SAHABAT GUA TEMPURUNG

Tuesday, March 29, 2011

Alam kembali menyapa. Kali ini aku memilih Gua Tempurung yang terletak di Kampar, Perak untuk diteroka bersama rakan sepengembaraanku, Azrul. Seminggu sebelum program, aku sempat melawat laman web Gua Tempurung untuk memperoleh seberapa banyak informasi mengenai destinasi pengembaraan kami nanti. Aku kemudian menghubungi sahabatku itu untuk berbincang mengenai perancangan kami. “Bro, aku baca kat web, dorang nak minimum 8 orang untuk Grand Tour. Kita ni berdua je”. Beberapa hari kemudian, Azrul kembali menghubungi aku. “Aku call Gua Tempurung tadi. Dorang cakap takde hal kalau dua orang pun. Sebab boleh combine dengan mane-mane group lain”.

9.30 pagi, 17 Mac 2011, aku dan Azrul sudah terpacak di hadapan kaunter tiket Gua Tempurung yang terletak di Kampar, Perak. Kami lihat sudah ada kumpulan yang sudah mula memasuki mulut gua bersama topi keselamatan dan lampu suluh. Kami diminta untuk menunggu sebuah kumpulan seramai 20 orang yang masih belum tiba. Sementara menunggu, kami bersarapan di kedai makan di kawasan rekreasi itu. Nasi Lemak Telur Mata bersama Teh O suam. Cukup menyelerakan.


Jam 10.30 pagi barulah kami memulakan penerokaan kompleks gua yang terbesar di semenanjung Malaysia itu. Bersama-sama kami adalah sekumpulan pelajar sekolah menengah swasta Cina dari Melaka dan sekeluarga Melayu dari Kuala Lumpur. Sebelum penerokaan bermula, kami diberi taklimat ringkas. Seorang renjer gua sudah bersedia membawa kami. Dia memakai ves keselamatan dan membawa lampu suluh yang besar.


Ketika kaki mula melangkah ke dalam gua, aku sempat memerhatikan pengunjung-pengunjung yang bersama kumpulan kami. Kebanyakannya hanya berselipar jepun dan berseluar pendek. Tidak kira yang lelaki mahupun perempuan. Sedangkan kami lengkap berkasut dan berstokin serta memakai seluar panjang. Mulut mereka tidak berhenti-henti bercakap dengan nada yang kuat. Keluarga melayu yang terdiri daripada bapa, ibu dan empat orang anaknya pula semuanya lengkap berpakaian sukan. Kesemua anak perempuannya bertudung labuh.


Kami kemudiannya mula memasuki mulut gua yang mempunyai terowong semula jadi yang mengunjur dari barat ke timur sepanjang hampir 2 kilometer itu. Di bawahnya terdapat aliran sungai. Pintu Gua tidaklah terlalu besar. Jalan masuk ke dalam gua pula disediakan pelantar dan juga jejantas untuk keselesaan pengunjung.


Mata terpaku saat menyaksikan perubahan suasana terang berganti gelap yang hanya disinari lampu limpah berwarna kuning. Bumbung gua beratus-ratus kaki tinggi daripada kami. Dinding gua dipenuhi dengan formasi batu-batu kapur yang terbentuk secara semula jadi yang sangat mengagumkan. Cahaya lampu limpah menambah kesan dramatik ruang ‘ballroom’ utama kompleks gua itu. Dikatakan gua ini mempunyai lima kubah yang utama dan terowongnya melingkar dalam perut dua bukit batu kapur iaitu Gunung Tempurung dan Gunung Gajah.


Kaki kami melangkah perlahan dek teruja pada setiap apa yang dapat disaksikan di dalam Gua Tempurung. Kami hampir tertinggal kerana leka mengambil gambar dan melihat keseluruhan panorama unik dalam gua.


Kami seterusnya mula menaiki anak-anak tangga untuk menuju ke tempat seterusnya. Seperti biasa, aku dan Azrul sengaja memilih berada di belakang dan agak jauh dari renjer gua. Apabila tiba di platform pertama, aku cuba memasang telinga. Aku mula merapatkan diri untuk mendengar sedikit sebanyak penerangan yang disampaikan. Renjer gua mula memberi penerangan.


