MADAH KLASIK IBU

Friday, April 30, 2010

Secara lembut menegur. Bermain dengan kata-kata sambil berpesan. Itulah kelebihan orang dahulu. Berkias dan memberi perumpamaan merupakan keindahan leluhur melayu. Begitu juga dengan ibuku. Tidaklah banyak tetapi ada. Dalam membesarkan aku dia selalu menggunakan beberapa kata-kata yang begitu unik dan agak jarang digunapakai oleh masyarakat pada masa ini. Semoga kata-kata ini terus kekal bersama abadinya kasih sayangku pada ibuku.

SUDAH GAHARU CENDANA PULA, SUDAH TAHU BERTANYA PULA
Zaman sekolah rendah merupakan zaman dimana kanak-kanak selalu bertanya mengenai apa saja yang terlintas difikiran mahupun didepan mata mereka sendiri. Sama seperti kanak-kanak lain adakalanya perkara yang sudah tahu pun, aku tetap bertanya juga. Berkali-kali bertanya (teringat iklan petronas burung murai) hingga menyebabkan ibuku kadang-kadang sudah bosan.”Hei budak ni. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula”!

KURA-KURA DALAM PERAHU, PURA-PURA TAK TAHU
Nakal dan aktif memang sinonim dengan kanak-kanak. Sudah pasti bermain, bermain dan bermain merupakan rutin harian. Begitu juga dengan aku yang menjadikan halaman rumah sebagai ruang bermain. Suatu hari pasu bunga abah menjadi mangsa tendangan bola abangku. Dia memberi amaran supaya merahsiakan apa yang berlaku. Bimbang disekeh abang, aku hanya berdiam diri. Apabila ditanya aku hanya berkata ‘tak tau’. Ibuku hanya tersenyum sambil berkata “kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu”.

BUAH SALAK LIMAU MANIS, BANYAK TERGELAK BANYAKLAH MENANGIS
Kalau sudah bermain, memang tak ingat dunia. Dah terlampau seronok sangat kadang-kadang mesti tergelak terbahak-bahak bagai nak rak. Air mata pun boleh mengalir kalau terlampau banyak ketawa. Hidup ini memang seimbang. Adakala gembira adakala duka. Bertitik tolak dari itulah ibuku selalu berpesan secara sinis. “Ni banyak sangat gelak ni lepas ni mesti banyak nangis. Buah salak limau manis, banyak gelak banyaklah menangis”.

TUKUL TAKAL BALIK PINTU, ORANG NAKAL MEMANG BEGITU
Benar kata ibu. Banyak gelak banyaklah menangis. Dek kerana terlampau aktif bermain, sudah pasti ada sekali-sekala tersadung, terhantuk, terperosok, terjatuh, terkepit, terluka dan sebagainya. Maka berderailah air mata dan bingitlah rumah dengan raungan si anak nakal. Lalu ibu jualah tempat mengadu. Ibuku akan mengusap-usap atau menghembus-hembus bahagian yang sakit sambil menyebut ‘jampi serapahnya’. “Tukul takal balik pintu, orang nakal memang begitu”. Mujarab! Rasa sakit hilang dan tangisan pun terhenti.

YANG PELIK

Monday, April 26, 2010

Sebelum ini penulis ada menulis mengenai manusia gharib yang ada dikalangan kita tetapi jarang ditemui. Kali ini adalah mengenai benda/perkara pelik yang pernah penulis temui. Inilah benda/perkara pelik tersenarai.

LAGU PELIK – Lagu berjudul I Just Wanna Say I Love You dendangan kumpulan Potret merupakan lagu yang agak pelik. Ahli kumpulan Potret yang dianggotai Melly Goeslow dan suaminya Anto Hoed hanya melagukan sebaris lirik iaitu I Just Wanna Say I Love You dari awal hingga akhir lagu.

NOVEL PELIK – Novel karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ini berjudul SHIT@P*kiMak diterbitkan pada tahun 1999. Ia merupakan naskhah satira politik kontroversi yang terkenal. Berjuring, mewabak, merebak dan membiak merupakan antara istilah yang digunakan dalam novel yang menceritakan kisah perjalanan najis ini. SHIT memang pelik.

FILEM PELIK – Filem arahan Quentin Tarantino berjudul Kill Bill merupakan sebuah filem yang agak pelik. Manakan tidak, pertama, filem ini diterbitkan dalam dua volume iaitu Kill Bill Volume 1 dan Kill Bill Volume 2. Kedua, setiap filem diceritakan mengikut bab atau chapter. Ketiga, setiap bab atau chapter adalah berbeza. Ada kartun, ada noir dan ada retro!

PERANGAI PELIK – Masa dia sedar dia normal. Tetapi masa dia tidur dia berkelakuan pelik. Dia mengigau marah-marahkan orang. Itulah sifat seorang kawan aku yang aku kenali di universiti. Pernah dia maki-maki kami masa tidur bila kami kejutkan. Pernah juga dia mengigau menarik baju aku sambil tangan lagi menggenggam kemas hendak menumbuk mukaku semasa aku tidur disebelahnya!

FESYEN PELIK – Fesyen jalanan harajuku adalah fesyen yang berasal dari Jepun. Fesyen ini sudah pun menular dikalangan remaja Malaysia terutama amoi-amoi muda remaja. Begitu juga dengan fesyen gothic. Kalau tak percaya cuba luangkan masa jalan-jalan di Times Square atau Ipoh Parade hujung minggu. Memang pelik sebab fesyen untuk kelihatan menarik tetapi fesyen ini seperti badut atau orang gila.

MAKANAN PELIK – Memang banyak makanan pelik di dunia ini. Discovery pun dah membuktikannya. Tapi dalam banyak-banyak makanan pelik aku memilih jambu batu. Jika kita makan jambu batu di India ianya agak pelik. Jambu batu tidak ditambah dengan serbuk asam sebaliknya ditambah dengan serbuk kari. Tahulah India syurga rempah. Takkan dalam buah-buahan pun nak bubuh!

GAMBAR PELIK – Gambar ini dikirim oleh seorang kawan aku menerusi emel. Menurutnya gambar ini dirakam menggunakan telefon bimbitnya semasa berlatih bowling di Bangsar Shopping Centre. Gambar rakan-rakan yang dirakamnya menjadi gambar yang tidak dapat dijelaskan. Kebetulan semasa kejadian adalah musim beri hantu makan (kepercayaan cina). Tidak dapat dijelaskan? Anda nilailah sendiri!

Nota : Tempat paling pelik di dunia adalah Sungai Pelek!

MEREKA YANG BERBEZA

Sunday, April 25, 2010

Mereka adalah kelompok yang jarang ditemui. Tetapi mereka wujud dikalangan kita. Pernahkah anda bertemu dengan orang…….

BERJAGA DALAM TIDUR – Semasa aku bekerja di sebuah IPTA, aku ditugaskan untuk mempromosi universiti itu selama dua hari di sebuah kolej matrikulasi di Perlis. Aku bersama bos dan seorang rakan setugas memilih sebuah hotel di Jitra untuk bermalam memandangkan kebanyakan hotel di Perlis sudah ditempah awal-awal lagi oleh wakil-wakil dari universiti lain. Kami membayar untuk dua bilik di mana aku dan abang Jamli (bukan nama sebenar) sebilik manakala bos kami di bilik yang berbeza. Pada malam pertama abang Jamli mengingatkan aku supaya mengabaikan apa yang terjadi jika ada perkara pelik yang berlaku semasa waktu tidur. Sudah tentu aku tertanya-tanya apakah maksud abang Jamli dan dia terus menarik selimut tanpa menutup televisyen yang ditontonnya. “Tak payah padam tv tu. Biar ada cahaya sikit”. Walapun aku dalam keadaan terpinga-pinga, aku cepat tertidur disebabkan keletihan setelah bermusafir lebih 6 jam dari ibukota ke negeri paling utara itu. Beberapa ketika aku tertidur, aku tiba-tiba terjaga. Abang Jamli duduk di hadapan televisyen yang masih terbuka. Dia kemudian menekan-nekan menu pada remote control dan terus menekan menu bright, contrast dan sebagainya ke tahap maksimum. Tiba-tiba matanya memandang tepat padaku. Aku terkejut! Terus dia mengeluarkan baju-bajunya dari beg dan menggulung-gulungkannya di atas katil. Aku hanya menyaksikan kelakuan anehnya tanpa sepatah perkatan pun keluar dari mulutku. Keesokannya harinya abang Jamli bertanyakan aku apa yang berlaku pada malam itu. Aku menceritakan kejadian itu tanpa menambah atau mengurang. Abang Jamli hanya tersenyum dan menyatakan bahawa dia selalu berjaga dalam tidur tetapi dia tidak sedar apa yang berlaku. Beberapa minggu selepas kejadian itu, saluran Discovery ada menayangkan rencana mengenai penyakit berjaga ketika tidur. Slot itu menceritakan mengenai seorang lelaki di barat yang telah membunuh isterinya ketika dia sedang tidur tanpa disedarinya!

