TASIK BANDING TAK TERBANDING

Sunday, October 10, 2010

Pertama kali aku melibatkan diri dalam ekspedisi, aku dilarang ibuku yang terlalu paranoia dengan kes bot karam yang mengorbankan satu nyawa di Tasik Banding. Tetapi terlalu sukar untuk aku menolak menyertai program ini memandangkan ianya wajib bagi memenuhi markah kursus matrikulasi dan aku menyandang jawatan sebagai setiausaha program.

Kelab Rekreasi Luar kolej matrikulasiku menawarkan sebuah pulau di Tasik Banding sebagai destinasi aktiviti yang dijalankan selama tiga hari dua malam. Seramai 40 orang menyertai aktiviti ini bersama pensyarang pengiring seramai empat orang yang semuanya berlaku pada akhir bulan Mei tahun 2001. Walaupun sudah 9 tahun berlalu, namun catatan ini adalah penting kerana mengisahkan pengalaman pertama aku menyertai ekspedisi sebegini termasuklah mencuba pelbagai perkara baru seperti berkhemah, berkayak, jungle trekking dan abseiling. Semestinya ia pengalaman yang sukar dilupakan dan menjadi pencetus kepada hobi mengembara dan berkhemah.

Tanpa pengetahuan ibuku, aku akhirnya sampai jua di Jambatan Tasik Banding. Aku tidak menjangka terdapat jalan highway yang menghubungkan antara negeri Perak dan negeri Kelantan yang perlu merentas banjaran dan hutan belantara. Sesiapa saja yang melalui jalan ini pasti akan menggunakan jambatan yang merintangi Tasik Banding. Aku pertama kali melihat tasik yang besar dan cantik seperti ini. Berlatarkan bukit-bukit dan jauh dari hiruk-pikuk kehidupan, ditambah pula dengan aku yang tidak pernah melihat tasik sebegini membuatkan aku percaya bahawa Tasik Banding tidak terbanding dengan tasik-tasik yang lain.

Kami kesemuanya menanti tongkang di jeti dan dibawa ke sebuah pulau di tengah-tengah tasik itu. Dikatakan tasik itu adalah hak milik kolej kami dan terdapat pelbagai kelengkapan perkhemahan disana termasuklah lebih 20 kayak. Sepanjang perjalanan menaiki tongkang yang bergerak perlahan dengan muatan peserta dan barang-barang, kami disajikan dengan permandangan menghijau tasik itu dengan cerucuk kayu mati menambah keindahan lanskap. Hujan renyai turun mencipta ritma alam bersama dengan beberapa fauna liar seperti burung dan biawak yang seperti menyambut kehadiran kami. Dua jam perjalanan, kami akhirnya tiba di pulau itu. Hari sudah semakin gelap dan kami bergegas memasang khemah.

Hari kedua di Tasik Banding, kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama seramai 20 orang akan dibawa menaiki tongkang ke sebuah bukit dipinggir tasik untuk aktiviti abseiling manakala yang selebihnya akan berkayak ke bukit tersebut. Aktiviti itu akan bertukar dimana kumpulan pertama akan berkayak kembali ke tapak perkhemahan dan kumpulan kedua perlu melakukan aktiviti abseiling. Aku tergolong dalam kelompok berkayak dahulu. Kekok merupakan istilah yang paling tepat untuk menggambarkan pengalaman pertama kali aku berkayak. Sama seperti aku, kawan-kawan yang lain turut sama mencari rentak untuk mendayung kayak dalam aturan yang betul. Walaupun kayuhan sudah dirasakan betul, kayak kami masih membelok ke kiri atau ke kanan. Tidak pernah yang lurus.

Keseronokan pertama kali berkayak walaubagaimanapun melupakan keletihan kami kerana kami juga sekali-sekala merendamkan kaki ke dalam kedinginan air tasik yang hijau bak air tebu. Hampir satu jam, kami akhirnya tiba ke bukit yang dimaksudkan. Dari jauh lagi sudah nampak beberapa orang rakan menuruni bukit secara abseiling menggunakan tali.

Kami berehat seketika sementara menanti beberapa orang rakan lagi menuruni bukit itu. Kemudian, kami diarah untuk memanjat bukit itu dan akhirnya seorang demi seorang menuruni bukit setinggi kira-kira 20 kaki. Sememangnya gayat merupakan perkara biasa bagi sesiapa saja yang pertama kali mencuba aktiviti abseiling. Tambahan pula, dibawah bukit itu adalah longgokan batu pejal dan juga air tasik yang sangat dalam.

Tiba giliran aku, aku disuruh oleh kem komandan untuk menyanyikan lagu Cindai Siti Nurhaliza bagi menghilangkan rasa gemuruh. Sebelum aku pun, rakan-rakan yang lain turut sama disuruh menyanyikan lagu-lagu penyanyi wanita. Walaupun kaki menggeletar, tapi aku berjaya turun dengan lancar dan selamat. Tidak seperti beberapa orang yang lain yang terpusing dan tersekat disatu tahap kerana masih tidak mahir melepaskan tali abseiling itu perlahan-lahan.

Pada waktu malam, kami dihidangkan dengan lauk ikan baung yang berjaya ditangkap oleh pensyarah kami. Sebelum tidur, kami mendengar taklimat ringkas daripada pegawai perhilitan yang bercerita mengenai sejarah tasik buatan itu dan flora dan fauna yang terdapat disekitar Tasik Banding. Rupa-rupanya, hutan itu turut dihuni oleh haiwan-haiwan liar seperti harimau dan gajah dan menurut pegawai itu, ada seorang pegawai yang pernah terlihat ikan toman sebesar dua kali ganda manusia didalam tasik itu. Benar atau tidak, aku sendiri pun tak tahu.

Hari terakhir di Tasik Banding, kami dibawa merentas hutan di pulau berkenaan. Pulau itu dijamin bebas daripada haiwan liar memandangkan ianya terpisah dengan daratan kecualilah haiwan liar seperti harimau berenang ke pulau itu. Kami mendaki sehingga ke puncak tertinggi di pulau dan barulah kami faham bahawa pulau-pulau ini adalah bukit-bukit dan tasik itu adalah lembangan gunung. Empangan yang dibina menyebabkan air terempang dan memenuhi lembangan dan hanya meninggalkan bukit-bukit yang tinggi yang muncul sebagai pulau-pulau. Ini juga menjawab mengapa terdapat banyak cerucuk batang-batang kayu didalam Tasik Banding.

Sebelum meninggalkan Tasik Banding, kami mengunjungi salah sebuah perkampungan orang asli yang terdapat disitu. Kami berkenalan dengan Tok Batin dan memberi sedikit makanan kepada penduduk kampung. Tok Batin juga menjual beberapa akar kayu yang dipercayai dapat menguatkan tenaga batin. Secara berbisik, pensyarah kami menerangkan serba sedikit mengenai ritual orang asli dimana mayat Tok Batin yang telah mati tidak ditanam sebaliknya disimpan didalam sebuah rumah. Kami juga berkesempatan menyaksikan demonstrasi menyumpit dan juga berpeluang mencuba alatan pemburuan masyarakat asli itu.

Waktu yang singkat sepanjang 3 hari 2 malam kami penuhi dengan aktiviti yang mengujakan. Pengalaman ini menjadi pemangkin dan akhirnya menjadi memori bersama dengan gambar-gambar kenangan yang ditunjukkan pada ibuku. Ibuku akhirnya akur kecenderungan anaknya dan aku terus-menerus memburu perkhemahan dan aktiviti outdoor yang menjadi minat aku sehingga kini.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...