BERMULANYA DENGAN TUP TAP

Monday, October 11, 2010

Pada zaman dahulu kala ada seorang menteri yang tinggal bersama-sama keluarganya di sebuah negeri yang aman damai. Dia merupakan menteri yang disegani penduduk-penduduk negerinya. Rumahnya sangat besar dan terletak di tengah-tengah kawasan pemerintahan menteri itu.

Tetapi ada sesuatu yang mengganggu hidupnya sekeluarga. Apabila matahari mula tenggelam bermulalah bunyi tup tap tup tap tup tap. Jiran-jirannyalah yang menjadi puncanya. Jiran disebelah kanan rumahnya adalah seorang tukang besi manakala jiran disebelah kiri rumahnya pula merupakan seorang tukang kayu. Tukang kayu dan tukang besi itu kedua-duanya bekerja pada waktu malam.

Si menteri sering memikirkan langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah itu mengenangkan masalah itu melanda dirinya sendiri. Baginya biarlah masalah itu dapat diselesaikan tanpa membuatkan mana-mana pihak rajuk hati. Bak kata pepatah tarik rambut dalam tepung, tepung tak tumpah, rambut tak putus.

Hari demi hari, malam-malam si menteri sekeluarga terus-menerus diganggu bunyi pertukangan dari rumah-rumah jirannya. Kadang-kadang dia tertekan lantaran tidak cukup tidur dan tidak boleh memberi tumpuan pada tugasnya. Pernah juga dia mencadangkan agar si tukang kayu dan si tukang besi bekerja pada siang hari. Tetapi masing-masing menolak kerana mereka lebih selesa bekerja pada waktu malam.

Sehinggalah suatu hari, si menteri bertekad. Dia harus mencapai satu kata putus untuk mengatasi masalahnya. Jadi dia telah memanggil kedua-dua jirannya itu. Pada mulanya dia merasa canggung. Dia takut si tukang kayu dan si tukang besi itu terasa hati. Tetapi akhirnya dia bersuara. “Dengan 3 uncang emas ini, aku arahkan supaya kamu berdua berpindah dari rumah kamu. Mulakan kehidupan baru dan bertukanglah kamu sehingga pagi”. Kedua-dua jirannya itu menerima dengan hati yang terbuka.


Keesokan harinya si menteri tersenyum melihat kedua-dua jirannya sedang sibuk mengemas dan membawa barang-barang keluar dari rumah. Sudah pasti malam nanti dia akan mendapat lena yang panjang. Dia dapat merasakan bahawa dia tidak lagi berasa tertekan dan dia boleh menumpukan tugasannya semula.

Apabila hari menjelang malam, dia duduk di ruang tamu rumahnya sambil membaca syair-syair kegemarannya. Tiba-tiba dia terdengar tup tap tup tap tup tap. Bunyi yang biasa dia dengar pada malam-malam sebelum ini. Rupa-rupanya si tukang besi berpindah ke rumah tukang kayu manakala si tukang kayu berpindah ke rumah tukang besi.

Moral : Ada sesetengah orang didunia ini lurus bendul. Pastikan arahan anda cukup lengkap dan jelas serta nyatakan tujuan sebenar arahan kepada si lurus bendul.

Nota : Kisah ini adalah cebisan daripada buku cerita rakyat Asia yang berjudul Bermulanya Dengan Tup Tap yang dibeli oleh abah di Pesta Konvokesyen UKM semasa aku di sekolah rendah.

5 ulasan:

Anonymous said...

ada lagi x buku cerita ni bro?...lama dah x baca..teringin btol nak tgk balik buku ni...

sagahayat said...

dah xde...buku ni mmg best..penuh cerita n teka teki....

ok said...

yang ni tajuk dia : Mereka Berpindah Tetapi...

kalau yang Bermulanya Dengan Tup Tap tu cerita seorang nenek tua dengan harimau..

rindu nak baca cerita ni

NabilzRabbani said...

Owh Sya masih simpan buku ni.,, pm me Facebook : Muhammad Nabil Rabbani

sagahayat said...

Ni buku ptama yg abah sy hadiahkan pd sy. Skrg dh xde lg..sbnrnya tajuk buku ni xsama dgn crita kt atas.just nk kenang memori

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...