PENGIDAP SKIZOPHRENIA - Zaman universiti menemukan aku dengan pelbagai jenis manusia. Antaranya adalah Razif (bukan nama sebenar). Dia adalah rakan sebilik kawanku. Penyakit mental yang dialaminya sering menjadikannya sebagai subjek perbualan komuniti kampus. Razif tidak berkawan dengan siapa-siapa. Dia seperti dengan dunianya sendiri. Menurut kawanku, dia suka meludah didepan pintu bilik. Kadang-kadang dia berbual dengan rakan ciptaannya bernama Razi pada waktu dinihari. Almarinya bersepah dengan pakaian, kulit tembikai dan sisa buah epal. Pernah dia duduk ditengah-tengah koridor menghadap ke pintu keluar ketika penghuni hostel yang lain lena dibuai mimpi. Dia juga pernah dilihat mengambil wuduk dengan menggunakan shower pertama untuk membasuh muka, shower kedua untuk membasuh tangan dan seterusnya sehinggalah lengkap rukun wuduk. Yang paling mengejutkan apabila Razif pernah menanggalkan pakaiannya satu-persatu di hadapan perpustakaan sehingga tinggal boxer sahaja ketika ramai mahasiswa sedang menunggu bas. Aku juga pernah berhadapan pengalaman pelik ketika aku menonton filem di bilik kawanku itu. Razif pada ketika itu sedang baring di atas katilnya. Aku mencadangkan supaya lampu bilik dipadam. Dengan tidak semena-mena, Razif memadam lampu bilik. Beberapa saat kemudian dia membuka lampu kembali. Seterusnya dia membuka dan menutup suis itu berkali-kali sehinggalah aku terpaksa meninggalkan bilik itu dengan harapan dia akan berhenti melakukan perkara pelik itu.

Kurniaan Sang Pencipta pada hambanya tidak terhingga. Namun sesempurna manapun insan itu pada mata kasar, ia tetap tidak sempurna. Kekurangan tetap ada pada setiap individu. Kekurangan dan kelemahan itu sebenarnya mengajar kita erti bersyukur kerana disebalik kekurangan kita itu ada insan yang lebih malang lagi. Dan setiap manusia dilahirkan berbeza. Adat, budaya, pegangan atau habit yang berbeza menjadikan manusia makhluk yang istimewa. Maka, bersyukurlah dan hargai perbezaan.

KISAH DARI TANGAN KIRIKU

Tuesday, April 20, 2010



Kisah ini berdasarkan pengalaman sebenar yang ditulis untuk mengisi masa lapang penulis sepanjang cuti sakit. Ditaip menggunakan tangan kiri.

**************

Vroommm…..kereta kancil putih dipandu Azrul menuruni bukit-bukit berceranggah Kampung Kepayang. Sempat aku menjeling jauh kebawah ke arah telefon bimbitku yang dikeluarkan dari poket seluar. Dua miss called dari Ijam seolah-olah ingin memberitahu sesuatu yang penting. Lantas aku menghubungi Ijam dan ternyata tepat tekaanku, Ijam dan Syam ingin mengajak aku dan Azrul ke Bandaraya Ipoh untuk bertemu, bertanya khabar, bersembang dan berborak mengenai apa saja dan aku amat pasti topik perbualan kami nanti lebih berkisar mengenai pengalaman seminggu praktikal di tempat masing-masing.

Kata sepakat dicapai. Akhirnya kami memilih Jusco Ipoh sebagai destinasi untuk berkumpul. Aku dan Azrul bermotosikal memandangkan ianya lebih ekonomik dan mudah untuk kami menyelit-nyelit di tengah kesesakan ibu negeri Perak Darul Ridzuan itu. Masa yang dianggap senggang itu kami isi dengan pelbagai kisah dan cerita, dari yang penting hinggalah kepada isu titik bengik.

Selepas menikmati nasi lemak malam dan char kuew tiow ekstra kerang, kami berpisah. Jam 8.30 malam, aku dan Azrul kemudian terus bergegas ke rumah sewaku di Sinju untuk mengambil barangku kerana bercadang untuk bermalam di rumah Azrul di Batu Gajah. Untuk ke Batu Gajah, aku mengambil keputusan untuk menunggang dan tidak membonceng memandangkan Azrul sudah seharian menunggang motorku bersiar-siar di Ipoh. Tambahan pula, aku hendak membiasakan diri dengan jalan dari Taman Mesra Raia ke Kampung Muhibah Ara Payung.

Usai kami meninggalkan Taman Mesra Raia, aku menyanyi riang. Lagu Ngam Ho nyanyian Spider aku siulkan. Azrul dibelakangku berpeluk tubuh, mungkin kedinginan memandangkan gerimis turun sebelum itu. Sepanjang perjalanan itu, tiada apa yang kami bualkan. Cuma aku yang masih bernyanyi dengan lantang seperti mahu berlawan dengan bunyi deruman enjin motor Honda Wave 100 kepunyaanku. Tiba-tiba Azrul bersuara “…Babi!..Babi…!” Kusangka dia mencarut. Rupanya dia ternampak seekor babi hutan di tepi jalan. Aku cuba melihat menerusi cermin sisi. Tapi kelibat babi itu tidak kunampak.

Perjalanan diteruskan. Teringat pula aku kejadian seekor kerbau dilanggar kereta tempoh hari. Habis remuk kereta itu dan kerbau cedera di tengah jalan. Aku bernyanyi lagi. Kali ini lagu Dealova menjadi pilihan. Tiba-tiba aku ternampak seekor tenggiling di bahu jalan. Mujur ia tidak melintas dan aku tidak melanggarnya.

Kemudian mataku memandang Istana Kellie dari kejauhan. Aku berhenti bernyanyi. Azrul masih lagi membatukan diri. Orang kata istana ini agak keras. Dalam hatiku berkata: “memanglah keras kalau istana tu dibuat dari batu”. Teringat pula petang tadi aku ada menyatakan hasrat untuk mengambil gambar di istana milik bekas pemilik estet itu. Aku dan kawanku itu juga sempat bergurau. “Dah la nak masuk kene bayar RM4, sekali masuk Kellie caslte kena sampuk. Pastu kena bayar bomoh untuk berubat pulak RM400. Nak belanja kawan makan lagi, sebab dah bawakkan jumpa bomoh pulak RM40. Pastu motor pulak hilang masa gi umah bomoh RM 4000.Total kerugian RM4444…hahaha……” kami ketawa.

Saat lamunan itu berlalu, kami melepasi sebuah kuil berdekatan istana. Tiba-tiba tayar motorku meletup! Dengan kelajuan 100km sejam dan 2 orang pembonceng, aku gagal mengawal motorsikal. Kami jatuh! Serentak dengan itu kami tergolek. Pandanganku berpinar. Aku menahan kesakitan. Azrul menarikku ketepi sambil menyedarkan aku yang sedikit pitam. Aku seperti tidak keruan. Berkaki ayam aku melilau ditepi jalan. Mulutku terkumat-kamit namun aku sendiri tidak tahu apa yang aku katakan. Motorsikalku yang tanggal tayar dari rimnya, ditolak ketepi. Azrul menelefon bapanya tapi tidak berjawab. Aku cuba menghubungi rakan serumahku, Bad, juga tidak berjawab.