SAHABAT GUA



“Kita akan jumpa 10 platform sepanjang tour kita. Ok, kalau kita tengok kat sana kita nampak bentuk kepala gajah. Kat sana ada kepala kucing. Sebelah tu ada mata yang besar. Kat dinding sana pulak kalau kita tengok kita nampak macam orang tengah berak. Yang tu rambut, yang ni pulak badan dia”, terang renjer itu sambil menyuluh permukaan dinding gua. Ada yang ketawa dan mata masing-masing melilau melihat pelbagai imej itu. Pelbagai imej, dimensi asli dan formasi batu yang menyerupai macam-macam rupa kami temui sepanjang penerokaan di dalam gua ini. Imej Lady Gaga, kepala naga, dinasor, babi hutan dan juga King Kong dapat kami temui. Semuanya bergantung kepada imaginasi seseorang untuk ‘melihat’ imej-imej itu dengan lebih jelas.

Stalaktit dan stalagmit sudah semestinya ‘aksesori’ wajib sesebuah gua batu kapur. Stalaktit terbentuk oleh titisan air yang melarutkan batu kapur dan akhirnya menjadikan batu kapur itu mengunjur ke bawah seakan bentuk kon manakala stalagmit adalah dasar di mana titisan air tadi jatuh yang kemudiannya membusut menjadi bentuk bukit kecil. Proses itu sebenarnya mengambil masa beribu-ribu tahun malah ada yang mencapai sehingga berjuta-juta tahun. Stalaktit dan stalagmit akhirnya bersentuh, bercantum dan membentuk tiang gua yang dipanggil ‘column’. ‘Column’ adalah struktur semulajadi seakan tiang yang mengukuh struktur gua yang sememangnya berongga.

Kami meneruskan penerokaan kami. Tangga-tangga membawa kami ke tempat yang lebih tinggi. Peluh mula memercik di muka. Menurut renjer, kami perlu memanjat lebih 600 anak tangga untuk sampai ke platform tertinggi di dalam gua itu. Seketika kemudian kami tiba di sebuah platform yang dipanggil ‘wind tunnel’. Sejurus sahaja kami masuk kedalam ‘wind tunnel’, angin terus menerpa tubuh kami seolah-olah sebuah kipas angin dipasang di hadapan kami. Cukup mengagumkan. Bagaimana aliran angin boleh terdapat dikawasan itu sedangkan kami sudah berada jauh dari pintu gua.Itulah antara keajaiban alam mungkin memerlukan kajian untuk merungkaikannya.

Kami meneruskan penerokaan. Ketika ini laluan agak landai. Kami akhirnya tiba di platform ‘Top of the World’. ‘Top of the World’ merupakan platform tertinggi dan kami berada beberapa kaki dari bumbung kompleks gua. Ketika di platform ini, kami dapat melihat sayup mata memandang tangga-tangga menuju ke bawah. Kami kemudiannya menuruni tangga ini yang agak curam dan ketika ini lampu suluh kami sangat diperlukan. Lampu limpah hanya disediakan sehingga di ‘Top of the World’ sahaja.

Ketika ini aku teringat kisah lampau, dimana sekumpulan pemuda melarikan diri daripada pemerintahan seorang raja yang zalim yang juga menzalimi rakyatnya yang beriman dengan agama wahyu. Mereka kemudiannya bersembunyi di dalam sebuah gua. Takdir Allah, mereka ditidurkan selama beribu-ribu tahun sehinggalah mereka bangkit pada zaman yang berbeza. Kisah mereka disebut didalam Al-Quran menerusi Surah Al–Kahfi dan mereka adalah Ashabul kahfi. Aku juga teringat lirik lagu M.Nasir yang berjudul Sahabat Gua yang sedikit sebanyak mengisahkan peristiwa ini. “Kita ditakdirkan lari. Lari dari kezaliman. Terperangkap dalam gua ini. Hingga tuhan tunjuk kebenaran”.

