Kecantikan itu adalah subjektif kerana setiap manusia mempunyai definisi sendiri mengenai kecantikan. Adakalanya kita berasa seseorang itu cantik, tetapi tidak bagi sesetengah orang yang lain. Pertandingan Ratu Cantik Dunia misalnya, pernah dijadikan polemik oleh peminatnya apabila penonton tidak bersetuju dengan keputusan para juri, sekali gus membuktikan perbezaan setiap orang melihat dan menilai kecantikan.
Berbeza dengan beberapa puak di seluruh dunia, mereka mempunyai cara tersendiri untuk kelihatan cantik. Mereka menterjemah maksud perkataan cantik dengan cara yang menyakitkan, perlu menanggung seumur hidup dan lain daripada yang lain. Sememangnya, cantik itu subjektif!
TELINGA PANJANG ORANG ULU
Tradisi telinga panjang merupakan tradisi turun temurun yang diamalkan oleh kebanyakan Orang Ulu dan menjadi satu identiti penting bagi kaum Kayan, Kenyah dan Kelabit di Sarawak. Telinga dilubangkan dan digantung dengan sejenis perhiasan yang diperbuat daripada tembaga yang dipanggil 'Esang'. Mereka beranggapan, semakin panjang cuping telinga, semakin terserlah aura kecantikan mereka.
IKATAN KAKI CINA KUNO
Tradisi ini sebenar sudah diharamkan di negeri China sejak tahun 1911. Walaubagaimanapun, masih terdapat saki-baki wanita warga emas yang mempunyai kaki yang kecil kerana mengamalkan tradisi mengikat kaki sejak seusia empat tahun lagi. Bagi mereka, kaki yang kecil merupakan kaki tercantik dan bukan mudah untuk seseorang itu memiliki kaki sebegitu kerana mereka perlu menjalani proses yang amat menyakitkan dan perlu menerima hakikat bahawa kaki mereka akan mengalami kecacatan kekal. Dikatakan, tradisi ini berlangsung selama lebih 1000 tahun dan dianggarkan seramai 1 juta wanita cina kuno pernah melakukan tradisi mengikat kaki ini.
LEHER PANJANG PUAK PADAUNG
Kaum wanita puak Padaung dari kaum Karen di Myanmar mempunyai cara tersendiri untuk kelihatan cantik. Mereka meletakan lingkaran logam pada leher mereka supaya leher mereka kelihatan tinggi. Ada dikalangan wanita ini yang telah memasang lingkaran logam ini sejak usia 5 tahun dan ada juga wanita dewasa yang telah memasang lingkaran logam seberat 22 kilogram. Pemasangan lingkaran ini dilakukan sedikit demi sedikit mengikut umur dan kesesuaian. Sebenarnya leher wanita-wanita ini tidak memanjang, sebaliknya lingkaran logam itu memberi tekanan pada tulang klavikel mereka dan membuatkan bahu mereka jatuh ke bawah dan menampakkan ilusi leher mereka kelihatan panjang.
LUBANG DAN CEPER BIBIR PUAK MURSI
Kerana ingin kelihatan cantik, kaum wanita puak Mursi di Ethiopia memotong bibir mereka untuk membuat lubang dan meletakkan sekeping kayu atau tanah liat berbentuk bulatan. Puak yang banyak tinggal di sempadan negara Sudan ini mengamalkan tradisi ini supaya dapat memikat lelaki dan akan mendapat ganjaran atau hadiah yang besar sempena majlis perkahwinan mereka jika mereka melubangkan bibir. Walaupun tradisi ini kelihatan ngeri, namun ia masih diamalkan oleh kaum wanita puak Mursi sejak turun temurun.
MENYUMBAT LUBANG HIDUNG PUAK APATANI
Yang ini lain pula ceritanya. Kaum wanita puak Apatani di utara India menyumbat lubang hidung mereka dengan buluh yang dipotong mengikut saiz hidung mereka. Dikatakan tradisi ini bukanlah untuk kecantikan sebaliknya dilakukan untuk menampilkan imej jelik pada wajah mereka. Hal ini dilakukan demi untuk mengelakkan gadis-gadis puak itu diculik oleh suku Nishi. Keanehan dan kejelikan wajah mereka menyebab gadis-gadis ini terselamat daripada diculik dan diusik oleh suku Nishi. Apapun, tradisi ini sudah pun berakhir sejak tahun 1960 dan yang tinggal hanyalah wanita warga emas yang masih kekal dengan identiti tradisi yang aneh ini.
0 ulasan:
Post a Comment