Tanganku berasa sengal. Aku agak mungkin tanganku terkehel. Aku lihat kawanku itu tidak henti-henti menghubungi bapanya. Luka di tangan kanannnya agak teruk. Tidak banyak darah yang mengalir. Cuma air bisa dari luka itu mengotori bajunya. Kulit tangannya terseret tar jalan memperlihatkan luka berwarna merah jambu dan putih. Begitu juga dengan belakang bahuku. Bajuku koyak seperti digigit anjing. Jalan tar itu juga ‘menggigit’ jaket murah yang aku pakai.

Lima minit berlalu, keluarga india berhampiran datang memberi bantuan. Mereka membantu menolak motorku ke halaman rumahnya. Sejurus kemudian ibu bapa Azrul sampai hampir serentak dengan ketibaan Bad dan Amir. Kami dibawa ke unit kecemasan Hospital Batu Gajah. Sepanjang perjalanan ke hospital aku hanya mendiamkan diri sambil mengenang apa yang berlaku.

Di hospital, Azrul dibawa masuk dahulu untuk rawatan memandangkan lukanya lebih teruk berbanding aku. Beberapa minit kemudian namaku dipanggil. Aku melangkah masuk ke bilik rawatan dengan harapan aku baik-baik saja dan tidak mengalami kecederaan yang serius. Ketika sampai di katil rawatan, ekor mataku melihat seseorang sedang dirawat. Aku menajamkan pandangan dan ternyata ianya adalah Azrul yang sedang menahan kesakitan lukanya dicuci.

Sejurus selepas itu, pembantu perubatan mengarahkan aku untuk menanggalkan baju. Aku menjerit kesakitan ketika tanganku diangkat dan aku mengaku aku tidak berupaya menanggalkan baju. Aku meminta pembantu perubatan itu untuk menggunting sebahagian bajuku. Bahu kananku terdedah. Baju t-shirt merah bundleku saling tak tumpah seperti gaun seksi untuk menghadiri majlis Academy Award. Ketika iodin menyinggah luka di belakang bahuku, aku mengaduh kesakitan. Sakitnya tidak terperi. Seperti jarum-jarum halus menyucuk-nyucuk permukaan luka.

Pembantu perubatan itu mengikat tangan kananku dengan kain anduh. Katanya, lebam pada tulang selangka menunjukkan tulang aku mungkin patah. Untuk mengesahkannya aku dibawa ke bilik x-ray untuk di x-ray bagi pemeriksaan doktor. Aku kemudiannya dibawa ke bilik x-ray dengan ambulan. Meski hanya 100 meter jarak bilik itu aku tetap dibawa dengan ambulan. Tak apalah. Yang penting aku dapat dirawat dengan baik.

Ketika pembantu perubatan memegang filem x-rayku, aku sudah nampak kesan patah pada imej x-ray itu. Doktor menjelaskan tulang klavikelku patah akibat hentakan dan mengambil masa 3 minggu untuk pulih. Aku tertunduk. Pelbagai persoalan mula menerjah fikiranku. Bagaimana aku hendak bekerja dengan tangan beranduh 21 hari? Bagaimana aku mahu menjalankan rutin harian yang lain. Aku cuba tabahkan hati.

Jam 11 malam aku dibenarkan pulang. Tapi aku masih menunggu sijil cuti sakit yang belum ditandatangani oleh doktor. Aku cuba menjadikan diri aku tenang. Kata orang kesakitan tidak harus dilayan, tapi harus dilawan. Kadang-kadang aku terfikir alangkah bertuahnya aku kalau aku dapat sembuh macam Wesley Gibson dalam filem Wanted. Segala luka dan patah tulang hanya dapat disembuhkan dengan hanya berendam dalam tab mandi! Tapi aku bukan salah seorang daripada the fraternity. Patah tetap patah. Dan aku harus sembuh secara semulajadi.

Malam itu aku cuba lelapkan mata. Tapi terlalu sukar. Mungkin kesan trauma akibat kemalangan. Tapi aku kuatkan semangat. Kata orang setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Malang tidak berbau. Malah tiada siapa di dunia ini mahu mengundang malang. Dalam hati aku berdoa agar aku cepat sembuh. Semoga aku terus cekal menghadapi hari-hari muka.

Sila jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan cerpen di atas:-

  1. Nyatakan hari kejadian berlaku?
  2. Berapakah harga sepinggan Char Keow Tiaw ekstra kerang yang dijamu oleh mereka?
  3. Siapakah pencipta lagu Ngam Ho nyanyian Kumpulan Spider?
  4. Berapa ekorkah babi yang dilihat oleh Azrul?
  5. Apakah nama penuh pemilik Istana Kellie?

ANEKDOT HAIWAN ZODIAK CINA

Sunday, April 18, 2010


Dalam astrologi Cina, zodiak dua belas bintang haiwan melambangkan dua belas jenis personaliti berbeza dan bergilir-gilir setiap 12 tahun. Dalam catatan ini pula, dua belas anekdot yang berbeza diceritakan menerusi dua belas bintang haiwan zodiak cina mengikut tertib turutannya.

TIKUS - Sebastian kucing belaan keluargaku. Namanya sempena watak dalam telenovela kegemaran ibuku iaitu Catalina & Sebastian. Sebastian seekor kucing yang gemuk dan malas. Badannya sering penjadi pengesat kaki aku dan adikku. Walaupun Sebastian pemalas, adakalanya ia sangat berguna. Kalau tangkap tikus mesti nak tunjuk bukti kehandalannya menangkap tikus pada kami dahulu. Tapi abah dah buang Sebastian sebab selalu berak dalam rumah.

LEMBU – Cikgu Fakhrul adalah cikgu paling garang di sekolah menengah aku. Walaupun garang dia tetap pandai buat kelakar. Dia juga suka mengkritik macam Adlin Aman Ramli. Apa yang tak kena pada pandangan matanya pasti menjadi kutukan. Suatu hari di dalam kelas cikgu Fakhrul membuka suara.”Cikgu pompuan kat sekolah ni kalau bab fesyen tak mau kalah. Kalau pakai gincu punyalah merah dah macam b*nt*t lembu!”

HARIMAU – Sejam mendaki puncak air terjun didalam hutan tebal, kami berehat seketika. Walaupun masing-masing terlihat beberapa ketul najis haiwan disitu, kami hanya berdiam diri. Tetapi kawan kami yang berbangsa india iaitu Meyyapa terus menyapa.”Eeeee..taik harimau kumbang”. Lalu kami beredar secepat mungkin dari situ meninggalkannya terpinga-pinga.

ARNAB – Semua sepakat untuk berkumpul di rumah abang ipar si Yan sebelum bergerak ke Port Dickson. Kami dijamu makan tengahari pada hari itu. Sedang enak menjamu selera, abang ipar Yan ada bertanya. “Korang tau tak gulai apa yang korang makan ni? Nilah ayam Sepanyol”. Pada fahaman aku tentulah ayam turki. Semasa membasuh pinggan barulah Yan bagitahu. “Yang korang makan tadi tu daging arnab”. Itulah pertama dan terakhir aku makan arnab.

NAGA – Beberapa minggu selepas Tahun Baru Cina mesti ada tarian naga dan tarian singa di pekan. Aku dan adik aku mesti ambil kesempatan pergi ke pekan untuk melihat sendiri tarian masyarakat tiong hua ni. Balik dari pekan, sudah pasti kami mencari kain cadar emak dan menarikan tarian naga dan singa versi kami di ruang tamu. Tarian tu pulak pasti tak sah kalau takde bunyi gendang cina dari mulut kami.

ULAR – Aku terjaga untuk bersahur pada pagi itu disebabkan bunyi tembakan. Apabila aku sampai di pintu dapur, aku lihat abah dan pak Majid baru saja melepaskan tembakan pada seekor ular sawa. Ular sawa itu baru saja menelan beberapa ekor ayam peliharaan abah. Sahur itu kami hanya makan maggi sebab mak pun sibuk nak tengok bangkai ular sawa sebesar pahanya itu.

KUDA - Aku mendapat tawaran kerja di sebuah negeri yang agak jauh dari negeri asalku. Ini bermakna aku terpaksa berhijrah ke negeri itu demi kerjaya baru. Sehari sebelum aku bertolak, abah sempat menghadiahkan aku dua benda. Pertama adalah sebuah diari dan kedua adalah kalendar kuda. Kalendar itulah yang aku pangkah setiap pagi menghitung hari pulang ke kampung untuk bertemu abah, mak, adik-beradik dan kawan-kawan.

