BIDADARI DUNIA TIRUAN

Tuesday, November 30, 2010

Negara Thailand memang terkenal dengan barangan tiruan yang hampir menyamai dengan jenama sebenar. Begitu juga wanita tiruan yang dikosmetik dari seorang lelaki tulen menerusi pembedahan plastik dan suntikan hormon wanita. Sekali pandang memang tak sangka mereka adalah lelaki. Filem kisah benar 'A Beautiful Boxer' adalah antara naskhah yang mengutarakan topik transeksual di negara gajah putih ini. Dan orang-orang siam begitu terbuka mengadakan pertandingan Ratu Cantik Pondan Antarabangsa saban tahun. Cuba buat perbandingan dengan selebriti wanita Malaysia. Tentu mereka gigit jari apabila melihat penampilan diri mereka yang kalah dengan seorang lelaki!









SISI LAIN KEGUNAAN KOMPUTER

Saturday, November 27, 2010

Komputer ialah sebarang peralatan, mesin atau alat yang digunakan untuk memproses maklumat, berpandukan kepada prosedur yang ditetapkan. Dan sudah pasti banyak kegunaan komputer yang telah diketahui umum termasuklah menaip dan memuatnaik gambar-gambar ini ke dalam blog. Tetapi apa kegunaan komputer jika sudah rosak dan tak boleh dipulihkan? Gambar-gambar dibawah membuktikan kreativiti manusia yang menampilkan sisi lain kegunaan sebuah komputer.

SEBAGAI HIASAN








SANGKAR HAMSTER


TEMPAT ABU ROKOK

MESIN KOPI
TEMPAT PEMANGGANG KEBAB

TAK BOLEH SIMPAN RAHSIA RAJA

Friday, November 26, 2010

Suatu ketika dahulu, ada seorang maharaja yang berkepala botak. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa raja itu tidak berambut kecuali maharani, anak-anaknya, dan Perdana Menteri. Raja itu mengenakan rambut palsu dan memakai topi kebesaran diraja. Baginda mengarahkan semua ahli keluarga dan Perdana Menteri menyimpan rahsianya itu. Rahsia baginda tertutup rapi.

Walaupun begitu maharaja ini merupakan seorang raja yang adil dan saksama. Baginda cukup handal di medan tempur dan sangat bijak dalam hal mengurus negeri jajahannya. Baginda juga menjadi kesayangan rakyat jelata. Namun, disebabkan baginda botak, baginda tidak yakin untuk berdepan dengan rakyat dengan penampilan sebegitu sedangkan dari segi yang lain baginda kelihatan hampir sempurna.


Pada setiap bulan, baginda akan memanggil seorang tukang gunting untuk berpura-pura menggunting rambutnya. Hal ini adalah untuk mengabui mata rakyat bahawa baginda mempunyai rambut dan memerlukan tukang rambut untuk menggunting rambut. Sudah bertahun-tahun tukang gunting itu berpura-pura melaksanakan tugasnya. Dia akan berada disebalik tabir bersama maharaja itu dan melakonkan aksi memotong rambut. Kemudian dia akan membawa rambut-rambut yang bertaburan di lantai yang pada hakikatnya adalah rambut pelanggannya yang lain yang dibawanya ke istana untuk dialirkan ke arus sungai sebagai tanda kemuliaan raja.

Maka fahamlah gundik-gundik istana, pembesar-pembesar istana dan rakyat jelata bahawa baginda sudahpun selesai memotong rambut. Tukang gunting itu juga faham akan tugasnya untuk merahsiakan apa yang berlaku setelah diberi ganjaran seunjut kecil duit emas. Tidak pernah sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut tukang gunting itu yang menyatakan raja itu botak. Isteri dan anak-anaknya juga tidak tahu hal sebenar lantaran janji yang sudah termeterai antara dia dan maharaja.

Suatu hari tukang gunting itu meninggal dunia. Dia pergi bersama rahsia diraja yang dibawa ke alam lain. Raja mula gusar. Baginda perlu mencari tukang gunting baru yang boleh menyimpan rahsianya. Akhirnya seorang pemuda dilantik menjadi tukang gunting diraja.

Ketika pertama kali pemuda itu menggunting rambut raja itu dia terkejut. Raja itu sebenarnya botak. Perdana Menteri mengarahkan dia menyimpan rahsia ataupun dia dikenakan hukuman penjara. “Anak muda, kau hanya perlu melakonkan aksi menggunting rambut raja sahaja. Kelak seunjut kecil emas ini akan menjadi milik kau jika kau berjanji menyimpan rahsia ini. Andai kata tidak dikota, nescaya akan ku humban kau ke dalam penjara”.

