Tuesday, February 8, 2011

TRAVELOG SABAH - Bahagian I

Tidak sampai 3 bulan, aku kembali ke bumi Sabah. Jika sebelum ini aku dengan misi menawan Gunung Kinabalu, tapi kali ini adalah sebagai seorang pengembara bersama seorang rakan untuk mengunjungi beberapa destinasi menarik di bumi dibawah bayu. Pekan Kundasang yang terletak kira-kira 6 kilometer dari Taman Kinabalu tidak sempat aku jengah November tahun lalu memandangkan masa yang terlalu terhad.

Justeru, Kundasang menjadi destinasi utama pelancongan kami kali ini selain Ranau yang menjanjikan pengalaman yang menarik untuk dicatat di dalam travelog ini. Turut tersenarai adalah pulau-pulau di Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu.

Kami tiba di Kota Kinabalu, Sabah pada hari Isnin, 31 Januari 2011. Selepas bersarapan, kami menuju ke pusat hentian van berhampiran dengan Padang Merdeka. Banyak van di kawasan itu yang menuju ke pelbagai destinasi di seluruh Sabah. Kami kemudian menaiki sebuah van menuju ke Kundasang. Setiap seorang hanya membayar RM15 dan van hanya akan bergerak jika setiap tempat duduk di dalam van telah dipenuhi dengan penumpang.

Selepas hampir setengah jam menanti, pada jam 10.30 pagi, van mula bergerak. Perjalanan kami baik-baik saja melepasi tempat demi tempat antaranya termasuklah kompleks 1 Borneo, pekan Tamparuli, pekan Nabalu dan pekan Bundu Tuhan. Jalan berbelok-belok dan van kami tidak pernah berhenti mendaki. Aku semakin teruja untuk menyaksikan Gunung Kinabalu yang telah aku jejaki November lalu.

Namun, kabus terlalu tebal. Suhu dingin mula dirasai dan van kami tidak sesekali memasang penghawa dingin memandangkan suhu di luar sudah cukup membuatkan kami berasa selesa di dalam van. Selepas melepasi pekan Bundu Tuhan, hujan mulai turun. Kabus mengehad penglihatan kami. Kami langsung tidak dapat melihat puncak Gunung Kinabalu. Seterusnya van melepasi pintu masuk ke Taman Kinabalu dan akhirnya kami tiba di pekan Kundasang.

Di pekan itulah kami membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Ranau memandangkan hujan turun dengan cukup lebat dan keadaan Kundasang yang agak lecak dek pembinaan jalanraya. “Kalau turun di Ranau lagik bagus bah. Sana banyak hotel murah”, kata pemandu van kepada kami.

Selepas hampir 2 jam setengah perjalanan dari ibu negeri Sabah, kami akhirnya tiba di Ranau. Hujan masih turun mencurah-curah. Kami kemudian menuju ke hotel berdekatan dan terus mendaftar. Di Penginapan Sugut Jaya, kami memilih untuk menginap di sebuah bilik yang berharga RM35 semalam. Bilik itu lengkap dengan katil, kipas dan juga televisyen. Manakala tandas dan bilik mandi terletak di luar. Terdapat juga dapur yang membolehkan penghuni masak jika mahu. Cara penginapan disitu saling tak tumpah seperti lojing Cikgu Shaari dalam filem Masam-Masam Manis.

Hujan turun tidak berhenti. Kami memutuskan untuk berjalan-jalan di sekitar pekan Ranau sehingga lewat petang. Apa yang kami kagumi adalah keramahan setiap penduduk di sini. Dan kami juga terfikir-fikir adakah suhu yang sejuk di bumi Ranau menyebabkan gadis-gadis Ranau kebanyakannya cantik-cantik belaka. Terlalu banyak imej ‘Adira AF’ yang kami temui di premis-premis kedai pekan Ranau.

“Nak dekat raya cina, mimang selalu hujan jak bah”, begitulah kata-kata yang keluar dari mulut seorang gadis cantik di sebuah kedai majalah apabila ditanya mengenai cuaca semasa.

Hari kedua merupakan hari permulaan bagi kami untuk berjalan-jalan di Sabah. Cuaca cukup baik sambil kabus silih berganti bertandang dan menghilang di puncak Kinabalu yang jelas kelihatan dari pekan Ranau.

Selepas menikmati sarapan, kami menaiki kereta sewa yang sudah kami tempah sejak semalam. Kereta Proton Iswara berplat pangkal huruf S itu kami sewa selama 12 jam dari jam 7 pagi ke jam 7 malam dengan harga RM100.

Kami memulakan pagi itu dengan berkunjung ke Taman Kinabalu yang terletak kira-kira 20 km dari pekan Ranau. Ini adalah kunjungan kedua aku ke tempat ini. Perjalanan kami berjalan lancar dan kami dibenarkan masuk ke Taman Kinabalu tanpa membayar tiket berharga RM3 setiap seorang.