KAMBING - Aku pernah berkhemah di Taman Negara Pulau Pinang bersama kawan-kawanku. Seperti biasa kami membawa makanan dalam tin, maggi, roti dan lain-lain lagi. Malam terakhir disana kami sebulat suara menghabiskan semua bekalan makanan yang dibawa. Semua bekalan makanan dibawa keluar kecuali beberapa bungkus maggi untuk sarapan pagi. Habis saja masak terus kami makan. Tapi yang kelakar kari kambing dalam tin menjadi punca pergaduhan antara kami sebab masing-masing merebut kari kambing yang terhad. Tapi taklah sampai bertumbuk tarik rambut.

MONYET – Gadis bernama klasik itu sangat aku suka. Cinta monyet itu semasa aku di tingkatan dua. Aku selitkan nota ringkas di mejanya. “Kalau nak kenal saya yang mana satu, esok saya letak pen kat kocek baju saya. Carilah saya waktu rehat esok….Yang Benar…A”. Keesokannya, pada waktu rehat di kantin, berbelas-belas kawan aku meletakkan pen di kocek mereka. Yang letak pen marker pun ada. Kantoi aku!

AYAM – Aku dan tiga orang kawan pergi ke Chow Kit untuk melihat-lihat barangan bundle disana. Selain barangan bundle kami bertemu dengan seorang bapak ayam yang menawarkan pada kami ayam-ayam pada harga yang cukup murah.”Bukak api..bukak api..mau ka…?..Dari Sabah maaa….” Iman yang tebal mendorong kami berlalu dari situ. Hehehe…

ANJING - Selepas memetik rambutan, aku dan abang-abangku duduk dibawah pohon rambutan itu. Sambil menikmati kemanisan rambutan, abangku mencungkil-cungkil tanah menggunakan sebatang kayu. Tiba-tiba kami menemui tengkorak haiwan. Sifat ingin tahu menyebabkan kami membawa tengkorak haiwan itu pulang ke rumah. “Itu tulang anjing! Apa kerja la budak-budak ni”, marah abahku.

B*B* - As seorang penggangur. Dia adalah jiranku. Dia berkawan dengan budak-budak kampung. Ada jugak budak-budak kampung yang suka menyakatnya walaupun As lebih tua. Lagu Vanilla Ice berjudul Ice-Ice Baby sering mereka lagukan. Tetapi mereka menukar lirik kepada lirik lain untuk menyakat As. “As As b*b*, belum ada bini, keje takde lagi”. Walau apa pun, aku tidak tergolong dalam kelompok budak-budak kampung itu.

Nota : Ini adalah pengalaman sebenar. Mengaitkan dengan haiwan zodiak cina hanyalah sekadar suka-suka sahaja. Tidak berniat menyinggung mana-mana pihak. Anekdot bermaksud kisah ringkas.

10 FILEM TERPILIH

Saturday, April 17, 2010

Filem bukanlah untuk hiburan semata-mata, tetapi impak selepas menontonnya merupakan bonus bagi sesiapa saja yang memahami dan menghayatinya. Pengalaman saga manusia melalui medium ini adakalanya menduga akal dan memberi pengajaran yang amat bermakna dalam hidup. Jadi….lihat, dengar dan rasakan!

THE GREEN MILE - Kisah banduan-banduan dihujung hayat dan warden penjara merupakan intipati The Green Mile. The Green Mile merupakan novel karya Stephen King yang diadaptasi ke filem dengan judul yang sama. John Coffey merupakan banduan kulit hitam yang berbadan besar dan kuat berpeluh, namun dia takutkan gelap dan mudah menangis. Dia memiliki keupayaan menyembuhkan penyakit termasuklah menyembuhkan penyakit yang dialami oleh Paul Edgecomb, seorang warden. Dia juga cuba mengembalikan nyawa dua kanak-kanak yang dirogol dengan kejam namun usahanya itu disalah anggap menyebabkan dia menanti hukuman mati kerusi elektrik di The Green Mile. Di tangan Tom Hanks (Paul Edgecomb) dan Michael Clarke Duncan (John Coffey), filem ini harus dipuji.

A PERFECT WORLD – Yang baik dipuji, yang jahat dikeji. Namun selepas menonton filem ini, pasti anda akan memilih yang jahat. Seorang banduan, Butch berjaya melepaskan diri dari penjara. Dia kemudiannya terpaksa menculik seorang budak iaitu Philips sebagai tebusan. Sepanjang bersama Philips, dia menjadi penyayang dan lagak seorang bapa memandangkan Philips tidak pernah merasai nikmat sebagai kanak-kanak yang lain. Philips pula mengalami Sindrom Stockholm apabila sangat menyayangi Butch. Clint Eastwood, sang pengarah berjaya mengupas isu kasih sayang terhadap kanak-kanak serta memaparkan sisi putih penjenayah yang adakalanya mempunyai kisah hitam yang menjebakkan dirinya ke dalam kancah hitam.

FORREST GUMP – Kemahirannya dalam banyak perkara menutupi kelemahannya selaku si lurus bendul dan memiliki IQ yang rendah. Zaman kepompong kanak-kanaknya bersama pendakap kaki berubah menjadi rama-rama yang melalui garis masa John F.Kennedy, Nixon, Ronald Reagan, John Lennon dan Elvis Preisly. Pengalamannya menelusuri seribu macam cerita bersama kekasihnya Jenny dan Leftenan Dan. Tom Hanks dan Robert Zemeckis berjaya menzahirkan watak yang dicipta daripada novel dan membuktikan disebalik kekurangan pada diri Gump, wujud beberapa keajaibannya seperti menjuarai acara ping-pong di China, bertempur di Vietnam dan berlari merentas benua Amerika.

APOCALYPTO – Jaguar Paw bersama-sama penduduk kampungnya ditawan dan dibawa ke kuil kuno puak mayan untuk dipersembahkan pada tuhan. Ritual memenggal kepala diatas puncak piramid merupakan korban yang harus mereka lalui. Tetapi dia berjaya melarikan diri sambil dia terus diburu didalam hutan belantara. Paw terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan seperti dikejar harimau kumbang, tenggelam didalam pasir jerlus serta terjun dari puncak air terjun yang tinggi. Demi untuk menyelamatkan anak dan isterinya yang ditinggalkan di dalam sebuah perigi buta, Paw menggunakan kemahiran selaku anak jati hutan dengan mengaplikasi elemen semulajadi seperti bisa katak beracun dan tebuan dalam usaha menghapuskan musuh-musuhnya. Mel Gibson di kerusi sutradara sekali lagi berjaya menghasilkan karya yang bermutu selepas Braveheart.

EMPIRE OF THE SUN – Menonton filem ini tanpa melihat senarai nama aktor, pasti anda pada mulanya tidak percaya bahawa yang memeran watak utama adalah Christian Bale, adihero bersut ketat, Batman. Memegang watak sebagai seorang kanak-kanak kepada sepasang suami isteri aristokrat British yang kaya, hidup Jim lantas berubah apabila dia terpaksa menempuh pelbagai dugaan tatkala terpisah dengan ibubapanya dan hidup ditengah-tengah kekalutan Shanghai ketika kota itu diserang dan ditawan tentera matahari terbit. Perang Dunia Kedua menjadi fragmen menakutkan dalam hidupnya sehinggalah dia mula belajar hidup berdikari dalam kem tahanan bersama tahanan perang yang lain.

CHILDREN OF HEAVEN – Satu-satunya filem Asia yang terpilih dalam kelompok sepuluh. Children of Heaven mempamerkan bakat lakonan menyentuh perasaan dan berkesan hasil arahan Majid Majidi. Filem ini pernah tercalon untuk Top 5 Filem Asing Terbaik untuk Oscar Award. Ia mengisahkan seorang budak iaitu Ali yang berkongsi kasut dengan adiknya, Zahra ke sekolah. Tanpa pengetahuan bapanya yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Ali berusaha memenangi pertandingan marathon untuk merebut hadiah sepasang kasut untuk adiknya. Hati pasti meruntun melihat adegan dua beradik ini bertukar kasut di pertengahan jalan (Ali bersekolah sesi petang), melepaskan kasut kepunyaan Zahra pada anak si buta dan kaki Ali yang melepuh selepas tamat perlumbaan marathon.