Pemuda itu menggangguk-ngangguk sambil menjalankan tugasnya. Dia terasa janggal melakukan perkara itu. Baginya rahsia itu terlalu besar untuk dibendung. Dia balik kerumah sambil melambung-lambung uncang emas itu. Otaknya masih memikirkan rahsia raja yang baru saja diketahuinya.

Pemuda itu tidak keruan. Dia bermulut tempayan. Dia mahu saja menceritakan pengalamannya itu pada kawan-kawannya. Setibanya di warung dia mula bercerita. Kawan-kawannya teruja mahu mendengar pengalaman hari pertamanya di istana. “Kalian tahu tak yang raja kita sebenarnya bbbb.......bbbbaik sangat....!” Dia lantas teringat kata-kata Perdana Menteri yang mahu menghumbannya ke dalam penjara andai dia ingkar janji. Dia terus meninggalkan kawan-kawannya yang masih terpinga-pinga dengan tindakannya.

Pemuda itu berjalan ke hulu ke hilir tanpa tujuan. Dia tidak boleh menyimpan rahsia walaupun sebesar zarah sekalipun. Lalu dia bertemu kekasihnya untuk berkongsi rahsia sulit maharaja. “Adinda, sebenarnya raja kita tu bbbbbb.......bbbijak sangat. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Perdana Menteri itu lagi. Dengan tak semena-mena dia terus meninggalkan kekasihnya yang terkebil-kebil menahan rasa.

Pemuda itu kemudiannya berlari ke hutan. Disana dia terjumpa sepohon pokok yang sangat besar di tengah-tengah padang. Diperdu pokok itu ada sebuah lubang. Dia pun dengan segera menjerit sekuat hati kedalam lubang itu. “Raja botak! Raja botak! Raja Botak!”. Dia berasa lega. Akhirnya dia dapat berkongsi rahsia dengan pokok itu.

Semenjak hari itu pemuda itu berasa tenang. Tiada orang lain yang tahu mengenai rahsia raja kecuali dia dan perdu pokok itu. Untuk bulan-bulan seterusnya, dia sudah terbiasa dengan tugasnya itu. Jika dia tak keruan, dia akan menjerit lagi di perdu pokok. Rahsia itu tetap kekal dalam dirinya dan perdu pokok itu.

Pada satu hari, sang maharaja mahu mengadakan satu upacara keraian sambutan ulang tahun kelahirannya. Dia mengarahkan pihak istana membuat sebuah gendang yang diperbuat daripada perdu pokok yang besar. Gendang itu akan dipalu sempena hari keputeraan baginda.

Hari yang dinantikan pun tiba. Seluruh rakyat jelata berkumpul di istana. Gendang itu diletakkan diatas pentas. Seorang lelaki kemudian memalu gendang itu. Namun gendang itu tidak berbunyi seperti biasa tetapi memekik dengan kuat “Raja botak! Raja botak! Raja botak!” Rupa-rupanya gendang itu diperbuat daripada perdu pokok tempat pemuda itu menjerit.

Raja terkejut. Begitu juga dengan rakyat jelata. Tukang gunting itulah yang paling tersentap apabila mendengar suaranya bergema dari paluan gendang itu. Paluan pun dihentikan. Raja kemudian bangun dari singgahsana. Baginda menanggalkan topi dan rambut palsunya. Rakyat jelata terlopong melihat raja mereka botak. Selama ini raja mereka berambut ikal dan sentiasa bertopi.

“Beta sebenarnya botak. Sudah lama beta tidak berambut. Beta menipu kalian semua kerana begitu malu “, titah baginda dengan nada yang sedih. Rakyat tiba-tiba menyampuk. “Tidak mengapa tuanku. Kami rakyat jelata tidak ralat tuanku berkepala botak. Yang paling penting adalah cara pemerintahan tuanku selama ini yang adil dan saksama. Tiada manusia didunia ini yang sempurna, tuanku”. Berpuluh-puluh suara yang lain menyokong pendapat itu. Bagi mereka biarlah penampilan raja tidak sempurna, asalkan menang dihati rakyat.

Raja terharu mendengar pendapat rakyat. Tukang rambut itu tersenyum kerana rahsia itu tidak perlu disimpan lagi.