“Aku rasa dia ingat ko polis Sandakan la. Sebab tu dia pagi kita masuk free”, seloroh aku dengan Rodhi sejurus kereta sewa itu mula masuk ke jalan ke Pintu Timpohon.

Setibanya di Pintu Timpohon, suasana cukup meriah. Ada sekumpulan pendaki seramai kira-kira 50 orang dari Politeknik Sandakan bersiap-siap untuk memulakan pendakian pada pagi itu. Dalam banyak-banyak manusia itu, aku ternampak kelibat seorang yang aku kenali.

“Abang Joe, kan? Abang Joe ingat saya? Saya daki Kinabalu bulan 11 lepas, Abang Joe yang jadi guide saya”, tanya aku sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Oooh. Patutlah aku macam pernah nampak sajak muka kau. Tapi aku ingat-ingat lupak. Terlalu banyak yang aku bawak daki gunung ni”, jawab Abang Joe. Seketika kemudian dia bergegas membawa dua pelancong asing memulakan pendakian. Sungguh tidak aku sangka, aku berjumpa kembali dengan malim gunung yang pernah membawa aku ke puncak Gunung Kinabalu bersama 9 kawan yang lain suatu ketika dahulu.

Selepas puas bergambar, kami meninggalkan tempat itu. Kami kemudiannya menuju ke pejabat Taman Kinabalu. Alang-alang sampai di sana, rakan sepengembaraan aku, Rodhi mengambil kesempatan untuk bertanya mengenai pakej mendaki gunung memandangkan dia memasang impian untuk mendaki Gunung Kinabalu bersama kawan-kawan yang lain sekitar Julai nanti.

Kami seterusnya menuju ke satu lokasi berhampiran pekan Bundu Tuhan. Kawasan ini merupakan kawasan yang paling tepat untuk bergambar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dan terletak di tepi jalan. Lanskap disitu sangat menarik kerana terdapat pohon bunga-bunga tasbih merah dan juga bangku kecil yang disediakan untuk para pengunjung merakam kenangan.

Destinasi seterusnya adalah Mesilau. Kami melalui jalan kecil menuju ke kampung-kampung yang terdapat di belakang pekan Kundasang. Setelah melewati rumah-rumah dilereng-lereng bukit, ladang sayur-sayuran, padang golf dan melintasi beberapa batang sungai yang jernih airnya, kami tiba di Mesilau. Suasana cukup hening. Hanya kami sahaja yang berada disitu. Deruan jeram yang sangat cantik memanggil kami untuk bergambar. Kami masih lagi kedinginan dalam cuaca yang redup sambil angin bertiup lembut menerpa tubuh kami.

Lebih kurang 10 minit kemudian, kami tiba di Desa Cattle Cow yang merupakan sebuah ladang ternakan lembu. Jalan masuk ke ladang ini tidak bertar, tetapi apabila kami terpandang beratus-ratus ekor lembu sedang meragut rumput segar dikawasan itu, kami langsung tidak menghiraukan tentang keadaan jalan. Untuk masuk ke ladang ini, kami perlu membayar RM3 setiap seorang. Kami mengambil kesempatan melawat kilang membungkus susu segar dan membeli susu segar terus dari ladang.

Pemandangan di ladang ini sungguh mengasyikkan. Ladang ini dikelilingi bukit-bukau dan gunung-ganang Banjaran Crocker yang nampak berbalam-balam dan diselubungi kabus putih di bahagian puncak.

Rumput segar yang kelihatan basah bersama dengan batu-batu besar semulajadi yang terdapat diladang itu menjadikan ladang itu tidak ubah seperti ladang lembu di negara empat musim. Yang paling menarik adalah pagar putih yang mengekalkan identiti tersendiri sesebuah ladang ternakan lembu.

Perjalanan kami diteruskan ke pekan Kundasang. Selepas makan tengahari, kami menuju ke Kundasang War Memorial yang terletak betul-betul di belakang bangunan premis kedai pekan itu. Kami hanya berjalan kami menuju ke situ. Bayaran yang dikenakan adalah RM2 setiap seorang.

Kundasang War Memorial sebenarnya lebih kepada taman bunga. Konsep taman ini bertingkat-tingkat dan sangat unik kerana kami perlu mendaki tangga-tangga yang kiri kanannya dihiasi dengan pelbagai spesis tumbuhan berbunga dan menghijau.


Terdapat sebuah pondok yang mempamerkan keratan-keratan akhbar, gambar-gambar dan juga serba sedikit sejarah mengenai tentera Australia yang pernah berkhidmat di Kundasang suatu masa dahulu. Terdapat juga sebuah galeri yang menayangkan video mengenai memorial ini dan juga sejarah serta cerita yang berkaitan dengannya.

Kundasang War Memorial terbahagi kepada beberapa aras dimana terdapat Australian Garden, English Garden, Borneo Garden dan sebuah kolam pancuran yang menempatkan plat-plat batu yang terukir nama-nama askar Australia yang terkorban ketika berkhidmat di Kundasang. Dan di aras paling atas adalah sebuah platform yang boleh menampakkan hampir keseluruhan kawasan penempatan di pekan Kundasang.