Setibanya dibawah, kami diberi penerangan lagi. Menurut pak renjer, kawasan itu merupakan kawasan yang menjadi tempat perlindungan komunis suatu masa dahulu. Sebelum ini terdapat banyak katil di kawasan itu, tetapi telah dialihkan oleh pihak taman gua memandangkan katil-katil itu menjadi sarang ular.

MERANDUK ARUS SUNGAI

Laluan seterusnya adalah gelap semata-mata. Kami perlu berhati-hati melangkah memandangkan kami hanya bergantung kepada cahaya daripada lampu suluh kami sahaja. Tiba di suatu kawasan, kami perlu menggelongsor. Kemudian kami mula terdengar air mengalir. Kami kemudiannya mula meredah sungai yang adakalanya kedalamannya mencecah ke paras lutut. Ketika inilah aku mula mengeluarkan tupperware yang disimpan oleh azrul dalam beg aku untuk mengisi kamera bagi mengelakkan terkena air.

Azrul kemudian bersuara. “Apesal ko macam malu-malu je nak kuarkan tupperware tu”? Aku terus menjawab sambil ketawa. “Aku malu doh. Nanti dorang ingat mak bekalkan sandwich untuk kita”. Setelah kamera selamat disimpan didalam tupperware dan dibungkus dengan plastik, kami meneruskan perjalanan dengan meranduk air yang dingin dan jernih. Kemudian kami lihat seorang demi seorang mula meniarap dan merangkak di bawah ruang yang kecil. Air mengalir keluar dari ruang itu. Ini bermakna kami perlu merangkak dan melawan arus untuk melepasi halangan ini.

Tetapi ada sesuatu yang menarik yang berlaku. Azrul menemui jalan alternatif yang tidak memerlukan kami merangkak sebaliknya berjalan seperti biasa. Ini bermakna baju kami masih kekal kering walapun separuh seluar kami sudah lencun. Laluan seterusnya semakin kecil. Adakalanya kami perlu menunduk di celah-celah stalaktit-stalaktit yang berceracak. Kami berjalan di dalam air seolah-olah mencari punca air bagi sungai yang mengalir di dalam gua itu.

Cahaya mula kelihatan apabila kaki kami semakin laju melangkah mendekati muka pintu di sebelah hujung timur sistem gua. Pintu ini merupakan pintu yang dapat dilihat dari Lebuhraya Utara Selatan. Agak lama kami berehat disitu. Renjer gua kemudian mendekati kami dan kemudian meminta untuk memeriksa tiket kami.

Dia kemudian berkata “Tak tau le macamane deme keroje. Tiket tak dibagi. Mike dah bayor. Padehal pengunjung ramai. Macam masuk poket sendiri aje. Sebab tu kami selalu tak dapat komisyen”. Renjer gua bernama Salleh itu seakan-akan mengeluh tentang nasibnya, sama seperti nasib renjer-renjer yang lain. Kami kemudian memberi cadangan supaya Pak Salleh memeriksa kesemua tiket pengunjung yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali. Agak sedih jika benar perkara sebegini berlaku, kerana tugas renjer bukan sekadar membawa pengunjung meneroka gua, malah memberi penerangan, menjaga keselamatan, mengawal pengunjung dan juga menjadi ketua bagi satu-satu kumpulan.

Selepas berehat hampir 15 minit, kami meneruskan penerokaan. Kami berpatah balik ke laluan yang sama tetapi kali ini kami lebih banyak menggunakan laluan air. Pak Salleh tiba-tiba mengarahkan kami supaya berkumpul dan menutup suis lampu suluh masing-masing. Gelap. Sememangnya gelap. Sehinggakan jika diletak telapak tangan di hadapan mata pun, kami langsung tidak dapat melihat apa-apa. Ketika ini aku terfikir mengenai alam kubur yang sudah semestinya berkeseorangan dalam kegelapan.

