BURUNG DALAM GENGGAMAN

Sunday, October 24, 2010

Tersebutlah kisah pada zaman dahulu kala ada seorang pemuda yang berguru dengan dengan seorang sifu. Dia sudah sekian lama menuntut ilmu pertahanan diri disamping ilmu spiritual dan ilmu tentang kehidupan dengan sifunya itu.

Suatu hari pemuda itu ingin menguji kebijaksanaan sifunya itu. Lalu dia menangkap seekor burung kecil dan memegang kemas burung itu yang menggelepar mahu melepaskan diri.

Arakian dia pergi berjumpa dengan sifunya yang sedang bermeditasi. Kedua-dua tangannya diletakkan kebelakang sambil memegang burung kecil itu.

Lantas dia bertanya, “Guruku, aku ingin bertanya. Didalam genggaman tanganku ada seekor burung kecil yang telah aku tangkap pagi tadi. Adakah burung ini masih hidup ataupun telah mati"?

Gurunya hanya tersenyum. Dia sudah menjangka anak muridnya itu pasti ingin mengujinya suatu hari nanti.

Dalam hati pemuda itu berbisik, “ Andai guruku menjawab burung ini telah mati, aku akan terus menunjukkan burung ini padanya kerana burung ini masih hidup untuk menyangkal tekaannya. Jika guruku meneka burung ini masih hidup, sudah pasti aku akan meramas burung kecil ini kuat-kuat sehingga hilang nyawanya untuk menafikan ramalannya”.

Sifu tua itu kemudiannya menjawab. “Duhai anakku, masa depan burung kecil itu terletak pada tangan kamu. Jika kamu mahu ianya mati, maka matilah ia. Jika kamu inginkan ianya terus hidup, maka hiduplah ia seperti adanya".

Pemuda itu termenung seketika. Dia terasa terpukul dengan kata-kata itu. Burung kecil itu dilepaskan setelah dia mendapat jawapan yang cukup bermakna dari gurunya itu.

Moral : Remaja hari ini adalah penentu kegemilangan bangsa masa hadapan.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...