BABAK TERULANG HOLLYWOOD

Tuesday, March 8, 2011

Pernah baca catatan Klise Milik Hollywood dalam blog ini? Kali ini sagahayat akan mengulas lagi mengenai adegan atau babak terulang yang dipaparkan menerusi filem Hollywood. Ternyata filem Hollywood kebanyakannya memaparkan babak klise walaupun filem yang diterbitkan menelan belanja yang besar.

AWEK TURUN TANGGAProm Night ataupun date adalah budaya barat yang sering dipaparkan menerusi filem Hollywood. Si hero akan menunggu aweknya di ruang tamu. Tiba-tiba seorang gadis jelita dengan baju yang menawan menuruni anak tangga satu-persatu dalam gerak perlahan sambil menguntum senyum. Pernah tonton babak ini? Ya. Ianya ada dalam filem There’s Something About Mary dan juga She’s All That dan juga filem-filem komedi romantik yang lain.

MUKA NGERI PENJAHAT – Filem aksi selalunya mempunyai watak antagonis yang menjadikan sesebuah filem lebih mendebarkan. Adakalanya watak jahat ini mengalami kecederaan tetapi tidak mati. Kemunculan barunya lebih bermotifkan dendam selepas dia sembuh. Kamera pada mulanya akan menyorot pada wajahnya yang elok kemudian memaparkan kesan luka, lecur, atau apa saja kesan kecederaan pada sisi wajahnya yang lain. Tak percaya? Lepas ini sila tonton babak penjahat dalam filem Waterworld, Spiderman III, Batman dan filem-filem aksi yang lain. Tentu ada babak sebegini.

HERO DI DUNIA LAIN – Banyak filem fantasi yang memaksa watak utama untuk ‘merantau’ ke negara antah-berantah dan kehadirannya ke dunia itu sebagai mengharungi misi untuk menyelamatkan dunia itu. Pelik juga sebab makhluk-makhluk dalam dunia itu sememangnya tidak ditakdirkan untuk menjadi hero di dunianya sendiri. Sekadar menjadi pembantu sahaja. Nak tahu siapa hero itu? Siapa lagi kalau bukan Alice dalam Alice in Wonderland dan empat beradik dalam trilogi filem Narnia. Di dunia sebenar dalam filem itu mereka bukan hero pun.

JANGAN SENTUH! – Filem aksi pengembaraan memang banyak. Mungkin disebabkan sudah banyak menyebabkan penonton perasan dengan adegan yang hampir serupa. Katakanlah babak begini. Si hero menyuruh pembantunya atau sesiapa sahaja yang bersamanya supaya tidak menyentuh apa-apa ketika mereka berada di dalam puing tinggalan tamadun tertentu. Tetapi pembantunya ingkar menyebabkan tanah mula runtuh, pintu gua semakin tertutup, air mula melimpah dan apa saja yang difikirkan sesuai. Dalam filem apa agaknya babak sebegini berlaku? Ya. Tidak lain dan tidak bukan, tetralogi Indiana Jones dan trilogi The Mummy dan mungkin filem-filem yang lain.

MAKANAN TERPELANTING – Si heroin adalah orang kebanyakan. Makan di restoran mahal memang bukan bidangnya. Apatah lagi memahami etiket makan. Tetapi takdir merubah nasib si heroin. Dia kemudian menjelma menjadi wanita penting dalam hidup si jejaka. Dia kemudiannya dijemput untuk makan malam di sebuah restoran eksklusif. Kejanggalan menyebabkan makanan si heroin terpelanting. Makanan terpelanting? Kedengaran klise? Ya. Babak sebegini ada dalam filem seperti Pretty Woman, The Princess Diaries dan mungkin filem-filem yang lain.

TAK HIRAU BOM MELETUP – Yang ini lagilah banyak dalam filem Hollywood. Si hero berperang dengan musuh-musuhnya. Dia berlawan dengan berdozen musuh dengan tangan kosong. Kemudian dia melayangkan pisau dan tepat tercacak di dahi seorang musuhnya. Kemudian dia menembak musuh-musuhnya yang tidak terkira banyaknya. Dia sempat mengaktifkan bom atau memasang bom sebelum berlalu meninggalkan tempat itu. Kabom! Satu letupan besar memusnahkan seluruh tempat. Tetapi si hero langsung tidak memandang ke belakang untuk melihat letupan itu sebaliknya berjalan dengan penuh bergaya dan bersahaja. Filemnya? Senang saja. Hampir kesemua filem-filem lakonan Slyvester Stallone, Arnold Schwarzenegger, Van Damme dan Steven Seagal ada babak sebegini.

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...