Untuk beberapa kali kami bertemu dengan laluan yang berliku-liku dan ada kalanya memerlukan kami meniarap dan bergerak seperti askar mengikut aliran air. Ruang selebar kira-kira setengah meter memaksa kami untuk bergerak sebegitu. Tetapi aku dan Azrul berjalan seperti itik dan adakalanya mencari jalan alternatif bagi mengelakkan pakaian kami basah.

Kemudian kami tiba di satu tempat yang memerlukan kami menggelongsor setinggi kira-kira 9 meter. Gelongsor ini ada dua peringkat. Kami perlu berhati-hati memandangkan ada kes pengunjung yang mengalami kemalangan ketika menggelongsor di laluan ini. Apa yang pasti, kami mengikuti setiap arahan dan teknik yang diberikan oleh Pak Salleh dan kerjasama yang diberikan oleh pelajar sekolah menengah itu sedikit sebanyak melicinkan pergerakan hampir 30 orang pengunjung itu.

Tidak jauh dari gelongsor semulajadi itu, kami terjumpa sebuah lubang yang mana kami perlu memasuki lubang itu untuk ke laluan seterusnya. Pak Salleh ‘terjun’ terlebih dahulu turun dan masuk ke dalam gua dan memastikan setiap seorang dapat masuk ke dalam lubang itu dengan selamat. Seterusnya kami kembali bertemu aliran sungai. Ada suatu ketika, kami terpaksa merangkak memandangkan tiada jalan lain untuk menghala ke hadapan. Kami berhenti seketika memerhatikan seorang demi seorang melepasi laluan yang bawahnya adalah adalah aliran sungai manakala atasnya adalah stalaktit-stalaktit yang berceracak secara rawak. Silap percaturan dalam pergerakan mungkin menyebabkan kepala kami terhantuk pada struktur-struktur yang nampak rapuh tetapi sebenarnya cukup teguh.

Kami kemudiannya mengekori pengunjung yang lain dan merangkak dalam ruang yang semakin mengecil. Mujur kami memakai lampu yang dipasangkan di kepala yang memudahkan pergerakan kami. Aku mendahului manakala Azrul yang paling belakang. Tiba-tiba aku terasa ada sesuatu yang tidak kena. Ada pasir masuk ke dalam seluar. Aku berpaling ke belakang sambil melihat Azrul yang membuat muka tak bersalah. “Kurang ajar. Meh sini aku masukkan pulak pasir kat spender ko pulak”, kata aku sambil ketawa dalam ruang yang sempit. Ruang yang sukar menyebabkan aku tidak berpeluang ‘membalas dendam’.

Selepas mendaki anak-anak tangga, menggelongsor, merangkak, meranduk air di sistem bawah tanah, masuk ke dalam lubang dan sebagainya, kami akhirnya tiba di pintu gua tempat kami memulakan penerokaan. Tiga jam setengah penerokaan hampir membuatkan kami tidak sedar memandangkan kami begitu asyik menyaksikan setiap ciptaan tuhan yang cukup mengagumkan. Apapun, pada mata, aku divisualkan dengan rentetan imej yang mempersonakan, segalanya ciptaan Yang Maha Pencipta, tetapi pada hati, aku diberi kesedaran untuk menghayati pengorbanan si pembela agama, Ashabul Kahfi dan juga dalam kegelapan yang hakiki, aku lantas teringat alam kubur dan terus menginsafi dan mengingati kematian yang sememangnya pasti.


PANDUAN RINGKAS KE GUA TEMPURUNG

- Terdapat 4 pakej yang disediakan bermula dengan harga RM6.00 hingga ke RM22.00

- Pakej-pakej mengambil masa dari 40 minit hingga ke 3 jam setengah.

- Pakaian yang sesuai adalah berseluar panjang serta berkasut sukan. Untuk pakej basah, anda perlu membawa ekstra pakaian.

- Lampu suluh perlu dibawa atau boleh dibeli di kedai di Gua Tempurung.

- Maklumat lanjut yang selengkapnya boleh diperolehi di laman web http://www.guatempurung.com/

0 ulasan:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...