Moral & Pengajaran : Anda boleh senaraikan sendiri.

IBULAH SYURGA

Thursday, November 25, 2010

Beberapa tahun yang lalu, suasana kemeriahan menjelang hari raya jelas kelihatan di setiap rumah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan. Rasidi sibuk menganyam daun ketupat, mengisinya dengan beras dan memasaknya sebagai juadah menyambut Aidilfitri. Dia belajar menganyam ketupat dari atuknya, Atan. Dia sangat rajin dan seorang yang ceria. Dia juga sangat rapat dengan adik-adiknya yang juga membantunya di dapur. Zaharah tersenyum melihat gelagat anak-anaknya.

Rasidi baik orangnya. Dia dahulu bersekolah di sekolah agama. Dia mendapat SPM pangkat 1 dengan 16 agregat. Lantaran itu dia ditawarkan melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor. Tetapi disebabkan kesempitan hidup, dia terpaksa berkorban dengan berhenti belajar dan bekerja di sebuah bank bagi membantu menampung pelajaran adik-adiknya yang masih bersekolah.

Suatu hari Rasidi putus tunang dengan tunangannya. Sudah jatuh ditimpa tangga, Rasidi diberhentikan kerja. Dia sangat tertekan. Mujur ada Zaharah yang selalu menenangkannya.

Suatu hari Zaharah mengajak Rasidi ke Port Dickson untuk melawat anaknya yang lain. Rasidi memandu kereta tetapi tersalah jalan. Dia marah-marah pada dirinya sendiri kerana tersesat dan terus menangis. Hari-hari seterusnya Rasidi sering dilihat tersenyum sendirian dan menangis tanpa sebab. Zaharah risau kerana sering melihat anaknya itu termenung dan selalu dalam keadaan susah hati.

Tanggal 5 Januari 2010, Rasidi terlihat satu arahan yang tertulis di dinding rumahnya. Tulisan itu mengandungi arahan yang menyuruhnya melakukan sesuatu. Rasidi kemudian seperti dirasuk dan hilang akal. Dia kemudian mengambil parang dan menghayun dan melibas parang itu pada tubuh ahli keluarganya. Kedua-dua belah tangan datuk dan neneknya dipakuk sehingga putus. Dia kemudian memenggal kepala bapanya. Dada adik perempuannya ditusuk dengan sebilah pisau. Darah terpercik didinding dan lantai rumah. Dia kemudian melarikan diri bersama kepala bapanya.

Keesokkan harinya, Rasidi ditahan di Stesen LRT Masjid Jamek Kuala Lumpur dan kepala bapanya ditemui tertanam di sebuah tapak perkuburan Islam di Shah Alam, Selangor.

Zaharah terkejut bukan kepalang. Suami, bapa, ibu dan anak perempuannya ditemui mati bergelimpangan di dalam rumahnya sendiri. Yang paling mengejutkan adalah keempat-empat ahli keluarganya itu mati ditangan anaknya sendiri, Rasidi.

Rasidi dibicarakan. Tetapi dengan tenang Rasidi mengaku dialah yang bertanggungjawab membunuh empat ahli keluarganya itu dengan kejam. Dan dia mendakwa mendapat arahan daripada tulisan di dinding. Meskipun kehilangan ahli keluarganya, Zaharah tetap mengikuti setiap perbicaraan ke atas Rasidi. Zaharah percaya anaknya itu tidak tergamak melakukan perbuatan itu dengan kerelaan hati.

Rasidi dibawa pihak polis ke penjara. Zaharah berlari-lari anak mendapatkan anaknya yang dibawa kedalam kereta. Dia kemudian mengusap-ngusap wajah Rasidi dengan penuh kasih sayang.

Walaubagaimanapun, pada 7 September 2010, mahkamah kemudiannya membebas dan melepaskan Rasidi daripada semua tuduhan membunuh empat ahli keluarganya atas alasan dia tidak siuman. Pakar Psikiatri Hospital Permai, Johor mendapati Rasidi disahkan menghidap penyakit skizofrenia paranoid dengan gangguan halusinasi, ilusi, paranoid dan kepercayaan palsu. Rasidi akhirnya terlepas hukuman gantung dan diperintahkan ditahan di Penjara Kajang, Selangor sehingga mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Zaharah bersyukur. Dia tahu Rasidi tidak bersalah. Didakapnya anaknya itu dengan erat. Rasidi hanyalah seorang pesakit mental. Tetapi Zaharah masih sukar mempercayai bahawa anaknya itu mengalami masalah mental memandangkan sebelum ini Rasidi kelihatan normal seperti anak-anaknya yang lain. Namun kasih sayangnya tidak pernah kurang sedikit pun. Biar nyawa insan kesayangannya direntap anak kandungnya sendiri, Rasidi masih anaknya yang pernah dikandungnya sembilan bulan dan ditatang bagai minyak yang penuh.