STAND BY ME – Sekali lagi karya novelis Stephen King, The Body diterjemahkan ke layar perak menjadi Stand By Me. Empat sekawan berkelana merentasi paya yang penuh lintah, berjalan di atas rel keretapi yang panjang serta berkhemah di pinggir hutan dalam misi mencari mayat abang si Archie yang telah dibunuh oleh kawan-kawan abangnya. Mereka melalui pelbagai dugaan termasuklah dikejar anjing, dikejar keretapi dan dikejar musuh-musuh abang Archie. Persahabatan mereka turut diuji, apabila berlaku pergaduhan dan perselisihan faham yang hampir menyebabkan pengembaraan mereka terhenti. Filem ini pasti mengembalikan nostalgia kanak-kanak kita dimana basikal, rumah pokok dan lastik menjadi rencah pengalaman diusia muda.

THE CURIOUS CASE OF BENJAMIN BUTTON – Hingga hujung nyawa! David Fincher yang terkenal menghasilkan filem-filem thriller seperti Panic Room dan The Game tiba-tiba mengarahkan filem yang sebegini indah. Benjamin Button dilahirkan tidak seperti bayi-bayi yang lain. Dia adalah bayi, tetapi fizikalnya adalah seperti orang tua. Dia melalui zaman kanak-kanak dan remajanya secara songsang di mana dia terpaksa berkerusi roda, bertongkat dan rambutnya jelas uban seribu. Cintanya hanya pada Daisy. Tetapi dia terpaksa meninggalkan kekasihnya itu mengenangkan fizikalnya semakin muda, tidak seiring dengan penampilan Daisy. Meniti usianya, dia berubah menjadi remaja, kemudian kanak-kanak dan akhirnya mati sebagai seorang bayi di pangkuan kekasihnya. Kredit harus diberikan pada solekan yang menakjubkan apabila dapat menukar wajah Brad Pitt dan Cate Blancet ke usia apa pun.

BABEL – Senapang patah menghubungkan 4 negara dan menjadi tangkai kepada pelbagai cerita. Sepasang adik-beradik menggunakan senapang patah yang diberikan oleh seorang pelancong jepun kepada bapanya untuk menggembala kambing. Namun, mereka tertembak seorang wanita Amerika yang bercuti bersama suaminya di Maghribi. Suaminya pantas berusaha menyelamatkan nyawa isterinya dalam segala kesulitan manakala anak-anaknya sesat di gurun panas Mexico apabila dibawa pengasuhnya ke negara itu. Pihak polis di Jepun pula kemudiannya menyiasat seorang gadis bisu berkenaan senapang patah milik bapanya. Semuanya terjawab dihujung cerita dimana kekecewaan, kesedihan, keperitan dan kegembiraan menjadi penamat filem ini.

LOVE ACTUALLY – Cinta merupakan hadiah Hari Natal buat mereka. Cinta melalui proses yang pelbagai divisualkan satu persatu menerusi filem British ini. Menggunakan konsep layered movie, filem ini membariskan pelakon ternama british walaupun hanya sekadar cameo. Setiap watak mempunyai hubungan dengan watak yang lain. Berlatarbelakangkan beberapa bulan sebelum Krismas, mereka berdepan dengan aneka cinta sama ada antara bapa - anak, Perdana Menteri - pembantu, penyanyi - pengurus, bos - pekerja dan banyak lagi. Lagu-lagu ‘mesra telinga’ mewarnai filem ini yang dibintangi oleh Hugh Grant, Keira Knightley, Emma Thompson, Rowan Atkinson dan ramai lagi.

Meskipun tiada dalam senarai, filem-filem berikut juga adalah yang terbaik dan disukai antara berpuluh yang lain. Perhatian harus diberi pada Lord of The Rings : Fellowship of the rings, Lord of The Rings : The Two Tower, Lord of The Rings : The Return of the King, The Untouchable, The Pianist, The Shawshank Redemption, Ocean's Eleven, Saving Private Ryan dan Platoon.

Nota : Secara kebetulan kebanyakan filem pilihan adalah adaptasi novel (termasuk trilogi LOTR dan The Shawshank Redemption)

HANYA DI BORNEO

Dunia mengetahui bahawa monyet Proboscis hanya boleh ditemui di pulau Borneo. Monyet berhidung kelakar ini (menurut iklan pelancongan Tourism Malaysia menerusi Buletin Utama) merupakan salah satu spesis yang diancam kepupusan dan mendapat perhatian dunia dalam usaha mengekalkan kemandiriannya. Bukan mengenai monyet itu yang hendak dibincang disini, tetapi tentang beberapa flora dan faura yang wujud di negara ini tetapi boleh dikategorikan sebagai ‘hanya di Borneo’.

Cabek adalah sebutan dialek bagi cabai. Cabek Grunong boleh dikatakan spesis cili yang paling pedas pernah aku jumpa. Bentuk memang macam buah strawberry. Macam manis dan juicy. Tapi mak bapak memang PADAS!! Dah la pedas, tambah panas lagi. Bibir boleh jadi macam KAK NITA kalau makan sambal dari cabek grunong ni. Bau cili pun lagi kuat berbanding cili-cili yang lain. Pernah juga air mata aku mengalir disebabkan penangan pedas+panas cabek grunong. Terima kasih cabek grunong!

Bukan I.S.O tapi iso. Ada jugak orang panggil triso. Buah ni serupa macam buah durian. Aku rasa spesis yang sama tapi mungkin dalam genus atau filum yang berbeza (genus,filum:istilah sains dalam pengkelasan spesis). Buah ni tak la sebesar mana (bandingkan dengan saiz pinggan), tapi punyai duri yang sama tajam dengan durian sebenar. Mungkin saiz yang lebih kecil membuatkan duri iso lebih tirus. Warna kulit buah iso ni kalau betul-betul masak bewarna jingga. Sama juga dengan warna isinya. Isi iso ni tak sama macam durian. Kalau pegang isi buah ni tangan mesti tak kotor. Macam pegang isi buang nangka. Agak melekit. Rasa pula tak berapa sedap.Agak kelat dan tak macam durian langsung. Memang tak sesuai buat produk hasil durian seperti tempoyak.

Ikan lumek merupakan ikan yang agak pelik yang pernah aku jumpa. Ikan ni agak lembik. Macam tak mempunyai tulang pun ada. Warna pun putih-putih dan agak panjang. Ikan ni spesis ikan laut. Selalunya lumek berkelompok dengan ikan buntal. Bab rasa? Minta maaf banyak-banyak. Memang tak pernah rasa. Tapi ikan ni selalunya ikan ni digoreng atau disalai. Ataupun dibungkus dengan daun dan dimasak menjadi suman (serupa seperti otak-otak). Ikan ini mungkin menjadi inspirasi kepada jenama model kamera, LUMIX.

Peribahasa melayu ada menyebut pisang berbuah dua kali. Tetapi pisang ini sangat istimewa kerana perlu disebut dua kali iaitu pisang pisang. Pisang pisang tidak merujuk kepada banyak pisang tetapi pisang adalah nama bagi sejenis pisang. Sebagai contoh, tanduk dan emas adalah nama bagi dua jenis pisang iaitu pisang tanduk dan pisang emas. Begitu juga dengan pisang pisang. Pisang adalah gelaran bagi sejenis pisang iaitu pisang pisang. Walaupun pisang pisang boleh ditemui di mana-mana tempat di negara kita, namun keunikan namanya menyebabkan pisang pisang adalah hak milik mutlak bumi kenyalang.

Nota
: Mungkin cabek grunong, buah iso, ikan lumek dan pisang pisang ada dimana-mana sahaja, tetapi bagi penulis spesis-spesis ini lebih mudah ditemui di Borneo. Tidak di tempat lain. Kesimpulannya, lain padang, lain belalang.

KEBETULAN ATAU COINCIDENCE?

Sunday, April 11, 2010

Kebetulan yang selalu berlaku adalah seperti berikut ;

A : Kau nak pergi mana B?
B : Nak pergi Bandar.
A :Eh! Kebetulan aku pun nak pergi bandar. Jomlah sekali.

