Selepas menyaksikan perlawanan hoki di Universiti Sains Malaysia, kami berempat kemudiannya bergegas menuju ke Teluk Bahang. Setibanya di sana kami terus menukar pakaian dan bersiap sedia untuk merentas hutan menuju ke Pantai Kerachut yang terletak di dalam Taman Negara Pulau Pinang.
Ketika kami memulakan perjalanan, matahari betul-betul terpacak di atas kepala. Selepas mendaftarkan nama di kaunter, kami melepasi pintu gerbang taman negara dan kemudiannya berjalan diatas laluan aspal yang disediakan oleh taman itu untuk keselesaan pengunjung. Beberapa minit kemudian, kami tiba di atas sebuah jambatan kayu dan dihadapannya adalah simpang menuju ke Pantai Kerachut dan destinasi-destinasi yang lain. Untuk ke Pantai Kerachut kami membelok ke kiri. Pokok-pokok mula memayungi perjalanan kami yang bermula sekitar jam 12.00 tengahari.
Trek perjalanan sebenarnya agak santai walaupun kami terpaksa mendaki bukit dan sekali-sekala akan bertemu dengan denai yang agak landai. Hutannya tidaklah terlalu tebal tetapi cukup untuk menjadi peneduh perjalanan kami yang dicabar dengan panas mentari pinggir pantai. Perjalanan kami semakin mudah apabila terdapat tangga-tangga yang dibina daripada tanah yang ditokok dengan kayu yang disediakan dibeberapa trek yang agak curam.
Laluan trek ini sebenarnya bukanlah laluan yang biasa, tetapi mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Terdapat parit-parit di sebelah trek itu yang dipercayai dibina oleh orang-orang Acheh pada suatu masa dahulu yang digunakan untuk memudahkan mereka mengangkut barang-barang merentasi hutan dan bukit. Malahan terdapat juga kubur-kubur orang Acheh yang terletak Taman Negara Pulau Pinang ini yang dahulunya lebih dikenali dengan nama Hutan Simpan Pantai Acheh.
Selepas 20 minit bermandikan peluh dan ‘berjuang’ mendaki bukit, kami mula terdengar bunyi air menderu-deru. Kaki semakin laju melangkah menuju ke air terjun kecil yang mengalir di dalam hutan itu. Kami mengambil kesempatan untuk berehat sambil merasai kedinginan air terjun kecil itu sebelum meneruskan perjalanan.
Selain air terjun itu, kami juga terjumpa beberapa aliran anak sungai yang mengalir jernih dan cukup mendamaikan. Pendek kata, setiap 15 minit kami berjalan, pasti kami akan berhenti seketika untuk membasuh tangan ataupun sekurang-kurang melepaskan lelah di punca-punca air itu.
Satu lagi keistimewaan trek ini adalah trek ‘Batu Belah’. Terdapat laluan yang dibina melalui batu besar yang ditarah untuk memudahkan perjalanan. ‘Batu Belah’ juga adalah hasil usaha pendatang Acheh dan sejarah mengenai trek ini ada diterangkan pada papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.
Laluan seterusnya kami perlu menuruni tangga-tangga kecil yang agak curam dan agak panjang. Laluan ini seterusnya membawa kami ke trek yang lebih landai dan agak berpasir. Ciri-ciri ini menandakan kami hampir sampai ke Pantai Kerachut.
Selepas hampir sejam kami merentas hutan, kami akhirnya tiba di kawasan berbatu-batu bersaiz gadang dan lautan luas adalah pemandangan di hadapan kami. Sebuah jambatan gantung yang merentasi sungai yang mengalir ke laut yang airnya berpunca dari sebuah tasik merupakan petunjuk bahawa kami sudah tiba di pantai yang menjadi destinasi kembara kami.
Tasik yang terdapat di kawasan itu adalah tasik meromiktik yang merupakan tasik yang mempunyai air tawar dan air masin dalam takungan yang sama. Tasik meromiktik merupakan antara keunikan yang terdapat di taman negara ini.
Kesempatan yang ada, kami menjamah bihun yang diperolehi secara percuma di USM dan terus menukar pakaian untuk bermandi manda. Pasir yang putih, air yang biru serta pohon-pohon rhu yang melentuk-liuk ditiup angin merupakan anugerah pada kami selepas sejam mengerah tenaga merentas hutan.
Meskipun aktiviti ini merupakan aktiviti yang santai dan agak ringkas, namun bagi aku ia agak penting kerana memberikan pengalaman dan pengetahuan baru buat aku yang sebelum ini langsung tidak mengetahui mengenai kewujudan sebuah Taman Negara di sebuah pulau yang pesat membangun.
Taman Negara Pulau Pinang bukan bersandarkan kepada Pantai Kerachut semata-mata, tetapi banyak destinasi treking yang menarik termasuklah ke tempat-tempat seperti Teluk Tukun, Tanjung Aling, Teluk Duyung (Monkey Beach), Teluk Ketapang, Teluk Kampi dan Pantai Mas. Malah terdapat sebuah rumah api di Muka Head yang dibina pada tahun 1883 dan berketinggian 242 meter dari aras laut dan boleh didaki oleh para pengunjung untuk menyaksikan panorama indah dari aras yang lebih tinggi.
Selepas bermandi manda sepuas-puasnya, kami beransur pulang. Tiba di sebuah anak sungai yang kecil kami berhenti seketika untuk berendam dan membilas badan dengan air yang sungguh jernih dan dingin. Kami menggelarkannya ‘air mata suci’.
Ketika kami di kawasan itu, seorang demi seorang daripada kami menunaikan solat Zohor di atas sebuah batu yang besar sambil yang lain bermandi-manda dengan senyap di dalam sungai. Aku kemudian bersuara, “nilah first time pengalaman aku mandi sebelah orang sembahyang”. Bazli, Azrul dan Ijam hanya ketawa.
PANDUAN RINGKAS KE PANTAI KERACHUT
- Taman Negara Pulau Pinang terletak di Teluk Bahang. Terdapat bas Rapid Penang yang boleh membawa anda ke sini dari Jeti Feri.
- Tiada bayaran yang dikenakan untuk aktiviti trekking atau camping di taman negara ini sebaliknya anda hanya perlu mendaftarkan nama di kaunter pendaftaran.
- Sekiranya ingin berkhemah, surat bertulis perlulah diajukan untuk tempahan awal.
- Trek ke semua destinasi sangat jelas dan sudah dilengkapkan dengan beberapa kemudahan seperti jambatan kecil dan juga pondok untuk berehat. Tandas disediakan di Pantai Kerachut. Bilik air, tandas dan gerai terdapat di pintu masuk taman negara.
- Terdapat pusat penetasan penyu di Pantai Kerachut dan terdapat pusat penyelidikan milik USM di Teluk Duyung.
- Dua cara ke pantai-pantai di Taman Negara Pulau Pinang adalah sama ada trekking atau dengan menggunakan bot yang mengenakan harga yang berpatutan.
2 ulasan:
as salam nk tnye sket, brpe jam yer prjalan dr tman negara ke pntai keranchut? lame x? :D
dalam sejam ke sejam setengah....bergantung pada kelajuan..trek ade mendaki n ade menurun.....
Post a Comment