Begitulah bukti betapa kasih ibu membawa ke syurga.

Nota : Kisah benar ini ditulis semula dari rencana 'Rasidi berkorban untuk keluarga' menerusi akhbar Kosmo! 24 November 2010.

AKSI KAYAK DOKTOR GIGI

Tuesday, November 23, 2010

Dr. Richard Kraft merupakan seorang doktor gigi tempatan yang bertugas di Sitka, Alaska. Hobinya adalah berkayak dilaluan ke Teluk Katlian dipenghujung jalan Pekan Sitka.

Suatu hari sekeping gambar Dr. Kraft sedang berkayak telah berjaya dirakam. Gambar itu sungguh memeranjatkan. Dr. Kraft kemudiannya menjelaskan apa yang terjadi.

“Ya, memang saya dalam gambar itu. Dan ya! Ianya adalah seekor paus yang berenang dari terminal feri”.

“Kayuh selaju mungkin. Itulah yang saya fikirkan ketika itu. Saya juga berfikir supaya tidak kelihatan seperti ikan kecil (herring), tidak berbau seperti ikan kecil itu dan sama seperti perasaan ikan kecil itu bahawa "sila keluar dari mulut yang besar itu!”.

Gambar itu telah dirakamkan ketika seekor paus mengangakan mulut untuk menelan ikan herring (ikan kecil yang muncul dipermukaan air disekeliling kayak). Kayak Dr. Kraft melintas ditengah ngangaan mulut paus itu.

Sememangnya rutin Dr. Kraft adalah memeriksa gigi pesakit, begitu juga gigi si paus! Dia masih hidup tanpa sebarang kecederaan untuk menceritakan pengalaman menariknya.

MENDUGA ARUS SUNGAI PERAK

Sunday, November 21, 2010

Artikel Menduga Arus Sungai Kampar dalam pojok Rekreasi muka surat 8, sisipan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November 2010 mendorong aku untuk menulis mengenai pengalaman aku berakit di Sungai Perak kira-kira dua tahun yang lalu. Pengalaman ini mungkin berbeza tetapi ada sedikit persamaan apabila kami dibawa terapung-apung oleh arus sungai di negeri Perak.

Aktiviti ini dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Zon Utara yang diwakili oleh JAS negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Bertempat di Nur Lembah Lenggong, Perak seramai kira-kira 100 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi mendaftar diri untuk program selama 3 hari 2 malam itu.

Aktiviti yang dinanti-nantikan sudah semestinya aktiviti berakit. Kami dibawa menaiki bas ke sebuah kampung yang terletak agak jauh dari kem. Kelengkapan berakit diangkut menggunakan lori. Taklimat diberikan pada pagi itu oleh ketua program. Kami diberi penerangan mengenai langkah keselamatan dan cara-cara memasang rakit dengan betul. Setiap rakit hanya dibenarkan dinaiki seramai 10 orang sahaja. Jaket keselamatan diagih-agihkan.

Rakit yang dibekalkan terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama diperbuat daripada buluh asli manakala jenis yang kedua adalah batang PVC yang telah dicantumkan. Kumpulan kami berjaya mendapatkan rakit jenis PVC memandangkan ianya lebih teguh pada pendapat kami. Kami hanya perlu menyambungkan pelampung dengan batang PVC dengan tali rafia.

Sebelum kami turun ke sungai, setiap seorang diarahkan untuk ‘terjun’ ke dalam sebuah kolam yang berlumpur sebagai sesi ‘water confident’. Tidak mengapa. Basah dan busuk bau lumpur akan dibasuh dengan kesegaran air hulu Sungai Perak. Itu cadangan kami nanti.

Akhirnya rakit kami pun dilancarkan. Setiap rakit hanya dibekalkan dengan dua pendayung iaitu di depan dan di belakang. Aku mengemudi rakit di hadapan. Sungai Perak mengalir tenang. Airnya jernih tidak seperti air teh tarik di hilirnya. Rakit kami dibawa arus ke hilir dalam suasana santai.

