KEBETULAN ATAU COINCIDENCE?

Sunday, April 11, 2010

Kebetulan yang selalu berlaku adalah seperti berikut ;

A : Kau nak pergi mana B?
B : Nak pergi Bandar.
A :Eh! Kebetulan aku pun nak pergi bandar. Jomlah sekali.

Tetapi pernahkah dalam hidup anda berlaku kebetulan yang jarang sekali berlaku dalam hidup anda mahupun orang lain, bahkan agak pelik ataupun membuatkan anda terfikir sejenak. Sebagai contoh, di barat, seorang budak lelaki berumur 12 tahun hampir lemas ketika sedang bermandi –manda di tepi pantai. Bagaimanapun budak itu berjaya diselamatkan oleh seorang wanita. 10 tahun kemudian, di pantai yang sama, budak itu (ketika itu sudah berusia 22 tahun) berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki dari mati lemas. Apa yang mengejutkan, ibu kepada budak yang hampir mati lemas tadi adalah wanita yang menyelamatkannya 10 tahun dahulu.Itu adalah kebetulan.

Berikut merupakan beberapa kebetulan yang pernah berlaku dalam hidup aku yang boleh dikatakan agak menarik (walaupun tidaklah aneh, pelik atau mengejutkan, tetapi sekurang-kurang ada) dan boleh dikatakan pengalaman yang mengujakan.

PERTAMA : Lima tahun yang lepas, ketika Ramadhan berbaki seminggu, aku berjalan bersendirian di bandar untuk membeli sepasang baju melayu untuk dipakai di pagi raya. Mata aku terpikat dengan sepasang baju melayu cekak musang berwarna hijau turquoise dan harga baju itu bertepatan dengan bajet aku. Sebelum aku mencuba baju itu, kakak di kedai itu sempat menyapa. “Warna ni memang cantik dik. Sesuai dengan kulit adik. Tadi pun ada seorang lelaki, baru je beli warna yang sama dengan baju ni”. Kakak itu berjaya melobi. Aku membayar dengan hati berbisik “Turquoise raya aku tahun ni” . Setibanya di rumah, alangkah terkejutnya aku apabila melihat abang aku membeli baju melayu warna yang sama, potongan yang sama, harga yang sama,di kedai yang sama dan kakak yang sama. Terpaksalah aku dan abang aku pergi ke kedai itu semula untuk aku menukar baju warna lain. Tak mungkin aku nak sedondon dengan abang aku. Kebetulan?

KEDUA : Kalau dahulu aku hanya menggunakan telefon bimbit yang dapat berdering bunyi monotone, tetapi dengan kehadiran Nokia Xpressmusic 5800 yang baru, aku dapat memilih nada dering dari lagu yang aku sukai. Lagu Madu Tiga dendangan semula Ahmad Dhani merupakan lagu yang aku setkan sebagai nada dering pilihan. Suatu hari, ketika aku meninggalkan telefon bimbit di dalam bilik sambil aku menonton tv, telefonku berdering. Aku berlari mendapatkan telefon dan tiada apa-apa tanda telefonku sedang dihubungi, malah bunyi lagu Madu Tiga masih berkumandang. Di atas meja di sudut bilik, telefon bimbit adikku bergetar dan bernada dering “senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, tetapi jangan sampai, hai pecah tembelang”. Beberapa hari kemudian, telefonku berdering lagi. Tapi sebenarnya bukan telefon aku yang berbunyi. Kali ini telefon abangku yang berdering dengan lagu yang sama!Masih kebetulan?

KETIGA : Ketika aku masih belajar, aku menjalankan praktikal di sebuah tempat selama 3 bulan bersama kawanku, Azrul. Kami diselia dan dibimbing oleh seorang penyelia yang bernama Encik Amiruddin. Sepanjang 3 bulan, kami tidak pernah berbual panjang dengan penyelia itu. Kalau berbual pun hanya mengenai perkembangan praktikal kami. Beberapa hari sebelum kami menghabiskan praktikal di tempat itu, kami sempat bersama Encik Amiruddin berbual di luar kotak perbincangan yang selalu kami bawakan. Penyelia kami itu bercerita mengenai keluarganya. “ Kalau kamu nak tau, nama anak lelaki saya serupa dengan nama kamu”. Di akhir perbualan barulah kami dapat membuat satu pertalian yang terjadi secara kebetulan. Nama anak Encik Amiruddin serupa dengan nama aku. Manakala nama bapa Azrul adalah Amiruddin. Adakah masih kebetulan?

KEEMPAT : Dua tahun yang lepas, aku dan kawanku bergerak ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan rakan sepengajian. Dalam perjalanan kami kesana, aku mendapat SMS daripada kawan lama. Kandungan SMS itu adalah “Happy Birthday!!!! Jgn lupe wish kt aku blik…ari jadi kita sama ari nie..huhuhu”. Kebetulan hari jadi aku dan kawan lamaku itu jatuh pada tarikh yang sama. Setibanya di Pulau Pinang, kami bertemu seorang rakan bersama anaknya di sebuah kedai makan.Antara ayat yang keluar dari mulut kawan aku itu adalah ”Aku tak boleh lama ni, jumpa korang sekejap je.Nak kena balik kampung sebab nak sambut birthday anak aku ni petang ni”. Setibanya di sebuah kompleks membeli-belah, kami bertemu lebih ramai rakan-rakan . Tiba-tiba kami terserempak dengan seorang rakan sekuliah bersama suaminya yang awal-awal lagi mengesahkan tidak dapat hadir dalam reunion ringkas kami. Tapi dia sempat meminta maaf.”Sorilah geng. Aku tak dapat join. Aku nak sambut birthday suami aku kat rumah mak mertua.Aku datang sini pun sebab nak ambik kek”. Dihujung pertemuan, dapat aku simpulkan bahawa hari jadi aku jatuh pada tarikh yang sama dengan tarikh hari jadi beberapa orang yang aku jumpa secara tak sengaja. Adakah ini masih kebetulan?

KELIMA : Suatu masa dahulu, ketika friendster menjadi laman sosial yang paling popular sebelum kemunculan facebook, aku berkira-kira untuk mengemaskini maklumat didalam akaun friendsterku. Antara perkara yang ingin aku edit ialah ‘favourite tv show’. Aku ingin melengkapkan maklumat dengan “Oggy and the Cockroaches” sebagai salah satu rancangan tv kegemaran. Tetapi aku tidak pasti ejaan yang tepat untuk perkataan “Cockroach”. Lalu aku membuka enjin pencarian Yahoo! untuk mencari perkataan itu. Sekonyong-konyong, perkataan pertama yang keluar di paparan enjin pencarian Yahoo! itu adalah “Cockroach”! Adakah ini masih lagi kebetulan?

Kebetulan merupakan satu anugerah tuhan untuk manusia yang jarang sekali diperkatakan. Kebetulan adakalanya menguntungkan atau merugikan. Apapun kisah pengalaman kebetulan yang berlaku sudah pasti membuatkan kita tersenyum apabila memikirkannya.

2 ulasan:

deqla manjew said...

menarik kisah2 kebetulan kamu... :)

sagahayat said...

tq.....hehe

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...