TRIVIA IKLAN TV

Wednesday, October 6, 2010

Pernah tengok iklan televisyen? Anda penipu kalau anda cakap tidak. Cubalah luangkan masa menonton TV3 selama satu jam. Hampir 20 minitnya adalah iklan. Iklan adakalanya unik, menyentuh jiwa dan ada yang melekat di hati kita. Lalu berjayalah iklan itu mempengaruhi pengguna sepeti kita. Sekadar berkongsi pandangan dibawah ini adalah isu-isu titik bengik tentang iklan.

1. Keyakinan menjadi sandaran kepada beberapa iklan. Cuba imbas kembali iklan tv sebegini. Sebutir jerawat muncul di wajah gadis A menjelang pertemuannya dengan seorang jejaka. Rambut gadis B pula berkelemumur menyebabkan dia segan untuk berdansa bersama teman lelakinya. Wajah gadis C agak gelap dan suram menyebabkan dia tidak yakin untuk bergelar model. Setelah direkomenkan dengan produk iklan oleh rakan-rakan gadis tadi, mereka tampil yakin dan sudah tentu mereka mengucapkan ‘selamat tinggal’ pada masalah mereka.

2. Iklan serbuk pencuci selalunya menjalankan eksperimen. Dua jenama diuji untuk menguji keberkesanannya. Jenama yang kurang berkesan selalunya adalah Jenama X. Menerusi iklan si ibu langsung tidak marah apabila anaknya kembali ke rumah dengan baju yang kotor, berlumpur, berminyak, comot dan selekeh kerana sudah memiliki serbuk pencuci yang cukup bagus. Baginya pengalaman kanak-kanak lebih beharga dan percaya “hati yang suci sukar dicari”.

3. Penyanyi Atilia dikatakan telah menyanyikan lebih 1000 lagu untuk lagu iklan. Antaranya termasuklah KFC, Fernleaf, TM, Maggie, Pantene, Celcom, Maybelline, Pizza Hut, Motorola. Dr.Mika pula hanya tampil melalui satu iklan iaitu iklan Sensodyne yang menampilkan dialog “Jika gigi anda terasa sakit...apabila makan makanan yang panas...atau sejuk ini bermakna gigi anda mengalami gigi sensitif. Tetapi orang lebih mengenali Dr. Mika berbanding Atilia.

4. Iklan Raya Petronas yang berkisar tentang seorang anak bertanyakan bapanya tentang burung murai berkali-kali ternyata menyentuh hati ramai orang. Ada juga yang menjadikan sebagai bahan lawak menerusi SMS yang berbunyi “Abah, ni apa? Siput babi. Ni apa? Siput babi. Apa? Siput babi.Ni apa? Siput la babi!!!”

5. Anak-anak selebriti Wardina Saffiyah menerusi iklan kesemuanya bijak-bijak belaka. Seorang anaknya dapat mengaplikasi sifat tarikan magnet untuk mengambil sudu di bawah sofa. Manakala seorang lagi boleh menyambungkan titik-titik membentuk bintang sekali imbas hampir serupa bentuk lambang Israel dan dengan jelas menyebut “ibulah bintang hatiku!”.

6. Iklan penyembur serangga seperti Shieldtox dan Ridsect selalunya menggunakan ahli bina badan. Kalau dulu Malek Noor mengembleng tenaga bersama orang kampung mengangkat rumah kayu untuk ditempatkan ke tempat lain. Tetapi kini seorang lagi ahli bina badan dengan lembut hati memastikan neneknya dapat tidur aman di dalam bilik tanpa gangguan nyamuk.


7. Kuasa iklan tv menyebabkan beberapa jenama terkenal menjadi ‘kata ganti diri’ bagi produk tertentu. Contohnya adalah Colgate, Axion, Breeze, Clorox dan Ridsect. Misalnya, sesetengah orang akan berkata “Jangan lupa ambil Colgate kat bilik air!” walaupun hakikatnya dia menggunakan ubat gigi Darlie. Begitu juga dengan “Mana Ridsect tadi?” walaupun dia tahu dirumahnya hanya terdapat penyembur serangga berjenama Shieldtox.

8. Seorang wanita cantik sedang mengubah bunga dan tiba-tiba dia berpaling ke arah kamera dan dengan lantang menyebut “Pastikan Nona, Ahad, di TV3”. Minggu seterusnya wanita itu tadi membelek-belek kain ela dan tiba-tiba dia berpaling ke arah kamera dan dengan lantang menyebut “Pastikan Nona, Ahad, di TV3”. Minggu selanjutnya wanita yang sama itu tadi menyelak-nyelak sebuah buku dan tiba-tiba dia berpaling ke arah kamera dan dengan lantang menyebut “Pastikan Nona, Ahad, di TV3”.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...