupakan masjid yang terbesar di Kolkata.Masjid berkubah hijau berdinding merah ini dikatakan boleh memuatkan ribuan jemaah dalam satu-satu masa. Sekali lagi, suasana Jalan Masjid India Kuala Lumpur menerpa di fikiran kami. Kurta yang merupakan antara pakaian rasmi masyarakat india banyak dijual di bazaar ini. Kami menghabiskan masa membeli beberapa pasang kurta, kopiah dan sempat juga menikmati air kelapa yang dijual ditepi jalan.


Dari Masjid Nakhoda kami meneruskan pengembaraan ke Marble Palace yang merupakan tarikan pelancong disini. Marble Palace merupakan istana kolonial peninggalan British yang dibina daripada batu mar-mar.Rasa kecewa sekali lagi menyelubungi diri kami apabila kami dilarang untuk mengambil gambar di Marble Palace. Tapi kami memberanikan diri mengambil gambar sekeping dua secara curi-curi.

Kami seterusnya menuju ke Joransakur yang merupakan istana milik penyair terkenal India, Rabinranath Tagore. Istana bewarna merah ini menjadi pusat kebudayaan dan mempunyai tugu Rabinranath Tagore. Di istana inilah, kami bertemu dengan sebuah keluarga melayu dari Malaysia dan membuktikan bukan kami sahaja kumpulan melayu yang membuat kunjungan ke bumi Kolkata.

‘Acara penutup’ kami pada hari ketiga adalah membeli-belah di South City Mall yang terletak di bahagian selatan Kolkata. Kompleks ini serupa saja dengan kompleks-kompleks beli-belah di Malaysia, cuma yang membezakannya adalah kami perlu melalui pemeriksaan sebelum memasuki kompleks ini. Kami sempat mengunjungi butik-butik seperti Adidas, Levis, Converse dan lain-lain lagi. Harga barangan ini tidak jauh bezanya dengan harga di Malaysia. Sesuatu yang jelas yang dapat kami perhatikan di South City Mall adalah golongan yang bertaraf tinggi saja yang boleh ditemui didalam kompleks ini. Sudah pasti mereka yang bergelandangan ‘diharamkan’ memasuki premis ini.

Pengalaman hari keempat merupakan pengalaman yang agak menakutkan. Kami menuju ke sebuah kampung di Kalighat untuk melawat Kali Temple.Jalan menuju ke kawasan ini tidak bertar, tahi lembu bertaburan dan begitu ramai peminta sedekah di sekeliling kuil. Wajah pemandu teksi yang kami naiki pula agak bengis dan berkumis tebal, saling tak tumpah watak antagonis filem tamil.

Namun suasana yang agak asing itu diselamatkan oleh seorang penduduk yang secara sukarela menjadi guider sepanjang kami melawat kuil itu.

Meninggalkan Kali Temple yang bagi kami sangat jauh dan bukanlah tarikan utama Kolkata, kami sekali lagi bersesak-sesak menaiki Metro Train dari Kalighat ke Esplanade. Awal-awal lagi kami sudah merancang untuk melawat satu tempat sahaja dan masa selebihnya kami gunakan untuk menghabiskan setiap rupee di Chowringhe dan funfair di sekitar Park circus.

Hari terakhir kami dibumi India, kami berpakat untuk kembali ke Esplanade sebelum berkumpul di lapangan terbang jam 12 tengahari. Harga barangan tempatan yang murah begitu mengujakan kami untuk menang membeli. Berbondong-bondong barang kami punggah atas troli di lapangan terbang akhirnya.

Letih dan puas merupakan dua perkataan yang dapat mewakili perasaan kami setibanya di dalam perut AK324 Kolkata-Kuala Lumpur. Letih meladeni setiap hari di Kolkata, India menerusi konsep backpacking, tanpa guider, hanya berpandukan peta dan menggembleng setiap tenaga untuk beradaptasi dengan perkhidmatan awam tempatan yang bagi kami hanya boleh dibeli dengan pengalaman yang kami lalui.

Kepuasan yang tidak terhingga kami perolehi menerusi perjalanan mengikut rentak kami sendiri, trip yang bagi kami sangat bajet dan segalanya berjalan lancar sepertimana yang diharapkan.

Dan semestinya keinsafan yang zahir pada setiap sudut hati kami bagaikan bersetuju dengan pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’. Kembara ini menelusuri budaya yang berbeza dan sudah pasti pancaindera kami merasa keajaiban India seperti yang dicanangkan melalui moto pelancongan 'Incredible India', kami tetap merasakan "betapa bersyukur dan bertuahnya aku dilahirkan di Malaysia"!

Dari tingkap kapal terbang, kami melihat langit kemerahan dan kelompok awan-awan senja. Sejenak terlintas kata-kata ‘belajarlah kamu sampai ke negeri China’!

7 ulasan:

Damia Puteri said...

Hurm...China~

sagahayat said...

yes...next..maybe trip to china

miza said...

china negara yg harus d lawati....banyak perkara yg boleh d pelajari dan d lawati... india...coming soon...

miza said...

China tempat menarik utk d pelajari dan d lawati....india...coming soon

sagahayat said...

tq miza..sy dah pun melawat china bulan disember 2011 yg lepas....

Mr.Koni said...

Catatan yang menarik. Boleh jadi panduan kepada pengembara tanpa guide. Pengembaraan tanpa guide lebih menyeronokkan dan bebas. Prinsipalnya MAP, Buka mulut dan Tanya. Tahniah.

sagahayat said...

terima kasih..pengalaman kami kat india mmg tak dpt dilupakan..apepun kami berjaya mengharunginya...tq..

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...