REPUBLIK CINTA AGUNG

Friday, October 1, 2010

Liu Guojiang, pemuda 19 tahun, jatuh cinta pada seorang janda 29 tahun bernama Xu Chaoqin. Cintanya tiada bertepi. Mereka angankan bahagia melakari hidup yang bakal mereka bina. Namun cinta suci mereka ditentang. Sahabat handai dan saudara mara mereka mula mencela hubungan mereka lantaran perbedaan usia diantara mereka dan kenyataan bahawa Xu sudah mempunyai beberapa orang anak.

Pada waktu itu masyarakat tidak boleh menerima hakikat bahawa seorang pemuda mendirikan rumahtangga dengan wanita yang lebih tua. Demi mengelakkan diri daripada cercaan dan penghinaan yang berterusan, mereka bertekad. Liu dan Xu memutuskan untuk melarikan diri dan tinggal di sebuah gua di Desa Jiangjin, di sebelah selatan Chong Qing.

Pada mulanya kehidupan mereka sangat daif. Mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan bergantung kepada hasil hutan di sekitar gunung yang menjadi sumber makanan mereka. Dan Liu membuat sebuah lampu minyak tanah untuk menerangi malam-malam mereka yang gelap gelita.

Mengenang hidupnya, Xu berulang-kali bertanya pada suaminya,"Adakah kau menyesal?" Liu selalu menjawab, "Selama kita bersama, kehidupan ini akan menjadi lebih baik". Mereka hidup saling kasih mengasihi dalam kedamaian yang mereka cipta dan mereka tidak pernah berpisah walau sehari pun.

Setelah 2 tahun mereka tinggal di gunung itu, Liu mula memahat anak-anak tangga agar isterinya dapat turun ke kaki gunung dengan mudah. Dengan kudrat tulang empat keratnya, Liu terus memahat anak-anak tangga ini hari demi hari. Akhirnya, selepas tempoh 50 tahun anak-anak tangga itu berjaya disiapkan. Walaupun dia tahu Xu tidak selalu menuruni gunung itu, tetapi demi membuktikan cintanya pada Xu, Liu membina anak-anak tangga itu sebagai tugu cinta.

Suatu hari Liu yang sudah berusia 72 tahun pada ketika itu jatuh pengsan ketika pulang dari ladang. Xu duduk dan berdoa bersama suaminya sehinggalah Liu akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan erat sang isteri. Kerana cinta agungnya pada Xu, tangannya masih menggenggam erat tangan Xu saat nyawanya tidak lagi dikandung badan.

Hidup Xu terasa kosong. Teman terulungnya sudah pergi buat selama-lamanya. Selama beberapa hari Xu terus menerus mengulangi lafaz kalimatnya sambil meraba keranda suaminya dengan linangan air mata yang membasahi pipi. Dalam sedu sedan dia berkata........

"Kau telah berjanji akan menjagaku dan akan terus bersamaku sampai aku tiada, kini kau telah mendahuluiku, bagaimana aku dapat hidup tanpamu?"

Begitulah secebis kisah cinta agung dari Republik Rakyat China.

Nota : Dikatakan pasangan ini telah ditemui oleh sekelompok pengembara yang melakukan explorasi ke hutan itu pada tahun 2001. Mereka terkejut bertemu dengan pasangan tua itu dan juga 6000 anak tangga yang telah dibina oleh Liu. Pada tahun 2006 pula kisah ini telah menjadi salah satu dari 10 kisah cinta yang terkenal di China yang diterbitkan oleh majalah Chinese Women Weekly. Pihak kerajaan Republik Rakyat China telah memutuskan untuk melestarikan anak-anak tangga itu, dan tempat kediaman mereka telah dijadikan muzium agar kisah cinta ini dapat terus hidup.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...