Tetapi pernahkah dalam hidup anda berlaku kebetulan yang jarang sekali berlaku dalam hidup anda mahupun orang lain, bahkan agak pelik ataupun membuatkan anda terfikir sejenak. Sebagai contoh, di barat, seorang budak lelaki berumur 12 tahun hampir lemas ketika sedang bermandi –manda di tepi pantai. Bagaimanapun budak itu berjaya diselamatkan oleh seorang wanita. 10 tahun kemudian, di pantai yang sama, budak itu (ketika itu sudah berusia 22 tahun) berjaya menyelamatkan seorang budak lelaki dari mati lemas. Apa yang mengejutkan, ibu kepada budak yang hampir mati lemas tadi adalah wanita yang menyelamatkannya 10 tahun dahulu.Itu adalah kebetulan.

Berikut merupakan beberapa kebetulan yang pernah berlaku dalam hidup aku yang boleh dikatakan agak menarik (walaupun tidaklah aneh, pelik atau mengejutkan, tetapi sekurang-kurang ada) dan boleh dikatakan pengalaman yang mengujakan.

PERTAMA : Lima tahun yang lepas, ketika Ramadhan berbaki seminggu, aku berjalan bersendirian di bandar untuk membeli sepasang baju melayu untuk dipakai di pagi raya. Mata aku terpikat dengan sepasang baju melayu cekak musang berwarna hijau turquoise dan harga baju itu bertepatan dengan bajet aku. Sebelum aku mencuba baju itu, kakak di kedai itu sempat menyapa. “Warna ni memang cantik dik. Sesuai dengan kulit adik. Tadi pun ada seorang lelaki, baru je beli warna yang sama dengan baju ni”. Kakak itu berjaya melobi. Aku membayar dengan hati berbisik “Turquoise raya aku tahun ni” . Setibanya di rumah, alangkah terkejutnya aku apabila melihat abang aku membeli baju melayu warna yang sama, potongan yang sama, harga yang sama,di kedai yang sama dan kakak yang sama. Terpaksalah aku dan abang aku pergi ke kedai itu semula untuk aku menukar baju warna lain. Tak mungkin aku nak sedondon dengan abang aku. Kebetulan?

KEDUA : Kalau dahulu aku hanya menggunakan telefon bimbit yang dapat berdering bunyi monotone, tetapi dengan kehadiran Nokia Xpressmusic 5800 yang baru, aku dapat memilih nada dering dari lagu yang aku sukai. Lagu Madu Tiga dendangan semula Ahmad Dhani merupakan lagu yang aku setkan sebagai nada dering pilihan. Suatu hari, ketika aku meninggalkan telefon bimbit di dalam bilik sambil aku menonton tv, telefonku berdering. Aku berlari mendapatkan telefon dan tiada apa-apa tanda telefonku sedang dihubungi, malah bunyi lagu Madu Tiga masih berkumandang. Di atas meja di sudut bilik, telefon bimbit adikku bergetar dan bernada dering “senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, tetapi jangan sampai, hai pecah tembelang”. Beberapa hari kemudian, telefonku berdering lagi. Tapi sebenarnya bukan telefon aku yang berbunyi. Kali ini telefon abangku yang berdering dengan lagu yang sama!Masih kebetulan?

KETIGA : Ketika aku masih belajar, aku menjalankan praktikal di sebuah tempat selama 3 bulan bersama kawanku, Azrul. Kami diselia dan dibimbing oleh seorang penyelia yang bernama Encik Amiruddin. Sepanjang 3 bulan, kami tidak pernah berbual panjang dengan penyelia itu. Kalau berbual pun hanya mengenai perkembangan praktikal kami. Beberapa hari sebelum kami menghabiskan praktikal di tempat itu, kami sempat bersama Encik Amiruddin berbual di luar kotak perbincangan yang selalu kami bawakan. Penyelia kami itu bercerita mengenai keluarganya. “ Kalau kamu nak tau, nama anak lelaki saya serupa dengan nama kamu”. Di akhir perbualan barulah kami dapat membuat satu pertalian yang terjadi secara kebetulan. Nama anak Encik Amiruddin serupa dengan nama aku. Manakala nama bapa Azrul adalah Amiruddin. Adakah masih kebetulan?

KEEMPAT : Dua tahun yang lepas, aku dan kawanku bergerak ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan rakan sepengajian. Dalam perjalanan kami kesana, aku mendapat SMS daripada kawan lama. Kandungan SMS itu adalah “Happy Birthday!!!! Jgn lupe wish kt aku blik…ari jadi kita sama ari nie..huhuhu”. Kebetulan hari jadi aku dan kawan lamaku itu jatuh pada tarikh yang sama. Setibanya di Pulau Pinang, kami bertemu seorang rakan bersama anaknya di sebuah kedai makan.Antara ayat yang keluar dari mulut kawan aku itu adalah ”Aku tak boleh lama ni, jumpa korang sekejap je.Nak kena balik kampung sebab nak sambut birthday anak aku ni petang ni”. Setibanya di sebuah kompleks membeli-belah, kami bertemu lebih ramai rakan-rakan . Tiba-tiba kami terserempak dengan seorang rakan sekuliah bersama suaminya yang awal-awal lagi mengesahkan tidak dapat hadir dalam reunion ringkas kami. Tapi dia sempat meminta maaf.”Sorilah geng. Aku tak dapat join. Aku nak sambut birthday suami aku kat rumah mak mertua.Aku datang sini pun sebab nak ambik kek”. Dihujung pertemuan, dapat aku simpulkan bahawa hari jadi aku jatuh pada tarikh yang sama dengan tarikh hari jadi beberapa orang yang aku jumpa secara tak sengaja. Adakah ini masih kebetulan?

KELIMA : Suatu masa dahulu, ketika friendster menjadi laman sosial yang paling popular sebelum kemunculan facebook, aku berkira-kira untuk mengemaskini maklumat didalam akaun friendsterku. Antara perkara yang ingin aku edit ialah ‘favourite tv show’. Aku ingin melengkapkan maklumat dengan “Oggy and the Cockroaches” sebagai salah satu rancangan tv kegemaran. Tetapi aku tidak pasti ejaan yang tepat untuk perkataan “Cockroach”. Lalu aku membuka enjin pencarian Yahoo! untuk mencari perkataan itu. Sekonyong-konyong, perkataan pertama yang keluar di paparan enjin pencarian Yahoo! itu adalah “Cockroach”! Adakah ini masih lagi kebetulan?

Kebetulan merupakan satu anugerah tuhan untuk manusia yang jarang sekali diperkatakan. Kebetulan adakalanya menguntungkan atau merugikan. Apapun kisah pengalaman kebetulan yang berlaku sudah pasti membuatkan kita tersenyum apabila memikirkannya.

TUJUH BENDA PALING KELAKAR

Tujuh benda paling kelakar merujuk kepada tujuh perkara, manusia, bahan bacaan mahupun program televisyen yang telah dipilih dan dianggap paling kelakar oleh penulis. Mungkin sesetengah orang mempunyai pendapat sendiri, tetapi kehadiran 7 benda ni sudah cukup untuk membuatkan penulis gelak besar kerana ketawa penawar duka.


DIN BERAMBOI - Beliau merupakan pelawak tempatan yang paling kelakar pernah wujud di muka bumi. Selamba dan spontan merupakan bakat luar biasa yang paling jelas dari Din Beramboi.Walaupun tidak pernah muncul sebagai watak utama dalam sesebuah filem atau drama, namun kelibat Mior Ahmad Fuad dalam pelbagai program seperti Spontan, AHHA, Mandi dan rancangannya sendiri iaitu Wuhai Beramboi cukup membuatkan ramai peminat tak kering gusi.Beliau melebarkan sayapnya lagi sebagai penyampai Radio berkolaborasi bersama Aznil Hj Nawawi menceriakan pendengar menerusi segmen Drama Sebabak dan Sawancara sepanjang Riuh Pagi Era.Pastinya pemergian beliau meninggalkan kesan dalam industri seni tanah air disaat namanya sedang memuncak.

