TARIKH UNIK & ISTIMEWA

Wednesday, February 16, 2011

Apa ada pada tarikh? Tarikh merupakan pelengkap kepada catatan sejarah, serta menjadi permulaan dan pengakhiran kepada banyak perkara yang berlaku di muka bumi. Tarikh lahir umpamanya merupakan sebahagian daripada nombor identiti kepada setiap warga Malaysia. Perjalanan hidup semestinya berjalan mengikut tarikh seperti mana akhbar harian yang memberikan berita dan juga catatan diari. Uniknya, ramai orang di luar sana yang agak tertarik dengan tarikh yang agak unik.

Tarikh yang unik menjadi rebutan kepada pasangan kekasih untuk melangsungkan perkahwinan. Contohnya, pada 10 Oktober 2010 (10.10.10) yang lepas, beratus-ratus pasangan di negara ini disatukan. Angkasawan Negara, Datuk Sheikh Muzaffar juga melangsungkan perkahwinan pada tarikh unik ini. Tarikh yang turut menjadi rebutan bagi tempoh yang lepas termasuklah 09.09.09, 08.08.08, 07.07.07 dan tarikh-tarikh selainnya yang dianggap unik. Dijangkakan, pada tahun ini, tarikh 11.11.11 (11 November 2011) menjadi rebutan bagi ramai pasangan melangsungkan perkahwinan.

Bukan sahaja tarikh bagi melangsungkan perkahwinan, tarikh yang dianggap bertuah juga dipilih untuk melancarkan atau merasmikan sesuatu acara mahupun program. Misalnya, tarikh 7 Julai 2007 (07.07.07) dipilih sebagai tarikh bagi mengumumkan 7 keajaiban dunia yang baru di Lisbon, Portugal. Tarikh 8 Ogos 2008 (08.08.08) pula adalah tarikh perasmian Sukan Olimpik di Beijing yang dilancarkan secara rasmi tepat jam 08:08:08 pm CST. Malah Melaka Bandaraya Bersejarah dimasyhurkan sebagai Melaka Maju pada jam 20:10 malam pada tarikh 20.10.2010.

Tarikh 7 Ogos 2009 (07.08.09) pula agak istimewa. Mengapa? Kerana pada jam 12:34 saat ke 56, pada tarikh tersebut, secara teknikalnya, ianya tertera seperti berikut; 12:34:56.07.08.09. Seolah-olah turutan nombor yang sempurna, 123456789.

Pada tahun ini, iaitu tahun 2011, terdapat 4 tarikh yang agak unik iaitu 1.1.11, 11.1.11, 1.11.11 dan 11.11.11. Penulisan tarikh secara ringkas, menunjukkan tarikh-tarikh ini hanya menggunakan angka 1. Jika dua digit terakhir tarikh kelahiran anda (contoh bagi tahun 1973 adalah 73) dicampur dengan usia anda pada tahun ini, hasilnya adalah 111. Aneh bukan?

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...