Dede Koswara segera pulang ke rumah. Lututnya terluka apabila dia terjatuh di sebuah tapak pembinaan berhampiran rumahnya di Tanjung Jaya di barat Pulau Jawa, Indonesia. Ketika itu dia berusia 15 tahun. Luka itu tidaklah begitu besar, tetapi bermula dengan luka itulah, Dede Koswara menanggung penyakit yang sangat jarang ditemui di dunia. Tubuh Dede ditumbuhi ketuat-ketuat yang kelihatan seperti akar-akar berpilin ataupun dahan pokok.
Segalanya bermula selepas seminggu lutut Dede mengalami kecederaan. Ketuat kecil mula tubuh dari dalam luka itu. Dede pada mulanya sedikit pun tidak risau. Dia percaya ketuat atau kutil itu akan gugur atau paling tidak pun dapat dihilangkan dengan menggunakan getah pokok betik.
Tetapi sangkaan Dede benar-benar meleset. Ketuatnya membesar, melarat dan mewabak ke bahagian-bahagian lain di tubuhnya. Sebaik sahaja ketuat di lututnya dibuang melalui pembedahan, bahagian-bahagian lain mula ditumbuhi dengan ketuat itu dengan kadar yang lebih cepat. Kakinya mula ditumbuhi ketuat-ketuat yang keras dikuti bahagian tangan, dada dan juga kepala. Wajah dan dadanya penuh dengan tompok-tompok kutil.
Menjelang usianya 20 tahun, Dede tidak boleh lagi memegang alat-alatan dan terpaksa bersusah payah untuk melakukan rutin hariannya. Tangannya umpama akar kayu ataupun batang-batang kayu pohon bonsai yang berusia beratus-ratus tahun. Melengkok liuk dan kelihatan agak menakutkan.
Malang bagi Dede, dia diberhentikan kerja. Sudah jatuh ditimpa tangga, isteri Dede meninggalkannya terkontang-kanting bersama dua orang anak hasil pengkongsian hidup mereka iaitu Entis dan Entang.
Namun, dalam kesulitan hidup, Dede tidak mudah menyerah kalah. Mujur ada ibubapanya yang sudi menjaganya dan juga kawan-kawan yang setia menyokongnya dari belakang.
Demi kelangsungan hidupnya, Dede bertekad untuk keluar bekerja dan membawa pulang keping-keping not rupiah untuk kegunaan dirinya dan juga anak-anaknya di rumah. Namun, apalah kerja yang boleh dilakukan oleh Dede yang hidup dengan ketumbuhan yang menyerupai akar pokok yang terus membesar di kedua-dua belah tangan dan kakinya.
Berkat keazamannya, Dede memperolehi kerja. Dia ditawarkan bekerja dalam pameran ‘Manusia Aneh’ bersama beberapa individu yang mempunyai keanehan pada rupa fizikal mereka. Beratus orang datang ke tapak pameran untuk menyaksikan Dede dan juga yang lain. Sejak itu Dede diberi gelaran 'lelaki pokok'. Hasil jualan tiket dibahagi-bahagi sesama mereka dan mereka mampu tersenyum dengan rezeki yang diterima seadanya.
Ketika Dede berusia 36 tahun iaitu pada tahun 2007, Dede dikunjungi seorang doktor iaitu Doktor Anthony Gaspari, dari University of Maryland, Amerika Syarikat. Atas usaha doktor itu, penyakit Dede didiagnosis dan dia akhirnya dibawa ke meja bedah untuk menjalankan pembedahan. Sebanyak 6 kilogram ketumbuhan berjaya dibuang dari keseluruhan tubuh Dede yang ditumbuhi ketumbuhan itu.
Dede gembira bukan kepalang. Dia akhirnya dapat melihat semula ruang-ruang antara jari-jari kaki dan tangannya. Dia juga dapat memegang rokok, menulis dan juga menaip SMS. Namun, panas tidak menjelang ke petang. Ketuat-ketuat itu kembali tumbuh sebaik sahaja Dede kembali ke rumahnya.
Dede sebenarnya diserang virus Human Papilloma (HPV) yang menyerang kulitnya. Selalunya sistem pertahanan semulajadi badan seseorang individu dapat membunuh virus ini, tetapi sistem pertahanan semulajadi atau sistem imunisasi tubuh Dede sangat lemah, menyebabkan ketuat-ketuat ini tetap kembali tumbuh walaupun telah berulang kali dibuang.
Dengan hakikat itu, Doktor Gaspari berusaha untuk meningkatkan sistem imunisasi tubuh Dede dan dalam masa yang sama turut mengawal pertumbuhan dan membuang ketumbuhan yang tumbuh di tubuh Dede. Para doktor juga mengakui, mereka sememangnya tidak mampu menghentikan ketumbuhan itu daripada berlaku, namun dengan dua pembedahan setahun, sudah dapat menjanjikan harapan buat Dede untuk menjalani hidup dengan lebih baik.
Apabila ditemuramah oleh wartawan, Dede terseyum sambil berkata, “Saya bukan terdesak, tapi saya mahu sembuh. Saya takut jika ketumbuhan ini membesar di wajah saya dan akhirnya menutupi keseluruhannya. Saya juga gusar jika suatu hari nanti saya tidak bisa melihat dan tidak boleh makan. Yang lebih menakutkan adalah jika penyakit saya ini bisa merebak pada dua orang anak kesayangan saya”.
Dia hidup bersandarkan harapan dan percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Nota : Ditulis dan diolah suai berdasarkan beberapa artikel berbahasa Inggeris dan juga dokumentari My Shocking Story: Half Man Half Tree menerusi Discovery Channel.
Sagahayat.blogspot.com adalah blog berbahasa melayu. Saga bermaksud kisah manakala hayat bermaksud hidup. Sagahayat adalah blog mengenai pengalaman hidup, pengkongsian informasi, pendapat tentang isu serta kembara & rekreasi. Setiap catatan yang diterbitkan sengaja ditulis dengan gaya penulisan artikel akhbar ataupun majalah. Sagahayat umpama majalah dalam blog.
YANG KURIK KUNDI, YANG MERAH SAGA, YANG BAIK BUDI, YANG INDAH BAHASA
Hampir keseluruhan artikel ataupun catatan di dalam blog ini ditulis sendiri oleh Sagahayat berpandukan bahan rujukan buku, majalah, emel, rancangan televisyen, akhbar, laman web dan sebagainya. Kembara, rekreasi dan pengalaman pula ditulis berdasarkan pengalaman Sagahayat sendiri. Fakta yang ditulis dan diterbitkan tidak sama sekali dipesong. Kisah benar pula ditulis dan diolah suai mengikut imaginasi penulis tanpa sama sekali mengubah rentetan cerita atau fakta yang terdapat dalam artikel itu. Sekiranya anda terbaca catatan yang boleh dikatakan diplagiat daripada blog anda, anda berhak menghubungi saya di emel sagahayat@gmail.com supaya saya dapat membuang atau mengedit catatan tersebut. Terima kasih.
0 ulasan:
Post a Comment