SHIN CHAN – Crayon Shin Chan merupakan komik jepun yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia. Secara jujur, komik inilah yang membuatkan penulis gelak besar sepanjang membaca komik ini. Dengan karikatur yang simple, hitam putih (kadang-kadang dengan beberapa mukasurat bewarna), berharga RM4.90 dan watak-watak yang berkisar di sekitar rumah, kejiranan dan tadika, sudah cukup untuk mencuit hati pembaca. Adakalanya kisah didalam komik Shin Chan berbaur lucah yang tidak keterlaluan dan mengandungi double meaning. Namun terbitan di Malaysia sudah pastinya melalui tapisan dan censored di bahagian-bahagian tertentu. Nohara Shinosuke mewakili segenap sisi kelucuan masyarakat negara matahari terbit.

LAMBOK - Lambok merupakan salah satu dari kartunis yang sangat dikagumi kerana dapat menghasilkan karya begitu melucukan dan begitu dekat dengan masyarakat. Karyanya menerusi majalah APO? sangat bersahaja dan selalunya hanya berkisar tentang bapak dengan dua orang anak lelakinya, orang-orang tua di masjid ataupun di kedai kopi. Lambok juga selalu menghasilkan kisah seram (Bedtime Stories) dimana dihujung cerita berakhir dengan sesuatu yang mengejutkan. Ekspresi wajah watak –watak dalam karyanya sangat hidup walaupun hanyalah kartun.Dan karya Lambok menyelamatkan APO? kerana berjaya meyakinkan pembaca bahawa APO? adalah majalah lawak terbest antara benua.

AIRPLANE! - Airplane! merupakan filem Hollywood tahun 1980 (penulis pun belum lahir lagi) yang merupakan spoof kepada filem Zero Hour!. Filem ini boleh dikatakan filem spoof yang terawal dan mempunyai originality tersendiri. Lakonan yang serius tetapi lucu membuat manusia normal pasti ketawa terbahak-bahak. Filem ini juga dihasilkan oleh pengarah filem spoof seperti tetralogi Scary Movie dan Superhero Movie iaitu David Zucker. Ia mengisahkan sebuah kapal terbang yang mengalami masalah teknikal dan perlu membuat pendaratan yang cemas oleh penumpang kerana semua pilot mengalami keracunan makanan sebab makan ikan dalam pesawat!

SPONTAN - Spontan merupakan sebuah program TV yang hanya dapat ditonton oleh mereka yang melanggan Astro Mustika (Spontan menerusi Astro Warna). Pedulikan tentang keaslian program ini yang dikatakan dicedok dari program Actorlympic (NTV7), kerana Afdlin Shaukilah yang bertanggungjawab menghasilkan kedua-dua rancangan TV ini. Dengan memilih rat pack ‘mereka yang terhebat dalam arena lawak’, Afdlin Shauki+Zizan+Din Beramboi+Douglas Lim dan diserikan dengan The Mengandung Girl, Sharifah Shahirah selaku pengacara, program berbentuk game secara spontan ini mampu mebuatkan penonton tidak kering gusi. Ditambah lagi dengan kehadiran tetamu jemputan seperti Jalil Hamid, Nabil, Sathiya dan lain-lain lagi, Spontan memang lain daripada yang lain.

ZIZAN - Berbanding Nabil, saya memilih Zizan kerana dia mempunyai kelas yang tersendiri. Beliau merupakan salah seorang peserta Raja Lawak Musim pertama dan kini menerajui Gelanggang Raja Lawak bergandingan dengan Johan. Bakat lawaknya dapat dilihat menerusi Gelanggang Raja Lawak dan adakalanya (boleh dikatakan selalu) berjaya menenggelamkan lawak-lawak yang cuba disampaikan oleh peserta rancangan itu. Beliau juga adalah ‘ahli tetap’ program Spontan dan kelucuannya sama aras dengan pelawak senior seperti Afdlin Shauki dan Din Beramboi. Paling kelakar, apabila Zizan cuba mengajuk-ajuk gaya Aznil mengacarakan Akademi Fantasia

HAZRUL KHAMSANI - Dia bukanlah seorang selebriti mahupun seorang ahli politik. Tetapi dia adalah seorang kawan yang super kelakar yang penulis kenali semasa belajar di IPT. Shoutout ‘aku bukan pelacur’ dalam laman sosial facebook telah membuktikan kelucuan Hazrul Khamsani atau lebih dikenali dengan nama Tart. Tart sering menyajikan lawak jenaka yang segar dan menjadi pemangkin kepada perbualan kelakar dikalangan rakan-rakan. Dia juga sering menjadi Ahli Jawatankuasa Hiburan aktiviti camping lantaran bakatnya menghiburkan rakan-rakan dan hanya berhenti apabila tidur. Sesuatu yang tidak diketahui ramai, dia menggelarkan dirinya sebagai Diva Mesin Basuh kerana kegemarannya membasuh pakaian menggunakan mesin basuh. Tart memang kelakar!

KEMBARA KE BUMI INDIA

Monday, April 5, 2010


"Anda bukanlah seorang pengembara sekiranya belum menjejakkan kaki di benua kecil India"

~Pengembara terkenal Eropah~

********

Ketika kami berpakat untuk memilih Kolkata, India sebagai destinasi makan angin kami, ramai yang menasihati supaya berhati–hati dengan pengemis, penyeluk saku dan kualiti kebersihan makanan disana. Hati ini pula selalu dimomokkan dengan gambaran telus menerusi filem Slumdog Millionaire. Tetapi kami bulatkan hati memilih 4 hingga 8 Disember untuk makan angin ke Kolkata atau lebih dikenali dengan nama Calcutta memandangkan Disember hingga Januari merupakan masa terbaik untuk melancong ke kota ini.

Pengembaraan kami bermula dengan menaiki pesawat Airasia AK323 jam 2.30 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose jam 3.50 waktu Kolkata. Setibanya di sana, hari sudah pun gelap dan kami menaiki teksi kuning menuju Hotel Park Inn yang terletak di kawasan Park Circus. Sepanjang perjalanan ke hotel, kami disambut dengan bunyi hon kenderaan yang tiada hentinya dan kecekapan pemandu teksi mencelah-celah di dalam kesibukan trafik Kolkata. Apa yang kami kagumi adalah jalan yang dikhaskan untuk 3 lorong boleh menjadi kepada 6 lorong! Selepas mendaftar di hotel, kami berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel dan meluangkan masa menyaksikan suasana trafik yang penuh dengan kenderaan, bunyi bingit hon dan berbagai ragam manusia di sepanjang jalan.

Pada hari kedua kami memilih untuk menaiki autorickshaw beroda tiga yang boleh memuatkan kami berlima. Tambang kenderaan ini sangat murah dan perjalanannya terhad pada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Menaiki autorickshaw boleh disamakan dengan menaiki pemainan ekstrem di sesebuah taman tema…

Kami seterusnya berjalan kaki menuju ke Victoria Memorial yang terletak di Maidan. Sepanjang berjalan kaki ke tempat itu, kami banyak menyaksikan pelbagai telatah manusia.Gelandangan tidur berbungkuskan guni dan plastik sampah, mandi air kolam yang kotor, berkeluarga di ruang pejalan kaki dan macam-macam lagi. Dan setiap seminit kami berjalan, pasti ada saja yang kencing ditepi-tepi jalan.Permandangan yang cukup biasa di India.

Dari jauh kami sudah nampak Victorial Memorial yang merupakan tarikan pelancong yang paling penting di Kolkata. Bayaran yang dikenakan adalah Rp150 bersamaan dengan RM11.50. Victoria Memorial merupakan bangunan kolonial peninggalan British yang dibina pada tahun 1921. Bangunan putih ini tersergam indah. Umpama bangunan kerajaan di Putrajaya tetapi usia bangunan yang melebihi lebih seabad ini membuatkan bangunan ini lebih eksklusif. Victoria Memorial banyak mempamerkan lukisan cat minyak, potret, patung-patung dan barang-barang peribadi kerabat diraja England.