Dari Kundasang War Memorial, kami menuju ke pasar-pasar yang terdapat dipinggir jalan Kundasang. Walaupun setiap pondok yang terdapat disitu hanyalah pondok-pondok papan yang kecil, tetapi keutamaannya adalah pada produk yang dijual oleh setiap peniaga disitu. Namakan saja setiap sayuran. Pasti boleh ditemui disini. Begitu juga dengan buah-buahan tempatan dan juga bunga-bunga hidup yang berkembang mekar.

Keramahan setiap peniaga disitu menjadikan pasar Kundasang meriah dengan aksi peniaga meraih pelanggan, aksi tawar-menawar dan paling tidak pun adalah aksi pengunjung merasai sendiri kemanisan buah-buahan sebelum membelinya. Pasar Kundasang adalah tempat yang paling tepat untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar yang semestinya dari hasil pertanian masyarakat Kundasang.

Jam 4 petang kami mula bertolak ke Poring yang terletak kira-kira 18 km dari pekan Ranau. Sebelum itu kami berehat sebentar di bilik hostel hampir setengah jam untuk mengecaj bateri kamera dan merasai kesegaran susu lembu yang kami beli di ladang lembu tadi. Kami sebenarnya agak lewat tiba di Poring, tetapi kami tetap membayar tiket untuk melihat-lihat tarikan utama di Poring. Kami berkira-kira untuk mengunjungi semula Poring keesokan hari.

Sebelum meninggalkan Poring, Rodhi terlihat papan tanda bunga Rafflesia. Tanpa membuang masa kami terus ke sebuah kebun milik seorang penduduk tempatan yang terdapat sekuntum bunga Rafflesia yang sedang berkembang. Kami bernasib baik apabila dimaklumkan hari itu merupakan hari terakhir kuntum itu mekar sebelum ia menghitam dan gugur.

Selepas berbincang, kami hanya perlu membayar RM4 setiap seorang berbanding pengunjung lain yang perlu membayar RM10 untuk melihat bunga yang didakwa terbesar di dunia itu dengan lebih dekat lagi. Kami mendapat harga yang murah memandangkan kami adalah pengunjung terakhir pada hari terakhir sebelum pemilik kebun ‘tutup kedai’.

Hari semakin gelap. Kami berjalan di denai yang berlecak hampir 150 meter dari kereta kami. Kami ditemani Elvian, seorang budak dusun yang tidak berapa tahu mengenai ciri-ciri bunga Pakma itu melainkan fakta tempoh Rafflesia berkembang iaitu selama 6 ke 7 hari.

Aku kemudian bertanya pada Elvian. “Dusun ini bapak kamu yang punya?”. Elvian hanya mengangguk dan tersenyum sambil dalam hati aku berkata, “Alamak. Salah soalan. Dia budak Dusun. Aku pulak tanya pasal ‘dusun’ bapak dia”.


Apabila tiba di hadapan bunga itu, aku agak kecewa. Kami dipisahkan dengan pagar. Aku kecewa kerana aku tidak boleh berada betul-betul dihadapan Rafflesia. Tujuan sebenar pagar itu adalah untuk memelihara bunga itu daripada diusik dan dirosakkan oleh pengunjung. Namun kami tetap berpuas hati dan mengambil peluang untuk bergambar sepuas-puasnya bersama bunga yang sukar untuk ditemui itu. Kalau orang asing bersungguh-sungguh datang untuk melihat bunga itu dengan mata kepala sendiri, mengapa aku tidak.

Hari sudah pun gelap ketika kami meninggalkan Poring. Dalam perjalanan pulang ke hostel, aku merancang aktiviti seterusnya di Ranau sehinggalah aktiviti ke Kota Kinabalu untuk hari yang seterusnya nanti. Perjalanan kami belum berakhir lagi.

6 comments:

  1. thanks for ur info..actually sy nak sgt menaiki gunung kinabalu..bole bagi info penginapan dan pengangkotan ke sana? zuzan_kev86@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. sama2...awak boleh baca blog saya..entry ni ade sambungan..ade panduan kat situ..utk daki kinabalu blog baca entry gng kinabalu..tq...

    ReplyDelete
  3. Salam...Tuan Boleh saya dapatkan info n no telefon driver tuan... terima kasih

    ReplyDelete
  4. driver kat sabah ke..?..mane ade driver..saya pakai van awam n sewa keta kat sane....

    ReplyDelete
  5. BOLEH BG NAMA PENUH TAK PENGINAPAN YG RM 35 TU ...SAYA CUBA CARI NAMA SUGUT JAYA TAPI TK DPT PUN 10Q

    ReplyDelete
  6. nama penuh Penginapan Sugut Jaya...tp mmg bilik biasa yg sangat simple....sy cdgkan utk perempuan dptkan hotel bajet yg lain....

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...