ANEKDOT HAIWAN ZODIAK CINA

Sunday, April 18, 2010


Dalam astrologi Cina, zodiak dua belas bintang haiwan melambangkan dua belas jenis personaliti berbeza dan bergilir-gilir setiap 12 tahun. Dalam catatan ini pula, dua belas anekdot yang berbeza diceritakan menerusi dua belas bintang haiwan zodiak cina mengikut tertib turutannya.

TIKUS - Sebastian kucing belaan keluargaku. Namanya sempena watak dalam telenovela kegemaran ibuku iaitu Catalina & Sebastian. Sebastian seekor kucing yang gemuk dan malas. Badannya sering penjadi pengesat kaki aku dan adikku. Walaupun Sebastian pemalas, adakalanya ia sangat berguna. Kalau tangkap tikus mesti nak tunjuk bukti kehandalannya menangkap tikus pada kami dahulu. Tapi abah dah buang Sebastian sebab selalu berak dalam rumah.

LEMBU – Cikgu Fakhrul adalah cikgu paling garang di sekolah menengah aku. Walaupun garang dia tetap pandai buat kelakar. Dia juga suka mengkritik macam Adlin Aman Ramli. Apa yang tak kena pada pandangan matanya pasti menjadi kutukan. Suatu hari di dalam kelas cikgu Fakhrul membuka suara.”Cikgu pompuan kat sekolah ni kalau bab fesyen tak mau kalah. Kalau pakai gincu punyalah merah dah macam b*nt*t lembu!”

HARIMAU – Sejam mendaki puncak air terjun didalam hutan tebal, kami berehat seketika. Walaupun masing-masing terlihat beberapa ketul najis haiwan disitu, kami hanya berdiam diri. Tetapi kawan kami yang berbangsa india iaitu Meyyapa terus menyapa.”Eeeee..taik harimau kumbang”. Lalu kami beredar secepat mungkin dari situ meninggalkannya terpinga-pinga.

ARNAB – Semua sepakat untuk berkumpul di rumah abang ipar si Yan sebelum bergerak ke Port Dickson. Kami dijamu makan tengahari pada hari itu. Sedang enak menjamu selera, abang ipar Yan ada bertanya. “Korang tau tak gulai apa yang korang makan ni? Nilah ayam Sepanyol”. Pada fahaman aku tentulah ayam turki. Semasa membasuh pinggan barulah Yan bagitahu. “Yang korang makan tadi tu daging arnab”. Itulah pertama dan terakhir aku makan arnab.

NAGA – Beberapa minggu selepas Tahun Baru Cina mesti ada tarian naga dan tarian singa di pekan. Aku dan adik aku mesti ambil kesempatan pergi ke pekan untuk melihat sendiri tarian masyarakat tiong hua ni. Balik dari pekan, sudah pasti kami mencari kain cadar emak dan menarikan tarian naga dan singa versi kami di ruang tamu. Tarian tu pulak pasti tak sah kalau takde bunyi gendang cina dari mulut kami.

ULAR – Aku terjaga untuk bersahur pada pagi itu disebabkan bunyi tembakan. Apabila aku sampai di pintu dapur, aku lihat abah dan pak Majid baru saja melepaskan tembakan pada seekor ular sawa. Ular sawa itu baru saja menelan beberapa ekor ayam peliharaan abah. Sahur itu kami hanya makan maggi sebab mak pun sibuk nak tengok bangkai ular sawa sebesar pahanya itu.

KUDA - Aku mendapat tawaran kerja di sebuah negeri yang agak jauh dari negeri asalku. Ini bermakna aku terpaksa berhijrah ke negeri itu demi kerjaya baru. Sehari sebelum aku bertolak, abah sempat menghadiahkan aku dua benda. Pertama adalah sebuah diari dan kedua adalah kalendar kuda. Kalendar itulah yang aku pangkah setiap pagi menghitung hari pulang ke kampung untuk bertemu abah, mak, adik-beradik dan kawan-kawan.

KAMBING - Aku pernah berkhemah di Taman Negara Pulau Pinang bersama kawan-kawanku. Seperti biasa kami membawa makanan dalam tin, maggi, roti dan lain-lain lagi. Malam terakhir disana kami sebulat suara menghabiskan semua bekalan makanan yang dibawa. Semua bekalan makanan dibawa keluar kecuali beberapa bungkus maggi untuk sarapan pagi. Habis saja masak terus kami makan. Tapi yang kelakar kari kambing dalam tin menjadi punca pergaduhan antara kami sebab masing-masing merebut kari kambing yang terhad. Tapi taklah sampai bertumbuk tarik rambut.

MONYET – Gadis bernama klasik itu sangat aku suka. Cinta monyet itu semasa aku di tingkatan dua. Aku selitkan nota ringkas di mejanya. “Kalau nak kenal saya yang mana satu, esok saya letak pen kat kocek baju saya. Carilah saya waktu rehat esok….Yang Benar…A”. Keesokannya, pada waktu rehat di kantin, berbelas-belas kawan aku meletakkan pen di kocek mereka. Yang letak pen marker pun ada. Kantoi aku!

AYAM – Aku dan tiga orang kawan pergi ke Chow Kit untuk melihat-lihat barangan bundle disana. Selain barangan bundle kami bertemu dengan seorang bapak ayam yang menawarkan pada kami ayam-ayam pada harga yang cukup murah.”Bukak api..bukak api..mau ka…?..Dari Sabah maaa….” Iman yang tebal mendorong kami berlalu dari situ. Hehehe…

ANJING - Selepas memetik rambutan, aku dan abang-abangku duduk dibawah pohon rambutan itu. Sambil menikmati kemanisan rambutan, abangku mencungkil-cungkil tanah menggunakan sebatang kayu. Tiba-tiba kami menemui tengkorak haiwan. Sifat ingin tahu menyebabkan kami membawa tengkorak haiwan itu pulang ke rumah. “Itu tulang anjing! Apa kerja la budak-budak ni”, marah abahku.

B*B* - As seorang penggangur. Dia adalah jiranku. Dia berkawan dengan budak-budak kampung. Ada jugak budak-budak kampung yang suka menyakatnya walaupun As lebih tua. Lagu Vanilla Ice berjudul Ice-Ice Baby sering mereka lagukan. Tetapi mereka menukar lirik kepada lirik lain untuk menyakat As. “As As b*b*, belum ada bini, keje takde lagi”. Walau apa pun, aku tidak tergolong dalam kelompok budak-budak kampung itu.

Nota : Ini adalah pengalaman sebenar. Mengaitkan dengan haiwan zodiak cina hanyalah sekadar suka-suka sahaja. Tidak berniat menyinggung mana-mana pihak. Anekdot bermaksud kisah ringkas.

3 ulasan:

$Y@HiD@ N@FiS@ said...

1983=Tahun B*bi...Hehehe~

sagahayat said...

tak sanggup nak eja b*bi dgn ejaan penuh dlm blog ni..

fourleafclover.theluckyone said...
This comment has been removed by the author.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...