Kami meneruskan pengembaraan kami melawat Birla Planetarium, Gereja Saint Paul Dan Asia Art Centre. Seterusnya, kami memilih menggunakan perkhidmatan Metro iaitu transit aliran ringan bawah tanah yang menghubungkan tempat-tempat penting di Kolkata. Dari pandangan atas tanah, stesen ini lebih mirip kepada tandas awam, tetapi apabila kami turun ke bawah, baru kami tahu langit tinggi atau rendah. Betapa ramainya umat manusia dan banyak lorong-lorong bawah tanah untuk menyeberang jalan. Kami menuju ke Esplanade yang terletak di Chowringe dan bayaran yang dikenakan untuk melepasi 5 stesen hanyalah sekitar RM 0.40 sahaja. Benarlah gambaran visual dalam filem Bollywood, kesesakan dalam perkhidmatan awam bagaikan sudah sebati dalam hidup mereka. Ikan sardin dalam tin lebih selesa berbanding kami berhimpit-himpit diantara variasi rupa dan bau masyarakat Kolkata.


Setibanya di Esplanade, kami sekali lagi menyaksikan pemandangan bazaar yang seperti tiada penghujungnya. Dan sudah semestinya fabrik dan tekstil merupakan dagangan utama . Shawl dan pashmina yang merupakan aksesori wajib menjelang musim sejuk di India boleh didapati dimana-mana sekitar Chowringe. Kami menghabiskan masa sekitar 2 jam untuk membeli-belah. “Fixed price” dan “No bargain” merupakan frasa penting dalam urusniaga mereka. Sekiranya anda berkira-kira untuk mengunjungi tempat seperti ini, pastikan anda mempunyai kemahiran untuk mengelak ‘peraih jualan’ yang sentiasa mengikut anda untuk mempromosi kedai kepunyaan mereka dan jangan sesekali memberi sedekah kepada peminta sedekah yang bertaburan di Chowringe.

Lima minit berjalan kaki dari Chowringe, kami tiba di Masjid Tipu Sultan, yang merupakan antara masjid tertua di Kolkata. Sekitar masjid ini adalah bazaar milik komuniti muslim dan mengingatkan kami pada suasana sekitar Jalan Masjid India Kuala Lumpur yang sudah semestinya merupakan cebisan budaya komuniti muslim di India.Bau minyak atar, buku-buku agama dan kelengkapan-kelengkapan solat mewarnai atmosfera Masjid Tipu Sultan.

Hari ketiga kami mulakan dengan menaiki perkhidmatan trem yang merupakan satu-satunya perkhidmatan trem di India. Perjalanan henti-henti seputar 45minit dari Park Circus ke Howrah hanya mengenakan tambang 4Rupee. Bangunan rumah kedai yang kusam, gelagat beberapa orang yang mandi menggunakan air paip yang pecah dan bunyi hon kenderaan beserta lagu hindustan yang berpadu , menjadi santapan mata dan telinga kami pada pagi itu.

Jambatan Howrah yang merentasi Sungai Hoogly merupakan mercu terpenting Howrah sudah kelihatan dari jauh. Jambatan keluli ini dikatakan antara yang tersibuk di India dan kami mengambil kesempatan mengambil gambar berlatarbelakangkan Jambatan Howrah. Baru saja ‘sesi pemanasan badan’ untuk beraksi didepan kamera bermula, kami dimarahi pihak polis kerana tidak dibenarkan mengambil gambar di atas jambatan itu. Rasa kecewa menyelubungi diri kami kerana sudahlah jauh berjalan, tetapi kami dihalang untuk mengambil gambar. Namun, beberapa keping gambar yang sempat kami rakam membuktikan kami telah pun menjejakkan kaki di Howrah.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Nakhoda yang merupakan masjid yang terbesar di Kolkata.Masjid berkubah hijau berdinding merah ini dikatakan boleh memuatkan ribuan jemaah dalam satu-satu masa. Sekali lagi, suasana Jalan Masjid India Kuala Lumpur menerpa di fikiran kami. Kurta yang merupakan antara pakaian rasmi masyarakat india banyak dijual di bazaar ini. Kami menghabiskan masa membeli beberapa pasang kurta, kopiah dan sempat juga menikmati air kelapa yang dijual ditepi jalan.


Dari Masjid Nakhoda kami meneruskan pengembaraan ke Marble Palace yang merupakan tarikan pelancong disini. Marble Palace merupakan istana kolonial peninggalan British yang dibina daripada batu mar-mar.Rasa kecewa sekali lagi menyelubungi diri kami apabila kami dilarang untuk mengambil gambar di Marble Palace. Tapi kami memberanikan diri mengambil gambar sekeping dua secara curi-curi.

Kami seterusnya menuju ke Joransakur yang merupakan istana milik penyair terkenal India, Rabinranath Tagore. Istana bewarna merah ini menjadi pusat kebudayaan dan mempunyai tugu Rabinranath Tagore. Di istana inilah, kami bertemu dengan sebuah keluarga melayu dari Malaysia dan membuktikan bukan kami sahaja kumpulan melayu yang membuat kunjungan ke bumi Kolkata.

‘Acara penutup’ kami pada hari ketiga adalah membeli-belah di South City Mall yang terletak di bahagian selatan Kolkata. Kompleks ini serupa saja dengan kompleks-kompleks beli-belah di Malaysia, cuma yang membezakannya adalah kami perlu melalui pemeriksaan sebelum memasuki kompleks ini. Kami sempat mengunjungi butik-butik seperti Adidas, Levis, Converse dan lain-lain lagi. Harga barangan ini tidak jauh bezanya dengan harga di Malaysia. Sesuatu yang jelas yang dapat kami perhatikan di South City Mall adalah golongan yang bertaraf tinggi saja yang boleh ditemui didalam kompleks ini. Sudah pasti mereka yang bergelandangan ‘diharamkan’ memasuki premis ini.

Pengalaman hari keempat merupakan pengalaman yang agak menakutkan. Kami menuju ke sebuah kampung di Kalighat untuk melawat Kali Temple.Jalan menuju ke kawasan ini tidak bertar, tahi lembu bertaburan dan begitu ramai peminta sedekah di sekeliling kuil. Wajah pemandu teksi yang kami naiki pula agak bengis dan berkumis tebal, saling tak tumpah watak antagonis filem tamil.

Namun suasana yang agak asing itu diselamatkan oleh seorang penduduk yang secara sukarela menjadi guider sepanjang kami melawat kuil itu.

Meninggalkan Kali Temple yang bagi kami sangat jauh dan bukanlah tarikan utama Kolkata, kami sekali lagi bersesak-sesak menaiki Metro Train dari Kalighat ke Esplanade. Awal-awal lagi kami sudah merancang untuk melawat satu tempat sahaja dan masa selebihnya kami gunakan untuk menghabiskan setiap rupee di Chowringhe dan funfair di sekitar Park circus.

Hari terakhir kami dibumi India, kami berpakat untuk kembali ke Esplanade sebelum berkumpul di lapangan terbang jam 12 tengahari. Harga barangan tempatan yang murah begitu mengujakan kami untuk menang membeli. Berbondong-bondong barang kami punggah atas troli di lapangan terbang akhirnya.

Letih dan puas merupakan dua perkataan yang dapat mewakili perasaan kami setibanya di dalam perut AK324 Kolkata-Kuala Lumpur. Letih meladeni setiap hari di Kolkata, India menerusi konsep backpacking, tanpa guider, hanya berpandukan peta dan menggembleng setiap tenaga untuk beradaptasi dengan perkhidmatan awam tempatan yang bagi kami hanya boleh dibeli dengan pengalaman yang kami lalui.

Kepuasan yang tidak terhingga kami perolehi menerusi perjalanan mengikut rentak kami sendiri, trip yang bagi kami sangat bajet dan segalanya berjalan lancar sepertimana yang diharapkan.

Dan semestinya keinsafan yang zahir pada setiap sudut hati kami bagaikan bersetuju dengan pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’. Kembara ini menelusuri budaya yang berbeza dan sudah pasti pancaindera kami merasa keajaiban India seperti yang dicanangkan melalui moto pelancongan 'Incredible India', kami tetap merasakan "betapa bersyukur dan bertuahnya aku dilahirkan di Malaysia"!

Dari tingkap kapal terbang, kami melihat langit kemerahan dan kelompok awan-awan senja. Sejenak terlintas kata-kata ‘belajarlah kamu sampai ke negeri China’!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...