Apabila ada rakit lain yang cuba mendahului kami, barulah kami terhegeh-hegeh mendayung beradu kelajuan dengan rakit tadi. Sesekali kami menyimbah ‘musuh’ dengan air. ‘Musuh’ menyerang balik! Maka terdengarlah letupan “Woi! Kamera aku basah nanti”. Dan perang pun tamat. Masing-masing menunjukkan isyarat tangan tanda bagus dan kami pun berdamai.

Ketua program sebelum itu ada memberitahu, kumpulan terakhir yang tiba akan dikenakan denda. Kami ketika itu ditempat ketiga dikalangan sepuluh rakit yang menduga arus sungai itu. Aktiviti ini bukanlah untuk berlumba. Tetapi apabila dicabar, tangan seperti hendak tanggal apabila disuruh mendayung sekuat mungkin oleh kawan-kawan yang lain.

Selepas beberapa ketika, kami mula berhadapan dengan arus yang agak deras. Dua pengayuh tidak mampu mengalihkan rakit ke air yang tenang. Lalu rakit kami merempuh batu dan jeritan perempuan membuatkan kami panik seketika. Dua rakan terhumban ke dalam sungai. Pekikan dan jeritan bergaung dalam lohong telinga.

Wei rileks ar. Dorang dah naik atas batu dah pun”. Masing-masing melepaskan nafas lega. Seorang wakil JAS yang berkayak tersenyum melihat gelagat kami terkial-kial membetulkan rakit. Sebahagian batang PVC pecah merempuh batu. Ikatan tali yang terurai kami ikat balik dengan tali yang kami bawa.

Kami lihat rakit buluh tiada masalah yang ketara. Rakit itu melepasi kami yang berhenti di ‘pit stop’ untuk membaiki kerosakan. Mereka melambaikan tangan sambil kesemuanya mengucapkan “Bye!”
Beberapa kali juga kami berdepan dengan jeram yang agak deras. Adakalanya rakit kami berpusing 360 darjah dek pusaran air. Adakalanya terjongket dihentam batu. Apapun itulah antara momen yang menyeronokkan apabila berakit.

Hari semakin panas tetapi kedinginan air Sungai Perak mengubati kami. Kami melalui pinggir kampung dan pinggir dusun milik orang kampung. Ada sekali kami melepasi jambatan dimana beberapa anak kecil melambai-lambai ke arah kami. Deruan air adalah santapan telinga kami dan juntaian pohon buluh ke dalam air adalah antara lanskap semulajadi sepanjang kami berakit di Sungai Perak.

Selepas hampir 3 jam, kami semakin menghampiri Kem Nur Lembah Lenggong. Sebuah bot menunda rakit kami ke sebuah pulau di tengah-tengah sungai itu. Kami diarahkan supaya mengangkat rakit ke atas dan membuka ikatan-ikatan pada rakit. Seterusnya kami membawa rakit itu melalui jambatan gantung untuk disimpan.

Orang kata berakit-rakit dahulu, berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Tetapi badan kami tidak ‘senang-senang’ apabila terpaksa ‘bersakit-sakit’ membawa batang PVC yang berat selepas tiga jam berakit di Sungai Perak. Apapun, pengalaman berakit ini tidaklah sehebat menyusuri sungai-sungai yang terkenal untuk aktiviti ‘water rafting’ seperti Sungai Sedim, Sungai Kiulu dan Sungai Padas. Namun untuk permulaan bagi sesiapa yang mahu mula berjinak-jinak, ianya pengalaman yang menyeronokkan.

MENYAMAR DENGAN ALAM

Thursday, November 18, 2010

Seorang ahli tentera di negara ini mengenakan baju celoreng warna hijau tua dan hitam dan menconteng mukanya dengan bahan 'camourflage' yang berwarna hitam. Sementara seorang askar warga Amerika Syarikat yang bertugas di Iraq memakai seragam berwarna perang hampir sama dengan warna tanah dan gurun disana. Mereka berpakaian sebegitu untuk 'memudahkan' pergerakan mereka tanpa dengan mudah dikesan musuh.

Tetapi terdapat beberapa serangga dan haiwan didunia ini dikurniakan tubuh hampir serupa dengan semulajadi. Tujuannya adalah untuk perlindungan, mengabui mata pemangsanya dan seterusnya terselamat dari menjadi mangsa pemangsanya. Cuba lihat gambar-gambar dibawah sama ada anda dapat menentukan yang mana haiwan, yang mana alam.





















LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...