CERITA REMEH-TEMEH

Tuesday, October 26, 2010

Setiap pagi sebelum aku pergi kerja, aku mesti pasang radio. Bukan nak dengar lagu sangat pun. Sekadar untuk memecah kesunyian pagi. Sebab kadang-kadang deejay stesen radio lebih banyak berceloteh daripada memutarkan lagu. Radio mesti ambil panggilan dari pemanggil untuk berkongsi cerita mengenai sesuatu isu. Cerita pemanggil pula selalunya mesti kelakar. Aku pun ada cerita kelakar. Saja nak kongsi sebab aku tak sempat nak telefon radio. Isu cerita? Macam-macam!

IRAMA SURAU
Masa tu aku kat surau tengah tunggu azan isyak zaman aku tingkatan dua. Aku dengan sorang kawan tengah cerita pasal lagu-lagu rock kapak. Tapi kami terlupa irama dan melodi satu lagu tu. Ingat judul je. Tiba-tiba azan berkumandang. Kemudian kami terus solat berjemaah beramai-ramai. Kawan aku tadi sembahyang sebelah aku. Lepas je aku selesai beri salam kedua, kawan aku terus tepuk paha aku. “Haaa! Aku dah ingat lagu tadi”. Nampak sangat dia khusyuk mengingati lagu tu sepanjang sembahyang.

USTAZ SEDERHANA
Ada seorang ustaz ni. Dia cukup suka tersenyum. Badan dia gempal-gempal sikit. Dia bukan ustaz yang mengajar aku tapi dia adalah kawan kepada kawan aku. Satu hari ada khabar angin yang ustaz ni dah bertunang. Kawan aku pun tanya la dia. “Ustaz bertunang dengan sape?” Ustaz tu jawab, “Dengan orang pompuan”. Bila ditanya lagi, “Orang mana?”. Ustaz tu senyum sambil jawab, “Orang Malaysia”. Masa hari sukan, ustaz tu ambil bahagian lumba lari 100 meter. Dia lari dengan tersangatlah perlahan. Biar ditanya, “Kenapa lari slow benar ustaz?”. Ustaz tu dengan bersahaja jawab, “Dalam hidup ni kene bersederhana”!

DIA KE LONDON
Abang aku ada berkawan dengan seorang budak Indonesia yang telah bermastautin disini. Dorang satu sekolah masa kecik-kecik dulu. Satu hari abang aku ni terserempak dengan bapak kepada kawan indon dia tadi. Dia pun tanya, “Lama tak nampak anak pakcik, dia keje kat mana sekarang”? pakcik tu jawab, “Dia....kelondon”. Abang aku terkejut bila dengar kawan dia tu keje kat London. “Hebat gak budak indon ni”. Dua tiga hari lepas tu barulah abang aku dapat tahu kawan indon dia tadi bekerja di Kelantan. Sebutan ‘Kelantan’ versi pakcik indon tu kedengaran seperti ‘ Ke London’. Memang loghat indon pakcik tu pekat. Kalau loghat pakcik tu dalam bentuk cecair tentu ianya likat dan sukar mengalir.

COKELAT BENDERA
Aku belum sekolah lagi masa tu. Aku dan mak baru je balik dari pasar. Mak aku belikan aku bendera Malaysia plastik yang kat dalam tiang dia ada coklat bulat-bulat, berwarna-warni, kecik-kecik. Aku pun dengan riang seorang kanak-kanak makan coklat-coklat tu satu persatu. Mak aku pula tengah menyapu lantai. Tiba-tiba cokelat tadi jatuh berderai diatas lantai. Aku pun kutip dan terus memasukkan kedalam mulut. Aku anggap kuman tak sempat hinggap kalau kurang dari lima saat. Tapi cokelat yang aku gigit bunyi berderap. Rasa berlendir. Kemudian lidah aku rasa semacam. Aku pun menjelirkan lidah dan mak aku menjerit, “Ya Allah, ko makan telur cicak!”

POSTER CUN
Dalam sebuah kompleks beli belah yang selalu aku pergi, ada sebuah premis yang menjual pelbagai jenis poster. Ada poster filem, artis, gambar bayi, kucing dan macam-macam lagi lah. Satu hari aku dan kawan aku menyelak-nyelak poster-poster yang tergantung seperti helaian –helaian akhbar. Di sebelah kami adalah seorang lelaki yang turut sama menyelak-yelak poster dibahagiannya. Aku tiba-tiba terlihat poster gambar bayi yang tidak berpakaian. Aku pun berkata pada kawanku. “Ko tengok. Gambar bogel pun ada!” Dengan tak semena-mena, lelaki sebelah kami tadi mencelah. “Mana gambar bogel”? Dia kemudian tersedar, memandang kami dan terus berlalu dari kedai itu. Nampak sangat dia nak tengok poster perempuan bogel pada skala poster besar.

BALANG KOPERASI
Seluruh kawasan sekolah tiada bekalan air. Hanya dewan makan sahaja yang mempunyai air itu pun terhad penggunaannya untuk menyediakan makanan. Kami hanya dibenarkan menggunakan air itu untuk mengambil wuduk sahaja. Untuk urusan lain adalah sendirian berhad. Selepas habis waktu sekolah, kami balik ke dorm. Ruang antara blok A dan blok B adalah laluan utama penghuni asrama. Tiba-tiba seorang senior terlihat balang gula-gula bertudung merah menyala. Didalamnya adalah najis manusia yang berjuring atau berpangsa. Cerita itu sampai ke pengetahuan warden. Dia menghukum semua penghuni asrama berdiri di kawasan itu sehingga ada yang mengaku. Tidak sampai 10 minit kemudian, seorang pelajar tingkatan satu mengaku mengambil balang di luar koop (kedai koperasi sekolah), membuang najis kedalamnya dan mencampak balang itu diruang antara blok asrama. Sungguh kreatif tindakannya.

TEPAT SUNGGUH
Semasa zaman sekolah rendah sebelah petang, bermain polis sentri adalah perkara yang paling menyeronokkan. Blok sekolah dijadikan medan permainan. Waktu rehat adalah masanya. Kami seramai sekitar 10 orang berlari dan mengejar mengelilingi blok. Satu petang kami bermain seperti biasa. Ketika itu seorang guru sandaran perempuan yang paling cantik ketika itu sedang menuju ke bilik guru. Seorang kawan aku pula ligat berlari tanpa menghirau sekelilingnya. Dia semakin dekat. Lariannya semakin deras. Dia tidak sempat berhenti lalu...Dupp!...wajahnya tersembam tepat pada dada ustazah itu. Dia mengaduh. Ustazah menjerit. Ustazah cepat-cepat betulkan tudungnya dan laju-laju berjalan ke bilik guru. Mukanya merah padam. Bila ditanya pada kawanku itu apa yang dia rasa. Dia hanya menjawab, “Aku rasa pening!”.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...